Beliau memerintah selama 10 tahun (13 - 23 H). Saidina Umar terbunuh di tangan Abu Lu'lu, seorang hamba keturunan Parsi. Beliau merupakan sahabat Rasulullah SAW yang terkenal dengan sifat-sifat berani, tegas, taat, bertanggungjawab, adil dan mempunyai pemikiran yang kreatif.
Beliau mendapat gelaran al-Faruq (pemisah antara hak dan batil) kerana sifatnya itu. Sebelum memeluk Islam, beliau merupakan penentang Rasulullah yang ditakuti oleh orang yang memeluk Islam. Keberaniannya menyebabkan Rasulullah berdoa supaya Allah SWT membukakan pintu hati Umar untuk Islam.
Setelah memeluk Islam, beliau telah mengumumkan ke-Islamannya secara terang-terangan sehingga menggemparkan masyarakat Quraisy. Beliau berani beribadat secara terang-terangan, iaitu menunaikan sembahyang di Masjidil-Haram yang tidak pernah dilakukan oleh orang Islam sebelum itu.
Beliau juga menyarankan supaya Rasulullah menyebarkan Islam secara terbuka dan berjanji menghadapi siapa saja yang menentang. Ketika hendak berhijrah, Saidina Umar telah keluar ke tengah Kota Makkah dan mengancam siapa saja yang berani menghalangi perjalanannya ke Madinah.
Saidina Umar merupakan seorang pemerintah yang sangat mengambil-berat terhadap rakyatnya. Beliau sendiri yang meninjau keadaan hidup rakyatnya dengan cara menyamar. Beliau pernah berjumpa dengan anak-anak yang sedang menangis kerana kelaparan dan terus ke Baitulmaal mengambil gandum dan sebagainya, memasak dan menyuapkannya ke mulut anak-anak tersebut.
Beliau merupakan seorang yang senantiasa berfikiran terbuka dan bersedia menerima pendapat dan pandangan orang lain dan sanggup mengakui kelemahan dan kesilapannya sendiri. Umar pernah menerima pendapat Saidina Abu Bakar mengenai tawanan Perang Badar supaya mereka membayar tebusan atau mengajar anak-anak Islam sehingga pandai.
Manakala orang yang lemah dibebaskan tanpa syarat. Beliau juga pernah menerima pendapat seorang perempuan supaya setiap orang berhak menentukan mas kahwinnya atas kehendak mereka sendiri. Selain itu Saidina Umar merupakan seorang yang kreatif dan banyak membuat pembaharuan untuk kemudahan dan kesejahteraan rakyatnya.
Sumbangan Saidina Umar
1) Administrasi dan pemerintahan:
- Menyusun administrasi negara.
- Membahagi negara Islam kepada beberapa wilayah.
- Melantik gabernor untuk setiap wilayah.
2) Ekonomi
- Memperkenalkan peraturan cukai tanah dan perniagaan(kharaj dan `usyur).
- Membina sistem pengairan untuk pertanian.
- Membuka tanah baru untuk kawasan pertanian.
3) Sosial
- Mewujudkan sistem pendidikan yang lebih baik.
- Membuat pembaharuan dalam bidang kehakiman.
- Mendirikan masjid-masjid.
- Mendirikan rumah persinggahan.
- Meningkatkan peranan majlis Syura.
- Mewujudkan bandar-bandar baru dalam wilayah Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan