Jumaat, 26 Jun 2009

Maksud Bacaan Dalam Solat

Takbiratulihram
Allah Maha Besar

Doa Iftitah
Allah Maha Besar dan segala puji bagi Allah dengan banyaknya.
Maha suci Allah sepanjang pagi dan petang.
Aku hadapkan wajahku bagi Tuhan yang mencipta langit dan bumi, dengan suasana lurus dan berserah diri dan aku bukan dari golongan orang musyrik.
Sesungguhnya solatku, Ibadatku, hidupku, matiku adalah untuk Allah Tuhan sekelian alam.
Tidak ada sekutu bagiNya dan kepadaku diperintahkan untuk tidak menyekutukan bagiNya dan aku dari golongan orang Islam.

Al-Fatihah
Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Mengasihani.
Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.
Yang maha pemurah lagi maha mengasihani.
Yang menguasai hari pembalasan.
Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkau kami mohon pertolongan.
Tunjukilah kami jalan yang lurus.
Iaitu jalan orang-orang yang Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan mereka yang Engkau murkai dan bukan jalan mereka yang sesat.

Bacaan ketika rukuk
Maha Suci TuhanKu Yang Maha Mulia dan dengan segala puji-pujiannya.

Bacaan ketika bangun dari rukuk
Allah mendengar pujian orang yang memujinya.

Bacaan ketika iktidal
Wahai Tuhan kami, bagi Engkaulah segala pujian.

Bacaan ketika sujud
Maha suci TuhanKu yang Maha Tinggi dan dengan segala puji-pujiannya.

Bacaan ketika duduk di antara dua sujud
Ya Allah, ampunilah daku, Rahmatilah daku, kayakan daku, angkatlah darjatku, rezekikan daku, berilah aku hidayah, sihatkanlah daku dan maafkanlah akan daku.

Bacaan ketika Tahiyat Awal
Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah.
Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya.
Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh.
Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah.
Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad.

Bacaan ketika Tahiyat Akhir
Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah.
Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya.
Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh.
Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah.
Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya.
Sebagaimana Engkau selawatkan ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim.
Berkatilah ke atas Muhammad dan atas keluarganya sebagaimana Engkau berkati ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim di dalam alam ini.
Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Agung.

Doa Qunut
Ya Allah, berilah aku petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Engkau tunjuki.
Sejahterakanlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau sejahterakan.
Pimpinlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau pimpin.
Berkatilah hendaknya untukku apa-pa yang telah Engkau berikan padaku.
Jauhkanlah aku daripada segala kejahatan yang telah Engkau tetapkan.
Sesungguhnya hanya Engkau sahajalah yang menetapkan, dan tidak sesiapapun yang berkuasa menetapkan sesuatu selain daripada Engkau.
Sesungguhnya tidak terhina orang yang memperolehi pimpinanMu.
Dan tidak mulia orang-orang yang Engkau musuhi.
Telah memberi berkat Engkau, ya Tuhan kami dan maha tinggi Engkau.
Hanya untuk Engkau sahajalah segala macam puji terhadap apa-apa yang telah Engkau tetapkan.
Dan aku minta ampun dan bertaubat kepada Engkau.
Dan Allah rahmatilah Muhammad, Nabi yang ummi dan sejahtera keatas keluarganya dan sahabat-sahabatnya.

Asal Usul Solat

Subuh:
Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Subuh ialah Nabi Adam a.s., iaitu tatkala baginda keluar dari syurga lalu dihantar ke bumi.

Perkara pertama yang dilihatnya ialah kegelapan dan baginda berasa takut yang amat sangat.

Apabila fajar Subuh telah keluar Nabi Adam a.s. pun bersembahyang dua rakaat.

Rakaat pertama :- Bersyukur baginda kerana terlepas dari kegelapan malam.
Rakaat kedua :- Bersyukur baginda kerana siang telah menjelma.


ZOHOR:
Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Zohor ialah Nabi Ibrahim a.s., iaitu tatkala Allah s.w.t. telah memerintahkan padanya agar menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s.

Sedang seruan itu datangnya pada waktu tergelincir matahari, lalu sujudlah Nabi Ibrahim empat rakaat.

Rakaat pertama :- Bersyukur bagi penebusan.
Rakaat kedua :- Bersyukur kerana dibukakan dukacitanya dan juga anaknya.
Rakaat ketiga :- Bersyukur dan bermohon akan keredhaan Allah.
Rakaat keempat :- Bersyukur kerana korbannya digantikan dengan tebusan kibas.


ASAR:
Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Asar ialah Nabi Yunus a.s., tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah dari perut ikan nun.

Ikan nun telah memuntahkan Nabi Yunus di tepi pantai sedang ketika itu telah masuk waktu Asar.

Maka bersyukurlah Nabi Yunus lalu bersembahyang empat rakaat kerana baginda telah diselamatkan oleh Allah daripada 4 kegelapan iaitu:

Rakaat pertama :- Kelam dengan kesalahan.
Rakaat kedua :- Kelam dengan air laut.
Rakaat ketiga :- Kelam dengan malam.
Rakaat keempat :- Kelam dengan perut ikan Nun .


MAGHRIB:
Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Maghrib ialah Nabi Isa a.s., tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah dari kejahilan dan kebodohan kaumnya, sedang waktu itu telah terbenamnya matahari.

Bersyukurlah Nabi Isa lalu bersembahyang tiga rakaat kerana diselamatkan dari kejahilan tersebut, iaitu:

Rakaat pertama :- Untuk menafikan ketuhanan selain daripada Allah yang Maha Esa.
Rakaat kedua :- Untuk menafikan tuduhan dan juga tohmahan ke atas ibunya Siti Mariam yang telah dituduh melakukan perbuatan sumbang.
Rakaat ketiga :- Untuk meyakinkan kaumnya bahawa Tuhan itu hanya satu iaitu Allah jua, tiada dua atau tiga.


ISYAK:
Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Isyak ialah Nabi Musa a.s.

Pada ketika itu Nabi Musa telah tersesat mencari jalan keluar dari negeri Madyan, sedang dalam dadanya penuh dengan perasaan dukacita.

Allah lalu menghilangkan semua perasaan dukacitanya itu pada waktu Isyak yang akhir.

Lalu sembahyanglah Nabi Musa empat rakaat sebagai tanda bersyukur.

Rakaat pertama :- Dukacita terhadap isterinya.
Rakaat kedua :- Dukacita terhadap saudaranya Nabi Harun.
Rakaat ketiga :- Dukacita terhadap Firaun.
Rakaat keempat :- Dukacita terhadap anak Firaun.

Selasa, 16 Jun 2009

Rahsia diwajibkan solat


Dalam al-Quran, dilaporkan ada lebih 25 tempat ayat "aqama" yang merujuk kepada makna perintah mendirikan solat dan lebih 70 kali perkataan "as-solah" atau solat diulang dan disebut dalam al-Quran.

Antaranya, firman yang bermaksud: "Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan solat, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. "

Kemudian apabila kamu telah berasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah solat itu (dengan sempurna sebagaimana biasa).

Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya." (an-Nisa':103)

Setiap individu Muslim dan Muslimah mesti mengerjakan solat.

Malah, bagi ketua keluarga seharusnya memerintahkan ahli keluarganya melakukan solat.

Ibu bapa pula wajib mengajar dan membimbing anak melakukan ibadat itu, seawal usia tujuh tahun.

Ibadat solat adalah suatu perintah daripada Tuhan kepada hamba-Nya.

Banyak kelebihan, keberkatan dan rahsia yang terkandung di dalam solat, malah mengiringi mereka yang mengerjakannya.

Solat akan menjadikan seseorang sentiasa mengingati Allah dan menghampiri diri dengan-Nya, sekali gus menjadikan kehidupan seseorang itu sentiasa berhubungan dengan Tuhannya.

"Sesungguhnya Akulah Allah, tiada Tuhan melainkan aku, oleh itu, sembahlah akan daku, dan dirikanlah solat untuk mengingati daku." (Toha:14)

Solat adalah tanda kesyukuran. Muslim atau Muslimah yang mengerjakan solat adalah mereka yang tahu bersyukur sebenarnya.

Mereka bersyukur atas segala nikmat dan rahmat tidak terhingga yang Allah kurniakan dengan melakukan ibadat kepada-Nya.

Ibadat solat menghapuskan dosa.

Manusia tidak terlepas daripada melakukan dosa dan solat lima kali sehari dapat menghapuskan dosa yang dilakukan.

Sebagaimana satu hadis bermaksud: "Dari Abi Hurairah r.a, sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda:

Solat lima waktu dan solat Jumaat hingga Jumaat berikutnya adalah penebus dosa antara jarak waktu solat-solat itu, selama dijauhinya dosa-dosa besar." (Hadis riwayat Muslim)

Solat juga dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar. Ibadat solat yang dikerjakan dengan khusyuk dan menepati segala rukunnya boleh mencegah si pelakunya dari melakukan maksiat dan kemungkaran.

"Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar, dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya), dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan." (al-Ankabut:45)

Solat dapat memberi keberkatan, kejayaan dan kebahagiaan hidup.

Kita boleh lihat kehidupan orang yang memelihara solat dan orang yang tidak mengerjakan solat, jauh berbeza bukan!"Sesungguhnya berbahagia/berjayalah orang-orang beriman. (Iaitu) mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya." (al-Mukminun: 1-2)

Solat dapat mententeramkan jiwa.

Orang yang melakukan solat secara sempurna dan penuh khusyuk, jiwanya aman damai, malah dapat mengawal segala tekanan sekali gus menjadikan kehidupannya lebih ceria.

Seorang yang taat mengerjakan solat sepanjang hidup, lagi mengerti betapa besar kepentingan solat itu kepadanya serta memahami kelebihan dan rahsia bacaannya, sudah tentu akan tenang jiwanya.

"Sesungguhnya manusia itu dijadikan (bersifat) loba mengeluh apabila kesusahan menimpa dia dan kikir apabila keuntungan mengenai dia, kecuali orang-orang yang solat, yang berkekalan atas solat mereka." (al-Ma'arij:19-23)

Rasulullah s.a.w ketika berhadapan masalah akan memperbanyakkan solat kerana solat bagi baginda adalah amalan penyejuk hati.

Kelebihan ini sekurang-kurangnya akan menyuntik diri kita umat Islam untuk lebih tekun mengerjakan solat, malah mereka yang selama ini tidak mengenali ibadat itu tertarik untuk turut sama melakukannya.

11 jenis manusia didoa malaikat


PERCAYA kepada malaikat adalah antara rukun iman.

Ada malaikat yang ditugaskan berdoa kepada makhluk manusia dan sudah tentu seseorang yang didoakan malaikat mendapat keistimewaan.

Dalam hidup, kita sangat memerlukan bantuan rohani dalam menghadapi ujian yang kian mencabar.

Bantuan dan sokongan malaikat sangat diperlukan.

Ketika kita menghadapi masalah, kerumitan, keperluan dan bimbingan, bukan saja kita perlukan kekuatan doa dari lidah, tetapi juga sokongan malaikat.

Antara orang yang mendapat doa malaikat ialah:

1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya.

Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa: "Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci."

2. Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya: 'Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia.'"

3. Orang yang berada di saf depan solat berjemaah.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan."

4. Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah (tidak membiarkan kekosongan di dalam saf).

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf."

5. Kalangan malaikat mengucapkan 'amin' ketika seorang imam selesai membaca al-Fatihah.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Jika seorang imam membaca...(ayat terakhir al-Fatihah sehingga selesai), ucapkanlah oleh kamu 'aamiin' kerana sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu."

6. Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Kalangan malaikat akan selalu berselawat kepada satu antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat, di mana ia melakukan solat."

7. Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Kalangan malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap tinggal. "

Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada mereka: "Bagaimana kalian meninggalkan hamba-Ku?"

Mereka menjawab: 'Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka pada hari kiamat.'

8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan.

Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata 'aamiin dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan.'

9. Orang yang membelanjakan harta (infak).

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: 'Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak...'"

10. Orang yang sedang makan sahur.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat kepada orang yang sedang makan sahur."

11. Orang yang sedang menjenguk (melawat) orang sakit.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh."

Itulah antara mereka yang mendapat doa malaikat. Semoga kita termasuk dan tersenarai sama.

Keajaiban akal fikiran


SATU unsur sangat menonjol pada penciptaan manusia ialah akal fikiran yang menjadikan insan makhluk istimewa berbanding yang lain sehingga layak menggalas amanah sebagai khalifah di bumi.

Islam memandang tinggi akal fikiran kerana ia sumber segala ilmu malah banyak disebut dalam al-Quran."

Jika Kami turunkan al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau lihat gunung itu tunduk serta pecah-belah kerana takut kepada Allah.

Contoh perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya." (a-Hasyr:21)

Keutamaan akal fikiran ini ditegaskan Rasulullah s.a.w dalam dalam satu hadis daripada Ibnu Hibban, maksudnya: "Berfikir sesaat lebih baik daripada beribadat setahun."

Dalam satu kisah, Abu Said al-Khudri menyampaikan sabda Rasulullah yang bermaksud: "Berilah hak matamu di bidang ibadat!"

Sahabat bertanya: "Apakah hak mata di bidang ibadat itu wahai Rasulullah?"

Jawab Rasulullah: "Membaca al-Quran, memikirkan isinya dan mengambil pengajaran keajaiban kandungannya."

Wahab bin Munabih pula berkata: "Semakin tajam seseorang itu berfikir, semakin berilmulah dia dan apabila dia berilmu, semakin banyaklah amalnya."

Al-Ghazali berkata, akal itu mulia dan menjadikan manusia mulia.

Melalui akal, manusia mendapat ilmu.Ibn Khaldun bersetuju akal fikiran (quwwah natiqah) membezakan antara manusia dengan makhluk lain.

Menurut Aristotle, jiwa manusia adalah hakikat diri manusia dan potensi berfikir adalah sebahagian darinya, sementara orang bijak pandai berkata 'berfikir itu pelita hati.'

Hasan al-Basri r.h berkata: "Sesungguhnya golongan yang berfikir mereka sentiasa mengulangi apa yang mereka ingati, sehinggalah hati mereka dapat berbicara dengan kata-kata hikmah."

Lukman al-Hakim berkata: "Sesungguhnya dengan lamanya duduk, aku akan lebih memahami untuk berfikir dan panjang berfikir, petunjuk jalan ke syurga."

Imam al-Ghazali menyifatkan akal fikiran sebagai sumber, tempat terbit dan asas ilmu.

Ilmu pula apabila dinisbahkan kepada akal ibarat buah kepada pokok, cahaya kepada matahari, pandangan kepada mata.

Beliau memberikan empat kategori mengenai akal:

i. Akal merujuk kepada suatu sifat yang membezakan manusia dari sekalian haiwan.

Akal dalam erti kata ini adalah sifat semula jadi manusia.

ii. Akal merujuk kepada ilmu daruri, terhasil apabila seorang mencapai usia tamyiz.

Ilmu daruri ialah ilmu membolehkan dikenali perkara wajib, mustahil dan harus pada akal.

Contohnya, mustahil seorang manusia di dua tempat pada satu masa.

iii. Akal merujuk kepada ilmu pengetahuan diperoleh melalui uji kaji dan pengalaman hidup. i

v. Akal merujuk kepada kesempurnaan sifat akal, apabila ia mengetahui akibat setiap perkara dan mengekang syahwat dari menurut kelazatan sementara.

Apabila keadaan ini terhasil pada diri seseorang, dia dipanggil 'manusia berakal' kerana yang memandu tindakannya ialah kesedaran dan keinsafan terhadap perbuatannya, bukan dorongan hawa nafsu.

Merujuk kepada kategori ketiga, iaitu ilmu yang dipelajari dari pengalaman, perbezaan antara manusia berpunca daripada kemampuan asli akal itu sendiri dan pengalaman dilalui.

Bagi kategori keempat, perbezaan manusia kerana berbeza kemampuan mengekang nafsu.

Manusia memiliki keupayaan berbeza dalam hal ini, bahkan seseorang mungkin berupaya mengekang nafsu dalam perkara tertentu dan tidak dalam hal lain.

Faktor yang boleh dikaitkan dengan akal fikiran dalam perbezaan ini ialah ilmu yang menyedarkan seseorang mengenai kemudaratan, akibat hawa nafsu.

Seorang yang berilmu lebih mampu menjauhi maksiat berbanding si jahil kerana lebih tahu kemudaratannya.

Akal fikiran membolehkan manusia menilai baik dan buruk, mampu membezakan di antara yang benar dan palsu, bersih dan kotor, untung atau rugi, malah memandu untuk mengenal diri dan Penciptanya.

Penggunaan daya fikir yang tinggi dan lebih serius membolehkan manusia mencapai ketamadunan dan kemajuan dalam pelbagai lapangan.

Umat Islam satu ketika mampu meraih kegemilangan apabila menggunakan kemampuan daya fikir yang tinggi, sebagaimana ditonjolkan tokoh Muslim seperti Jabir bin Haiyan, al-Kindi, al-Khwarizmi, al-Farabi dan banyak lagi.

Al-Kindi (801-873) misalnya, cukup terkenal di Barat dengan nama Alkindus, seorang cerdik pandai Arab dalam pelbagai bidang, terutama sains, astrologi, kosmologi, logik, matematik, muzik, fizik, psikologi dan meteorologi.

Kisah seorang Barat, Isaac Newton (1643-1927), iaitu seorang ahli fizik, matematik, falsafah dan astronomi yang terkenal dengan penemuan formula graviti wajar juga diambil pengajaran.

Sejak lahir beliau tidak pernah melihat bapanya bekerja sebagai petani, kerana beberapa bulan sebelum lahir bapanya meninggal.

Kehidupan beliau sangat susah, namun masih berpeluang mendapat ijazah sarjana muda pada usia 22 tahun.

Pada suatu malam, beliau berjalan-jalan di sekitar kebun sambil berfikir dan memerhatikan keadaan sekeliling.

Tanpa sedar, fikirannya berakhir pada satu persoalan; mengapa bulan bergerak mengelilingi bumi?

Selepas letih berjalan dan tidak mendapat jawapan, beliau berehat di bawah pohon epal.

Tiba-tiba buah epal jatuh berdekatannya.

Kejadian itu menimbulkan persoalan di dalam benaknya.

Mengapa buah itu harus jatuh tepat di bawahnya dan tidak ke sekitarnya atau ke atas?

Beliau berfikir lagi hingga menemui satu kesimpulan, iaitu buah epal jatuh ke bawah kerana adanya tarikan dari bumi dan daya seperti itu dinamakan daya graviti.

Ia bukan saja berlaku pada bumi, malah planet lain termasuk bulan, bintang dan matahari mempunyai daya gravitinya.

Demikianlah dengan kemampuan dan kehebatan akal fikiran.

Bahkan, dengan fikiran yang sihat dapat memupuk keimanan kepada Allah serta menolak perkara bersifat tahyul dan khurafat.

Waktu mustajab berdoa


BERDOA adalah otak ibadat.

Begitulah besarnya kedudukan doa.

Lagi banyak kita minta, lagi disayangi Allah dan ia berbeza dengan manusia, lagi banyak kita minta, lagi banyak kita dimarahi, malah dimaki lagi, “tak ada kerja ke asyik minta saja.”

Doa adalah lambang perhambaan kita dan kita dicipta supaya menjadi hamba-Nya.

Berdoa, doa juga, tetapi supaya mudah diterima, kita patut meneliti dan tahu waktu yang sangat mustajab berdoa antaranya:

(1) Waktu sepertiga malam, iaitu waktu terakhir, ketika orang lain nyenyak tidur.

Allah s.w.t berfirman, maksudnya: “Mereka (para muttaqin) sedikit sekali tidur di waktu malam dan di akhir malam, mereka memohon ampun (kepada Allah).” (Adz-Dzariyat: 18-19)

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Rabb (Tuhan) kita turun di setiap malam ke langit terendah, iaitu ketika sepertiga malam terakhir, lalu Dia berfirman: Siapa yang berdoa kepada-Ku, Aku kabulkan.

Siapa yang meminta kepada-Ku, Aku berikan kepadanya dan siapa yang meminta ampun kepada-Ku, Aku ampunkan untuknya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

(2) Waktu antara azan dan iqamah, iaitu ketika menunggu solat berjemaah.

Sayangnya waktu mustajab ini sering disalahgunakan sesetengah umat Islam yang kurang mengerti sunnah, sehingga diisi dengan hal tidak baik dan tidak dianjurkan Islam, membicarakan urusan dunia yang tidak bernilai ibadat.

(3) Pada waktu sujud.

Iaitu sujud di dalam solat atau sujud lain yang diajarkan Islam seperti sujud syukur, sujud tilawah dan sujud sahwi.

Dalilnya adalah hadis Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Kedudukan hamba yang paling dekat dengan Tuhannya adalah ketika ia dalam keadaan sujud, maka perbanyaklah doa.” (Hadis riwayat Muslim)

Hadis Ibnu Abbas r.a, dia berkata: “Rasulullah s.a.w membuka tabir (ketika baginda sakit), sementara orang ramai sedang berbaris (solat) di belakang Abu Bakar r.a.

Lalu Rasulullah s.a.w bersabda:“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya tidak ada lagi daripada mubasysyirat nubuwwah (kabar gembira kenabian) kecuali mimpi baik yang dilihat oleh seorang Muslim atau diperlihatkan untuknya.

Ingatlah bahawasanya aku dilarang untuk membaca al-Quran ketika rukuk atau ketika sujud.

Adapun di dalam rukuk, agungkanlah Allah dan adapun di dalam sujud, bersungguhlah berdoa, sebab (hal itu) segera dikabulkan bagi kamu.” (Hadis riwayat Muslim)

(4) Selepas solat fardu.

Iaitu selepas melaksanakan solat wajib lima waktu, termasuk selepas solat Jumaat.

Allah berfirman, maksudnya:“Dan bertasbihlah kamu kepada-Nya di malam hari dan selesai solat.” (Qaaf: 40)

Oleh kerana itu, Imam Syafie dan pengikutnya menjelaskan, dianjurkan bagi imam dan makmumnya serta orang yang solat sendirian memperbanyakkan zikir, wirid dan doa selepas selesai solat fardhu.

Dianjurkan membaca doa dengan perlahan kecuali jika makmum belum mengerti, imam boleh menguatkan bacaan agar makmum menirunya.

Apabila mereka mengerti, kembalilah secara perlahan.

(5) Pada waktu khusus, tetapi tidak diketahui dengan pasti batasannya, iaitu satu detik pada setiap malam dan setiap hari Jumaat.

Ini berdasarkan hadis Jabir r.a, dia berkata: “Saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:“Sesungguhnya di malam hari ada satu saat (yang mustajab), tidak ada seorang Muslim pun yang bertepatan pada waktu itu meminta kepada Allah kebaikan urusan dunia dan akhirat melainkan Allah pasti memberi kepadanya.” (Hadis Riwayat Muslim).

Hadis Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w pernah menyebut hari Jumaat, baginda bersabda:“Di dalamnya ada satu saat (yang mustajab), tidaklah seorang hamba Muslim yang kebetulan waktu itu sedang mendirikan solat (atau menunggu solat) dan memohon kepada Allah sesuatu (hajat) melainkan Allah pasti mengabulkan permohonannya.”

Nabi s.a.w mengisyaratkan dengan tangannya akan sedikitnya saat mustajab itu. (Hadis riwayat al-Bukhari)

Di dalam hadis Muslim dan Abu Daud dijelaskan: “Iaitu waktu antara duduknya imam (khatib) sehingga selesainya solat (Jumaat).”

Inilah riwayat yang paling sahih dalam hal ini.

Sementara dalam hadis Abu Daud yang lain, Nabi s.a.w memerintahkan agar kita mencarinya di akhir waktu Asar.

Waktu lain yang mustajab ialah sepertiga akhir malam, ketika hujan turun, waktu awal pagi ketika dengar ayam berkokok, ketika berpuasa, ketika bermusafir, bulan Ramadan dan pada 10 akhir Ramadan.

Kebesaran solat dua rakaat


ALLAH selesai menciptakan Jibril a.s dengan bentuk yang cantik dan Allah menciptakan pula baginya 200 sayap yang panjang.

Sayap itu antara timur dan barat.

Ada pendapat menyatakan 124,000 sayap.

Selepas itu Jibril a.s memandang dirinya sendiri dan berkata: “Wahai Tuhanku, adakah Engkau menciptakan makhluk yang lebih baik daripadaku?”

Lalu Allah berfirman yang ber maksud: “Tidak.”

Kemudian Jibril a.s berdiri dan bersolat dua rekaat kerana syukur kepada Allah dan setiap rekaat itu tempohnya 20,000 tahun.

Selepas Jibril a.s solat, Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai Jibril, kamu sudah menyembah Aku dengan ibadat yang bersungguh-sungguh dan jika tidak ada seorangpun yang menyembah kepada-Ku seperti ibadat kamu, akan tetapi di akhir zaman nanti akan ada seorang nabi yang mulia yang paling Aku cintai, namanya Muhammad.

Dia mempunyai umat yang lemah dan sentiasa berdosa.

Sekiranya mereka itu mengerjakan solat dua rekaat yang hanya sebentar saja dan mereka dalam keadaan lupa serta serba kekurangan, fikiran mereka melayang bermacam-macam dan dosa mereka pun besar juga.

Maka demi kemuliaan-Ku dan ketinggian-Ku, sesungguh nya solat mereka itu Aku lebih sukai dari solatmu itu.

Kerana mereka mengerjakan solat atas perintah-Ku, sedangkan kamu mengerjakan solat bukan atas perintah-Ku.”

Kemudian Jibril a.s berkata: “Ya Tuhanku, apakah yang Engkau hadiahkan kepada mereka sebagai imbalan ibadat mereka?”

Lalu Allah berfirman yang bermaksud: “Ya Jibril, akan Aku berikan syurga Ma'wa sebagai tempat tinggal.”

Sesungguhnya Allah menyembunyikan enam perkara, iaitu:
  • Allah menyembunyikan reda-Nya dalam taat.
  • Allah menyembunyikan murka-Nya di dalam maksiat.
  • Allah menyembunyikan nama-Nya yang Maha Agung di dalam al-Quran.
  • Allah menyembunyikan Lailatul Qadr di dalam Ra madan.
  • Allah menyembunyikan solat yang paling utama di dalam solat (lima waktu).
  • Allah menyembunyikan (tarikh berlaku) hari kiamat di dalam semua hari.

Lima jenis sabar


SABAR adalah satu sifat manusia.

Ia bererti menahan dan menanggung diri daripada perkara yang tidak disukai Allah kepada yang disukai atau menahan dan menanggung diri daripada yang disukai nafsu kepada yang disukai Allah.

Berpandukan kepada pengertian itu, sabar adalah satu istilah yang mengandungi pelbagai makna dan nama.

Contohnya menahan diri di medan perang disebut berani (as-saja'ah), lawannya bacul (al-jubn), manakala menahan diri daripada suatu keinginan nafsu Arabnya disebut 'dabtun nafs' dan lawannya 'al-batr'.

Sabar adalah senjata terpenting manusia, lebih-lebih lagi diri manusia sentiasa menghadapi pelbagai ujian.

Dengan sifat ini membolehkan manusia mengatasi ujian dan mencapai kejayaan.

Banyak nas yang memerintah kita bersifat sabar, antaranya bermaksud: "Hai orang-orang beriman, bersabarlah dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap sedia (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntung." (Ali-Imran:200)

Cendekiawan membahagikan sifat sabar kepada beberapa jenis, iaitu:

(1) Sabar terhadap kesusahan dan bala bencana yang menimpa pada manusia biasa, bahkan di kalangan nabi.

Antara yang dirumuskan al-Quran ialah sabar dalam bentuk ini termasuklah bersabar dengan kefakiran atau kelaparan, bersabar terhadap kesakitan, ketika peperangan dan ketakutan, kerana kehilangan wang, kehilangan jiwa dan harta benda.

(2) Sabar terhadap keinginan nafsu yang menjadi urusan syaitan.

Antaranya sabar atas tarikan dan runtunan nafsu yang rendah dan hina, termasuk bersabar dari menurut perasaan marah.

(3) Sabar terhadap kemewahan.

Ini termasuk bersabar terhadap kenikmatan orang lain, seperti orang kafir dan golongan taghut yang pada lahirnya nikmat tetapi pada batinnya adalah azab.

(4) Sabar terhadap ketaatan yang sememangnya banyak halangan.

Nafsu itu tabiatnya liar dan tidak suka kepada pengabdian, malah malas pula untuk melaksanakan amal ketaatan.

Kesabaran ini memerlukan tiga peringkat:

Sebelum dapat melaksanakan sesuatu ketaatan, perlulah memperbaiki niat dan ikhlas, sabar daripada riak yang merosakkan dan sabar untuk menguatkan keazaman.

Ketika mengerjakan ketaatan, hendaklah sentiasa berjaga dan berwaspada daripada faktor yang boleh melemahkannya.

Selepas mengerjakannya hendaklah bersifat sabar daripada melakukan suatu yang membatalkan amal ketaatannya.

(5) Sabar terhadap kesusahan berdakwah ke jalan Allah.

Dakwah ke jalan Allah adalah suatu usaha mulia dan suci.

Ia adalah warisan daripada rasul dan nabi, mempunyai halangan dari musuh kebenaran dan kebaikan.

Harus diingat, dakwah kepada jalan Allah dan agama-Nya sangat bertentangan dengan keinginan dan hawa nafsu, dengan adat dan tradisi, keseronokan dan kerehatan, pangkat dan kedudukan, bahkan kekayaan dan kekuasaan.

6 perkara dorong beribadat


PADA waktu Rasulullah s.a.w mengembala kambing, ada sekumpulan remaja melepak tidak jauh daripadanya sambil berborak dan ketawa.

Tiba-tiba seorang lelaki tua bernama Thulaihah al-Aamidi datang bertanyakan Rasulullah s.a.w:

"Wahai Muhammad! Kenapa kamu tidak bermain-main dan lepak seperti remaja di sana itu?"

Dengan tegas, Rasulullah s.a.w menjawab: "Saya diciptakan bukan untuk itu."

Jawapan baginda itu memberitahu kita, remaja berhibur bukan satu kesalahan malah kadangkala ia diperlukan.

Tetapi hiburan hingga melalaikan, itu yang merosakkan.

Di sebalik jawapan Nabi s.a.w yang agung itu, ada mesej penting iaitu hidup ini untuk beribadat kepada Allah.

Kadang-kadang ada yang lepak hingga lupa untuk menunaikan solat.

Mereka yang bermain bola pada waktu petang di padang tidak lagi malu dengan azan yang berkumandang.

Padang bola pula bersebelahan masjid.

Haiwan ternakan seperti kambing dan lembu pun balik ke kandang tetapi sesetengah kita asyik berborak dan bergelak ketawa di tepi jalan.

Inilah yang dilarang Nabi. Waktu kerja, waktu rehat, masa tidur, makan dan bermain ada, tetapi sayangnya waktu ibadat tidak dimasukkan dalam jadual.

Ada yang beribadat apabila berkesempatan dan bila tidak sempat qada saja.

Ada pula memberikan alasan sibuk. Kadang-kadang ada remaja bertanya, kenapa perlu beribadat?

Ada enam alasan kita mesti mengabdikan diri kepada Allah. Jika kita memahami enam perkara ini, semangat ibadat kita tidak akan luntur walau bagaimana sibuk.

Pertama, tujuan kita dicipta Allah ialah supaya kita beribadat kepada-Nya.

Firman Allah bermaksud: "Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah-Ku." (Al-Quran, surah adz-Dzaariyat: 56)

Jika tugas lain kita boleh ingat, tugas ibadat lebih utama dan lebih-lebih lagi kita harus mengingatinya.

Kedua, kita wajib beribadat sebagai tanda syukur kepada-Nya, atas nikmat yang terlalu banyak.

Tidak mampu kita menghitungnya. Terlalu banyak nikmat, malah dapat percuma.

Zaman sekarang tidak ada percuma, semuanya kena bayar.

Bil elektrik dan telefon, jika tidak dibayar kena potong.

Tetapi kita dapat jantung percuma, paru-paru percuma dan kalau kena bayar pasti hujung bulan malaikat bawa bil, tidak bayar kena potong.

Kita yang tidak beribadat ini matilah.

Ketiga, wajib beribadat sebab kita sudah berjanji di alam roh.

Firman Allah maksudnya: "Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam daripada (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (Firman-Nya): Bukankah Aku Tuhan kamu?

Mereka menjawab: Benar, kami menjadi saksi..." (Al-Quran, surah al-A'raaf:172)

Keempat, kita wajib beribadat sebab antara tugas dan kewajipan rasul ialah mengajak manusia menyembah Allah dan menjauhkan taghut (kejahatan).

Jika nabi yang sangat rapat dengan Allah pun tidak terlepas beribadat, apatah lagi kita.

Firman Allah bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul: Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut..." (Al-Quran, surah al-Nahl: 36)

Kelima, kita mesti beribadat dan mengabdikan diri kepada Allah kerana Dia yang paling berkuasa.

Allah yang mengatur kehidupan kita, kerana itu tidak boleh kita leka dengan kerja lain, melupakan Allah, apatah lagi jika menyembah tuhan lain.

Keenam, kita mesti mengabdikan diri kepada Allah kerana azab yang amat mengerikan menanti di akhirat.

Allah amat murka kepada orang yang derhaka pada-Nya.

Al-Quran menyebut bagaimana orang yang mengikut nabi membuat pengakuan.

Ini terbukti dalam firman Allah maksudnya: "Katakanlah: Sesungguhnya aku takut jika aku derhaka kepada Tuhanku, (akan dikenakan) azab hari yang besar (hari Kiamat)." (Al-Quran, surah al-An'am: 15)