Sabtu, 28 Januari 2012

Nasihat Lukman Al-Hakim Kepada Anaknya

1 – Wahai anakku, elakkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu akan menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.

2 – Wahai anakku, sekiranya ibubapa mu marah kepadamu kerana kesilapan yang telah kamu lakukan, maka kemarahan ibubapamu adalah seperti baja untuk menyuburkan tanam tanaman.

3 – Wahai anakku, jika kamu mahu mencari kawan sejati, maka ujilah dia terlebih dahulu dengan berpura pura membuatkan dia marah padamu. Sekiranya dalam kemarahan itu dia masih mahu menasihati dan menginsafkan kamu, maka bolehlah kamu mengambil dia sebagai kawan. Jika berlaku sebaliknya maka berwaspadalah kamu terhadapnya.

4 – Wahai anakku, bila kamu mempunyai teman karib, maka jadikanlah dirimu padanya sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Sebaliknya biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.

5 – Wahai anakku, jagalah dirimu supaya tidak terlalu condong kepada dunia dan hatimu selalu disusahkan olah dunia saja kerana kamu diciptakan Allah bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunia.

6 – Wahai anakku, janganlah kamu ketawa jika tiada sesuatu yang menggelikan, janganlah kamu berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah kamu bertanya sesuatu yang tidak ada guna bagimu, janganlah mensia siakan harta mu pada jalan maksiat.

7 – Wahai anakku, sesiapa yang bersifat penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada mengeluarkan perkataan yang sia-sia, dan sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari berkata kotor tentu dia akan menyesal kelak.

8 – Wahai anakku, bergaullah dengan orang yang soleh dan berilmu. Bukalah pintu hati mu dan dengarkanlah segala nasihat dan tunjuk ajar darinya. Sesungguhnya nasihat dari mereka bagaikan mutiara hikmah yang bercahaya yang dapat menyuburkan hatimu seperti tanah kering lalu disirami hujan.

9 – Wahai anakku, sesungguhnya dunia ini bagaikan sebuah kapal yang belayar di lautan yang dalam, banyak manusia yang karam ke dalamnya. Jika engkau ingin selamat, maka belayarlah dengan kapal yang bernama ‘taqwa’, isinya ialah ‘iman‘ dan layarnya adalah ‘tawakkal kepada Allah’.

10 – Wahai anakku, jika kamu mempunyai dua undangan majlis, iaitu majlis takziah kematian atau majlis perkahwinan, maka utamakanlah majlis kematian, kerana ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri majlis perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada keseronokan duniawi sahaja.

11 – Wahai anakku, janganlah kamu terus menelan apa sahaja yang kamu rasa manis janganlah terus meludah sahaja apa yang kamu rasa pahit, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kelemahan.

12 – Wahai anakku, janganlah kamu makan sampai kenyang yang berlebihan, kerana sesungguhnya adalah lebih baik jika bahagian dari yang kenyang itu diberikan kepada anjing sahaja.

13 – Wahai anakku, janganlah kamu menjadi lebih lemah dari seekor ayam jantan, kerana ia telah berkokok pada waktu pagi hari sedangkan kamu pada waktu itu masih terbaring di atas katilmu.

14 – Wahai anakku, jangan kamu melantik seseorang yang bodoh menjadi utusanmu. Jika tiada siapa yang lebih cerdas, pintar dan bijak maka sebaiknya dirimu sendirilah yang menjadi utusan.

15 – Wahai anakku, orang yang bersedia untuk mendengar nasihat dan bimbingan dari orang yang lebih alim, maka dia layak untuk mendapat penjagaan dari Allah tetapi bagi orang yang insaf setelah menerima teguran maka dia lebih layak untuk mendapat kemuliaan dari Allah.

16 – Wahai anakku, orang yang merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kepada Allah, maka dia tawadduk kepada Allah, dia akan lebih dekat kepada Allah dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada Allah.

17 – Wahai anakku, seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seorang yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak melamunkan hal hal yang tidak benar. Ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah daripada memberi pengertian kepada orang yang tidak mahu mengerti.

18 – Wahai anakku, kamu telah merasakan betapa beratnya mengangkat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih lagi daripada semua itu, adalah bilamana kamu mempunyai jiran yang jahat.

19 – Wahai anakku, jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu telah memberikan akibat yang berbahaya.

20 – Wahai anakku, bukanlah satu kebaikan namanya bila mana kamu selalu mencari ilmu tetapi kamu tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah bagaikan orang yang mencari kayu bakar, maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih mahu menambahkannya.

21 – Wahai anakku, jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau mengharap sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riya yang akan mendatangkan cela pada dirimu.

22 – Wahai anakku, ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke keranjang atau bakul sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang membuat beban orang lain. Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.

23 – Wahai anakku, apabila kamu menghampiri kediaman sesuatu kaum, ucaplah salam. Kemudian duduklah ditempat yang telah disediakan oleh mereka. Jangan mulakan perbualan sehingga mereka mulakannya. Sekiranya mereka suka berzikir maka sertailah mereka, jika sebaliknya maka jauhilah mereka dan sertailah kelompok lain.

24 – Wahai anakku, bertakwalah kepada Allah, orang lain tidak akan tahu engkau takut kepada Allah s.w.t hanya untuk dihormati, sedangkan hatimu menyimpang daripada kebenaran.

25 – Wahai anakku, janganlah engkau terlalu menyayangi orang jahil kerana dia akan menganggap kamu bersetuju dengan perbuatannya. Janganlah engkau menghina sesuatu yang dibenci oleh orang bijaksana kerana dia akan terus meninggalkanmu.

26 – Wahai anakku, ketahuilah bahawa kekuasaan berada pada mulut orang-orang yang bijaksana. Mereka tidak berkata-kata melainkan dengan apa yang dikurniakan Allah s.w.t

27 – Wahai anakku, janganlah engkau menyesal kerana berdiam sahaja. Sesungguhnya percakapan itu berharga perak, sedangkan berdiam diri berharga emas.

28 – Wahai anakku, hindarilah dirimu daripada kejahatan, nescaya ia akan menjauhimu. Sesungguhnya kejahatan itu untuk sejahat-jahat makhluk.

29 – Wahai anakku, pilihlah majlis-majlis yang mengingati Allah, sertailah mereka, sekiranya engkau seorang yang berilmu engkau dapat memanfaatkan ilmumu. Sekiranya engkau seorang yang bodoh mereka akan mengajarmu. Allah akan merahmatimu dan juga mereka. Wahai anakku janganlah engkau menyertai majlis-majlis yang tidak mengingati Allah, sekiranya engkau seorang yang berilmu, engkau tidak dapat memanfaatkannya. Sekiranya engkau seorang yang bodoh, engkau akan bertambah bodoh. Allah akan murka kepadamu dan kepada mereka.

30 – Wahai anakku, janganlah engkau makan makanan yang tidak bersih. Bermesyuaratlah dalam urusanmu yang berbentuk ilmu.

31 – Wahai anakku, janganlah beriri hati dan tanding menandingi kerana ia meluaskan medan pertumpahan darah orang yang beriman. Pertumpahan darah dianggap oleh Allah sebagai pembunuhan, bukan kematian.

32 – Wahai anakku, sesungguhnya kebijaksaaan itu meletakkan orang miskin pada taraf raja-raja.

33 – Wahai anakku, hendaklah kamu ingat kebaikan orang dan lupa kejahatan orang. Dan hendaklah kamu lupa kebaikan kamu terhadap orang dan ingatlah kejahatan yang kamu lakukan kepada orang.

Petikan ayat2 Al-Quran

1 – “Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya: “Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan (Allah) sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar.” Surah Luqman : Ayat 13

2 – “Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepada-Kulah kembalimu. Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku, kemudian hanya kepada-Kulah kembalimu, maka Ku-beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.” Surah Luqman : Ayat 14 – 15

3 – “(Luqman berkata): “Hai anakku, sesungguhnya jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi, dan berada dalam batu atau di langit atau di dalam bumi, nescaya Allah akan mendatangkannya (membalasinya). Sesungguhnya Allah Maha Halus lagi Maha Mengetahui. ” Surah Luqman : Ayat 16

4 – “Hai anakku, dirikanlah shalat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).

Dan janganlah memalingkan muka dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.

Dan sederhanalah kamu dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai. “ Surah Luqman : Ayat 17 – 19

Ahad, 22 Januari 2012

Ciri-ciri Aqidah Yang Sah

“Katakanlah (wahai Muhammad) “Hai orang orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah.Dan kamu tidak akan mahu menyembah (Allah) yang aku sembah.Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat.Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat.Bagi kamu agama kamu.Dan bagiku agamaku”. (Surah al Kafirun ayat 1- 6)

“Sampaikan secara berterus terang akan apa yang diperintahkan kepadamu (wahai Muhammad) dan janganlah engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir Musyrik itu”. (Surah al- Hijr ayat 94)

Firman Allah Taala ini adalah menjadi dalil bahawa aqidah yang sahih tidak bertolak ansur dalam menanamkan keimanan dan tauhid ke dalam hati seseorang manusia.dan tidak memperdulikan sebarang usaha daripada orang orang yang tidak bertanggungjawab yang cuba hendak memesongkan aqidah dan keimanan seseorang.

CIRI CIRI AQIDAH YANG SAHIH ITU IALAH:

1.Percaya kepada Allah, malaikat, malaikat Nya, rasul rasulNya, kitab kitab Nya, hari akhirat, qadha’ dan qadar yang menjadi rukun iman.


2.Aqidah yang berlandaskan dalil dalil syariah dari al Quran dan al Sunnah yang menjadi asas agama Islam.

3.Amal ibadat seseorang itu hanya sah dan terima Allah adalah ibadat yang terbit dan datang dari aqidah yang sahih.
4.Amal ibadat yang bukan terbit dari aqidah yang sahih adalah sia sia sahaja, iaitu tidak mendapat apa apa balasan daripada Allah.

5.Ciri ciri aqidah yang sahih ialah mentauhidkan Allah, iaitu mengiktikadkan dengan iktikad yang pasti dan tetap, Allah Taala itu Maha Esa dan tidak ada yang berhak disembah selain daripada Allah.

6.Sesuatu amalan dan ibadat yang diterima Allah ialah amalan dan ibadat yang dikerjakan semata mata kerana Allah secara khudhu, rughbah,ruhbah,hunnulillah,tazallul, dan ikhlas.

7.Ciri ciri aqidah yang sahih juga tidak bertolak ansur dalam penghayatan aqidah yang berlandaskan al Quran dan al Sunnah supaya orang orang yang beriman dan Islam tetap di atas dasar tauhid.

8.Sikap tidak bertolak ansur dalam penghayatan aqidah yang sahih merupakan suatu ketegasan dalam mempertahankan agama Islam dan aqidah sahih itu.

9.Rasulullah SAW dengan kekuatan aqidahnya secara berterus terang dan berani menentang dan menolak cadangan kafir Quraisy dan kaum Musyrikin yang mengajak Baginda menyembah berhala mereka.

10.Aqidah yang sahih adalah aqidah yang berlandaskan “al Quran dan al Sunnah” uang diistilahkan “aqidah ahli al sunnah wal jamaah” iaitu iktikad yang mengikut iktikad Nabi Muhammad SAW dan kumpulan orang ramai.


Tutupilah Auratmu

Nabi saw. bersabda, "Wahai anakku Fatimah! Ada pun perempuan-perempuan yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya di dalam neraka adalah mereka yang tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya". (HR Bukhari dan Muslim)

Nabi saw. bersabda, "Ada dua golongan penduduk neraka yang keduanya belum pernah aku lihat:


(1) Kaum yang memiliki cambuk seperti ekor lembu yang digunakan untuk memukul manusia (penguasa yang zalim).

(2) Wanita-wanita yang berpakaian tetapi telanjang (tidak menutup aurat), berjalan dengan berlenggok-lenggok, mudah dirayu atau suka merayu, rambut mereka bagaikan punuk unta.

Wanita-wanita tersebut tidak akan dapat masuk syurga, bahkan tidak akan dapat mencium bau syurga. Pada hal bau syurga itu dapat dicium dari jarak yang sangat jauh." (HR Muslim)

Menutup aurat adalah perintah Allah.

Tidak menutup aurat dengan sempurna adalah berdosa dan merupakan suatu maksiat yang akan dibalas dengan siksaan yang pedih di akhirat kelak jika tidak sempat bertaubat.

Bertaubatlah sebelum terlambat.

Ahad, 15 Januari 2012

4 Wanita Dalam Syurga & 4 Wanita Dalam Neraka

Empat Wanita Dalam Surga :
(1) Wanita yang menjaga diri dari berbuat haram, berbakti pada Allah swt, Rasul dan suaminya.


(2) Wanita yang menerima dengan senang hati keadaan serba kekurangan dengan suaminya dan banyak keturunannya serta penyabar.

(3) Wanita yang bersifat pemalu dan bila suaminya pergi ia menjaga diri dan harta suaminya dan jika suaminya datang ia mengekang mulutnya dari perbuatan yang tidak layak.

(4) Wanita yang ditinggal mati suaminya dan mempunyai anak masih kecil lalu menahan dirinya untuk kawin lagi kerana ingin mengurus anak-anak dan mendidik serta memperlakukannya dengan baik, dan bersedia kawin lagi kerana khuatir anaknya akan sia-sia / terlantar.


Empat Wanita Dalam Neraka ( kecuali telah bertobat) :
(1) Wanita yang mulutnya jelek pada suaminya dan jika suaminya pergi ia tidak menjaga dirinya dan jika suaminya datang ia memaki / memarahinya.

(2) Wanita yang memaksa suaminya membeli apa yang suaminya tidak mampu.

(3) Wanita yang tidak menutupi dirinya dari laki-laki lain dan keluar rumah dengan menampakkan perhiasan dan
kecantikannya untuk menarik perhatian laki-laki lain.

(4) Wanita yang tidak mempunyai tujuan hidup kecuali makan, minum dan tidur serta tidak berbakti pada Allah swt dan suaminya...

Wallahualam


Isnin, 9 Januari 2012

Jangan Menunggu

1. Jangan menunggu bahagia baru tersenyum, tapi tersenyumlah, maka kamu akan bahagia.

2. Jangan menunggu kaya baru bersedekah, tapi bersedekahlah, maka kamu semakin kaya.

3. Jangan menunggu termotivasi baru bergerak, tapi bergeraklah, maka kamu akan termotivasi.

4. Jangan menunggu dipedulikan orang baru kamu peduli, tapi pedulilah tentang orang lain. Maka kamu akan dipedulikan...

5. Jangan menunggu orang memahami kamu baru kamu memahami mereka, tapi fahamilah orang itu, maka orang itu faham dengan kamu.

6. Jangan menunggu terinspirasi baru menulis,tapi menulislah, maka inspirasi akan hadir dalam tulisanmu.

7. Jangan menunggu homework, baru bekerja, tapi bekerjalah, maka homework kamu akan menunggumu.

8. Jangan menunggu dicintai baru mencintai, tapi belajarlah mencintai,maka kamu akan dicintai.

9. Jangan menunggu banyak ruang,baru hidup tenang, tapi hiduplah dengan tenang. Percayalah... bukan sekadar ruang yang datang tapi juga rezeki yang lainnya.

10. Jangan menunggu contoh baru bergerak mengikuti, tapi bergeraklah,maka kamu akan menjadi contoh yang diikuti.

11. Jangan menunggu berjaya baru bersyukur,tapi bersyukurlah, maka akan bertambah kejayaan.

12. Jangan menunggu mampu baru melakukan, tapi lakukanlah!

Khamis, 5 Januari 2012

Apasal La Aku Malas Solat

Apasal la aku malas solat,
Tuhan kasi aku jasad siap dengan bayang-bayang,

Bukan ke lebih beruntung daripada tiang,
Berdiri tanpa roh malam siang…

Apasal la aku malas solat,
Kerja dah best keluarga pun dah senang,
Negara pun dah aman tidak lagi hidup berdagang,
Takkan lima minit lima waktu aku tak boleh luang..

Apasal la aku malas solat,
Tuhan kasi otak supaya aku tak bangang,
Tuhan kasi ilmu boleh fikir susah senang,
Tuhan kasi nikmat kenapa aku tak kenang…

Apasal la aku malas solat,
Main bola aku sanggup sampai petang,
Beli tiket konsert aku sanggup beratur panjang,
Apa la aku ingat masuk syurga boleh hutang…?

Apasal la aku malas solat,
Aku kena ingat umur kita bukannya panjang,
Pagi kita sihat petang boleh kejang,
Nanti dalam kubur kena balun sorang-sorang….

Apasal la aku malas solat,
Seksa neraka cuba la aku bayang,
Perjalanan akhirat memang terlalu panjang,
Janji Allah Taala akan tertunai tak siapa boleh halang!!!


Rabu, 4 Januari 2012

Kenapa Orang Asyik Tegur Aurat Wanita Berbanding Lelaki?

Apabila ditegur bab aurat, ramai wanita yang melahirkan rasa tidak puas hati.

Kenapa semua orang asyik menegur aurat kaum mereka sahaja? Kenapa tidak menegur aurat lelaki?

Mereka merasakan itu tidak adil kerana seolah-olah mereka sahaja yang wajib menutup aurat.

Sedangkan lelaki ada juga yang tidak menutup aurat. Malah aku pernah dituduh anti perempuan kerana asyik menempelak kaum mereka terutama dalam bab aurat.

Amboii.. Signboard ni pun main kasar nampak.. Simbol wanita je? ;-p

***************************
Antara Sebab Kenapa Ramai Lebih Fokus Aurat Wanita Berbanding Aurat Lelaki

1. Islam lebih menekankan aurat perempuan.
Dalil khusus mengenai perempuan lebih banyak ditekankan dalam Al-Quran dan hadis Nabi berbanding aurat lelaki.


Adakah anda ingin menuduh Al-Quran berat sebelah pula? Pendapat empat mazhab mengenai aurat wanita juga hampir sama iaitu aurat ketika solat.

Berbeza dengan aurat lelaki, empat mazhab berbeza pendapat. Mazhab Syafie dan Hanafi lebih teliti dengan meletakkan dari atas pusat sehingga bawah lutut.

Manakala Mazhab Hambali dan Maliki menetapkan aurat lelaki hanyalah menutup kemaluan sahaja. Dan ada pelbagai lagi khilaf ulama mengenai aurat lelaki.


2. Aurat wanita lebih susah dijaga berbanding lelaki.
Aurat lelaki cuma dari paras pusat hingga ke bawah lutut. Manakala bagi wanita, auratnya adalah keseluruhan tubuh kecuali muka dan tapak tangan.


Jadi, peratusan wanita yang mendedahkan aurat adalah lebih tinggi. Sedangkan wanita yang bertudung pun belum tentu menutup auratnya dengan sempurna.

Tidak memakai stokin pun sudah dikira tidak menutup aurat. Itu belum menyentuh bab tabarruj. Ini menunjukkan Islam benar-benar ingin menjaga kesucian wanita dan mengangkat martabat mereka.


3. Aurat wanita penyebab ramai lelaki ke neraka.
Daya tarikan wanita sangat hebat kerana mampu menarik golongan ayah, suami, abang, saudara lelaki dan anak-anak lelakinya sebagai teman ke neraka.


Kaum lelaki terpaksa menanggung dosa wanita yang tidak menutup aurat kerana kegagalan membimbingnya. Jika lelaki tidak menutup aurat, wanita tidak perlu menanggung dosa lelaki.

Aurat wanita amat dititik beratkan kerana mudah timbul fitnah dan mengundang maksiat. Dengan hanya melihat rambut pun sudah cukup untuk menaikkan syahwat lelaki.

Mendedahkan diri ke arah lembah penzinaan. Risiko untuk lelaki memuaskan nafsu dengan tangan sendiri juga tinggi.


4. Jarang dapat lihat lelaki buka aurat. Aurat wanita ada di mana-mana.
Pernah lihat lelaki ke pejabat pakai seluar pendek? Pernah tengok lelaki melepak di mall tak pakai baju?


Mungkin ada yang pakai seluar londeh nampak boxer mahupun seluar pendek tayang lutut hitam. Tapi peratusannya kecil. Sedangkan wanita ada yang pakai skirt ke pejabat.

Yang free hair tak payah cakap la kan. Satu-satunya peluang untuk kita melihat aurat lelaki dengan kadar kekerapan yang tinggi ialah ketika aktiviti sukan dan riadah.

Perempuan? Di mana-mana pun ada. Hatta di tanah suci sekalipun masih ada yang degil tidak menutup aurat. Hanya dengan menonton televisyen dan log in facebook pun boleh mengundang zina mata.

Takkan kami nak pejam mata sentiasa? Sekarang ini dah terbalik. Jika lelaki buka baju di khalayak ramai, akan disaman. Perempuan berpakaian macam telanjang pula adalah normal.


5. Wanita lebih menghairahkan berbanding lelaki.
Wanita nampak lebih menghairahkan jika menayang auratnya. Tambahan pula jika mereka memiliki aset yang gebu dan montok.

Lelaki pula dipandang selekeh walaupun hanya berselipar dan berseluar pendek menayang bulu kaki yang lebat. Bernafsukah perempuan tengok? Muntah ada la.. (Err.. Sory lelaki!)

Kebiasaannya, jika perempuan ternampak lelaki bogel, mereka akan tutup mata. Tetapi, jika lelaki ternampak perempuan bogel, terbeliak biji mata.

Ada kes perempuan rogol lelaki? Jika ada, pasti mengundang reaksi luar biasa. Berbanding kes lelaki rogol perempuan yang boleh dikatakan perkara biasa dan muak untuk didengar kerana terlalu kerap terpampang di dada-dada akhbar.


***************************


Jadi, mungkin inilah antara sebab orang ramai lebih memberi fokus kepada aurat perempuan berbanding aurat lelaki. Kerana aurat perempuan lebih berat dan menjadi beban kepada orang lain.

Kami semua sangat menyayangi anda. Tetapi, kenapa kamu tidak mahu menyayangi kami?

Kenapa kamu tiada belas ihsan membiarkan ayah, saudara lelaki dan anak lelaki menanggung dosa-dosa kamu semua? Jika wanita sayangkan lelaki, tutuplah aurat. Kami tidak sanggup menemani anda di neraka.

Walaubagaimanapun, ini bukanlah alasan untuk kaum lelaki memandang remeh bab aurat. Aurat lelaki tetap wajib
ditutup. Entry ini hanya sebagai jawapan kepada yang suka mengeluh, kenapa orang ramai asyik fokus bab aurat
wanita sahaja.

Wallahualam

Sumber: http://www.solihinzubir.com

Berdosa Dengan Allah & Manusia

Seperkara yang perlu diingat. Andainya kita berdosa secara langsung dengan Allah, maka hendaklah kita beristighfar dan bertaubat dengan sesungguh-sungguhnya, menyesal dengan perbuatan keji yang kita lakukan. Dan seterusnya ialah perbanyakkan amalan sunat bagi menampung segala kekurangan yang ada.

Namun, andainya kita melakukan kesalahan terhadap sesama manusia, sepertimana perbuatan mengumpat dan segala macam dosa yang dilakukan melalui lidah, maka tidak cukup dengan sekadar bertaubat dan beristihgfar memohon keampunan dari Allah, malah adalah menjadi tugas dan tanggungjawab yang perlu diselesaikan, iaitu memohon maaf dari manusia itu sendiri.


Bukan satu jenaka, tapi permohonan maaf kepada manusia yang telah kita umpat dan sebagainya itu wajar dilakukan seberapa segera yang mungkin kerana ajal maut tidak kita ketahui, bilakah kehadirannya.

Begitu sukar untuk memohon maaf dari sesama manusia. Kerana, Allah adalah yang Maha Pengampun, hinggakan ada di kalangan ulama yang secara sinis memberikan ungkapan seperti,
“Bukan hendak menyatakan bahawa tidak mengapa jika berdosa dengan Tuhan, kerana Allah Maha Pengampun. Tetapi yang menjadi masalahnya ialah, andainya kita berdosa dengan manusia, hendaklah diketahui bahawa manusia memang sukar untuk memaafkan kesalahan sesama manusia”.

Maka, diandaikan dosa kita tidak dimaafkan oleh sesama manusia, bolehkah dibayangkan bagaimana kedudukan dan nasib kita di akhirat kelak?


Cuba bayangkan, di saat kita berada di hadapan pengadilan Allah kelak yang pada waktu itu mungkin saja amal dan kejahatan kita begitu seimbang.

Tiba-tiba datang seorang hamba Allah yang pernah kita sakiti dengan lidah kita sewaktu di dunia, memohon pengadilan dari yang Maha Adil pada hari pembalasan.

Bagaimanakah agaknya timbangan amal kita nanti setelah terpaksa menyerahkan pahala untuk membuat tebusan?

Wahai anak-anak Adam, selagi mana engkau memohon dan mengharapkan daripada-Ku, Aku ampunkan engkau walau apa pun dosamu, Aku tidak peduli.


Wahai anak-anak Adam, jika dosamu sampai ke puncak langit, lalu engkau pohon keampunan daripada-Ku, Aku ampunkan engkau, Aku tidak peduli.

Wahai anak-anak Adam, jika engkau datang kepada-Ku dengan dosa yang hampir memenuhi bumi, namun engkau menemui-Ku tanpa mensyirikkan Aku dengan sesuatu, nescaya Aku datang kepadamu dengan penuh keampunan.
[HR at-Tirmidzi )

Selasa, 3 Januari 2012

Minda: Teknik Nasihat Luqman Al-Hakim

ANAK-anak adalah kurniaan Allah yang paling berharga dan ibu bapa sewajarnya memelihara amanah mendidik mereka dengan kaedah terbaik.

Antara kaedah yang paling berkesan dan berhemah dalam melaksanakan asuhan bimbingan kepada anak-anak ialah melalui pendekatan memberikan nasihat.

Jadikan kaedah yang diamalkan oleh Luqman Al-Hakim sebagai pedoman. Banyak sekali bentuk nasihat yang disampaikan Luqman kepada anaknya.


Cara penyampaian atau metodologi pengajaran yang diaplikasikan Luqman begitu halus dan penuh dengan amalan psikologi.

Kita ambil beberapa contoh bagaimana Luqman menasihati anaknya. Misalnya, kata Luqman kepada anaknya, “Wahai anakku, sesungguhnya aku kesal dengan percakapanku, tetapi aku tidak pernah menyesal kerana berdiam diri.”

Cuba perhatikan dengan serius bentuk nasihat yang diluahkan Luqman kepada anaknya. Luqman member nasihat dengan menjadikan diri sendiri sebagai bahan contoh subjek nasihat yang hendak disampaikan.

Inilah kaedah terbaik sebenarnya bagaimana memberikan nasihat kepada anak-anak. Bukannya dengan menyampaikan nasihat dengan mengambil contoh pihak lain yang sukar dijangkau anak-anak kita.

Pada zaman moden ini, kaedah diguna pakai Luqman itu adalah salah satu kaedah dalam sesi kaunseling. Justeru, Luqman boleh kita ibaratkan sebagai perintis kepada teori dan praktikal kaunseling.


Dengan cara sebagaimana dibuat Luqman seperti tadi, pasti perhatian anak-anak akan lebih terserap.

Aspek bersosial juga diterapkan Luqman menerusi nasihat kepada anaknya.


Misalnya, kata Luqman, “Wahai anakku, jadilah engkau orang bersikap lemah lembut dengan jiran, hampir dengan kebaikan, banyak berfikir, kurang bercakap melainkan dalam mengatakan yang baik, banyak menangis dan kurang ketawa.

Janganlah engkau suka bergurau-senda, membuat bising tetapi diamlah dalam berfikir dan apabila engkau bercakap, maka bercakaplah dengan kata-kata berhikmah.”

Tentu kita kagum dengan kaedah diamalkan Luqman terhadap anaknya dalam menyampaikan pendidikan. Adakah kita pernah membuat seperti Luqman itu?


Atau kita hanya serahkan kepada guru untuk mendidiknya? Atau apabila anak-anak pulang dari sekolah, kita hanya pandai membebel dan memarahi anak?

Cuba kita telusuri nasihat kedua yang dipetik sebentar tadi. Luqman menggunakan bentuk nasihat untuk menyampaikan didikan bercorak ringkas tetapi berisi padat dengan ajaran agama dan norma masyarakat.


Diadunnya dalam nasihat rangkuman isi yang hendak disampaikan. Didahului dengan didikan hidup berjiran secara baik dan harmoni.

Kemudian beliau melorekkan pula elemen pembentukan sahsiah peribadi dari segi pengurusan komunikasi berkesan, iaitu bagaimana memanfaatkan akal untuk berfikir dan bagaimana mempergunakan lidah dengan berhemah dan bermanfaat.

Aspek seterusnya yang turut difokuskan Luqman ialah bagaimana mencorakkan pergaulan yang baik.


Kata Luqman, “Wahai anakku. Janganlah engkau duduk bergaul dengan golongan yang tidak mengingati nama Allah. Kerana sekiranya engkau seorang yang jahil, maka mereka akan menambahkan lagi kejahilanmu.”

“Dan sekiranya engkau seorang yang alim, maka ilmu- mu itu tidak memberikan sedikit manfaat pun kepadamu. Bahkan, sekiranya laknat dan kemurkaan Allah diturunkan ke atas mereka, nescaya engkau juga akan turut berkongsi bersama-sama mereka.”

Bacalah berkali-kali nasihat Luqman itu, maka kita dapat mengesan suatu pengajaran yang berkualiti tinggi.


Bukan senang untuk kita terapkan bentuk nasihat sebegini, tetapi percayalah seandainya secara beransur-ansur diamalkan, tiada apapun yang mustahil. Kita mesti mencuba kaedah Luqman itu.

Seharusnya kita sebagai ibu bapa menjadikan nasihat yang berisikan pedoman berasaskan agama dijadikan tunjang dalam pendidikan anak-anak.


La Rouchefoucauld, seorang tokoh pendidikan Barat pernah mengatakan, “Kita memberi nasihat, tetapi kita tidak dapat memberikan kebijaksanaan bagi dimanfaatkan.”

Maksudnya kita seharusnya menjadikan bentuk isi nasihat itu sesuatu yang padat dengan subjek yang hendak kita sampaikan.


Betul dan tepat seperti maksud peribahasa Afrika, “Nasihat itu aneh. Apabila diterima, ia menginap, apabila tidak diterima ia pulang pada ketika itu juga.”

Maknanya kita harus memuatkan nasihat yang mudah ‘dihadam’ oleh pemikiran anak-anak, barulah nasihat itu meninggalkan kesan positif.

Satu lagi pendekatan digunakan Luqman ialah penggunaan elemen metafora atau perumpamaan bermakna dalam menjadikan bentuk nasihat lebih lunak dan bermanfaat.


Gabungan jalin antara metafora dan perumpamaan jelas banyak digunakannya. Inilah daya intelektual tahap tinggi sebenarnya.

Misalnya nasihat beliau ini. Kata Luqman, “Wahai anakku. Sesungguhnya dunia ini lautan yang terbentang luas. Ramai manusia yang karam di dalamnya. Oleh itu, sekiranya engkau mampu menjadikan kapalmu itu daripada keimanan terhadap Allah, persediaanmu itu melalui tawakal dan muatanmu itu pula adalah daripada ketakwaan dan sekiranya engkau karam, maka ia adalah kerana dosa-dosamu.” Indah dan penuh makna nasihat Luqman ini.


Luqman sebenarnya ingin mengajak anaknya memahami erti kehidupan di dunia dengan kepatuhan beragama yang kukuh.


Beliau juga membimbing anaknya bagaimana menyusuri alur kehidupan iaitu dengan iman dan takwa serta menjauhi perbuatan dosa yang akan mengundang mala petaka.

Apa yang diperkatakan Luqman itu disepakati Imam Ghazali yang katanya, “Menanamkan iman dalam diri anak merupakan kewajipan orang tua. Anak-anak akan membesar dalam suasana cukup peka dan sensitif dengan Tuhan. Apabila ini sudah ada, dengan sendirinya dia akan malu dan takut untuk membuat dosa.”


Sesungguhnya melalui kaedah nasihat jiwa anak-anak akan terserap dengan asuhan sempurna dan membentuk sahsiah peribadi yang unggul.


Ibnu Sina mengatakan, “Pendidikan itu berlaku dengan cara membiasakan iaitu membiasakan anak membuat nilai-nilai dan norma-norma yang baik dalam jangka waktu yang lama sehingga dia biasa melakukan perbuatan tersebut.”

Jadi, satu kaedah pengasuhan terhadap anak-anak yang berkesan ialah dengan teknik nasihat. Insya-Allah anak-anak kita akan membesar dalam ruang yang menepati kehendak agama dan masyarakat.


Sumber myMetro: Penulis seorang guru