Seperkara yang perlu diingat. Andainya kita berdosa secara langsung dengan Allah, maka hendaklah kita beristighfar dan bertaubat dengan sesungguh-sungguhnya, menyesal dengan perbuatan keji yang kita lakukan. Dan seterusnya ialah perbanyakkan amalan sunat bagi menampung segala kekurangan yang ada.
Namun, andainya kita melakukan kesalahan terhadap sesama manusia, sepertimana perbuatan mengumpat dan segala macam dosa yang dilakukan melalui lidah, maka tidak cukup dengan sekadar bertaubat dan beristihgfar memohon keampunan dari Allah, malah adalah menjadi tugas dan tanggungjawab yang perlu diselesaikan, iaitu memohon maaf dari manusia itu sendiri.
Bukan satu jenaka, tapi permohonan maaf kepada manusia yang telah kita umpat dan sebagainya itu wajar dilakukan seberapa segera yang mungkin kerana ajal maut tidak kita ketahui, bilakah kehadirannya.
Begitu sukar untuk memohon maaf dari sesama manusia. Kerana, Allah adalah yang Maha Pengampun, hinggakan ada di kalangan ulama yang secara sinis memberikan ungkapan seperti, “Bukan hendak menyatakan bahawa tidak mengapa jika berdosa dengan Tuhan, kerana Allah Maha Pengampun. Tetapi yang menjadi masalahnya ialah, andainya kita berdosa dengan manusia, hendaklah diketahui bahawa manusia memang sukar untuk memaafkan kesalahan sesama manusia”.
Maka, diandaikan dosa kita tidak dimaafkan oleh sesama manusia, bolehkah dibayangkan bagaimana kedudukan dan nasib kita di akhirat kelak?
Cuba bayangkan, di saat kita berada di hadapan pengadilan Allah kelak yang pada waktu itu mungkin saja amal dan kejahatan kita begitu seimbang.
Tiba-tiba datang seorang hamba Allah yang pernah kita sakiti dengan lidah kita sewaktu di dunia, memohon pengadilan dari yang Maha Adil pada hari pembalasan.
Bagaimanakah agaknya timbangan amal kita nanti setelah terpaksa menyerahkan pahala untuk membuat tebusan?
Wahai anak-anak Adam, selagi mana engkau memohon dan mengharapkan daripada-Ku, Aku ampunkan engkau walau apa pun dosamu, Aku tidak peduli.
Wahai anak-anak Adam, jika dosamu sampai ke puncak langit, lalu engkau pohon keampunan daripada-Ku, Aku ampunkan engkau, Aku tidak peduli.
Wahai anak-anak Adam, jika engkau datang kepada-Ku dengan dosa yang hampir memenuhi bumi, namun engkau menemui-Ku tanpa mensyirikkan Aku dengan sesuatu, nescaya Aku datang kepadamu dengan penuh keampunan.
[HR at-Tirmidzi )
Tiada ulasan:
Catat Ulasan