Selasa, 29 November 2011

Doakan Anak Setiap hari

MEMBERONTAK...tengking, jerit, maki, rotan dan seumpamanya hanya akan membuatkan hati anak jadi semakin keras.

“ANAK saya degil, tak mahu dengar cakap!”

“Anak saya malas belajar setiap kali peperiksaan dan ujian di sekolah dia selalu dapat nombor corot!”

“Anak saya malas solat, kalau tak suruh, dia tidak akan buat!”

Sebagai ibu bapa, pasti ada yang pernah mengeluh sebegini. Perkara ini memang biasa terjadi, lebih-lebih lagi sekiranya anak anda sudah boleh bercakap, berfikir dan menilai (walaupun penilaian berdasarkan tahap peringkat umur mereka saja).

Kanak-kanak dalam lingkungan umur dua hingga tujuh tahun memang sering dilabelkan lasak kerana ingin mencuba apa sahaja yang dilihat dan mereka juga didapati ‘tidak dengar kata’.

Apa yang berlaku adalah ketiadaan komunikasi dua hala antara ibu bapa dan anak.


Di samping itu, kanak-kanak sebenarnya tidak dapat mendengar arahan dengan baik kerana tidak memberikan perhatian kepada suara ibu bapa.

Sebaliknya, perhatian mereka hanya tertumpu kepada permainan mereka dan alam sekeliling yang ingin diterokai.

Justeru, sekiranya anak anda degil, sering memberontak, membaling barang dan memusnahkan permainan, siapakah yang bersalah?

Sudah tentu orang dewasa kerana tidak berusaha untuk memahami kehendak si anak. Berikut Laman-Seri kongsikan beberapa panduan yang boleh digunakan bagi menangani anak sebegini.


1. Fahami bahasa anak

Cuba fahami bahasa anak anda dengan bertanya secara lembut kepadanya. Sebaiknya tinggalkan sebentar apa yang anda lakukan sama ada sedang memasak atau membasuh baju dan berikan perhatian kepada anak.

FAHAMI ANAK...fahami bahasa anak dengan bertanya secara lembut kepada mereka.

Selalunya ibu bapa bercakap sambil lewa saja tetapi sebaiknya, pandang muka dan tatap matanya dengan penuh kasih sayang.

Berapa kali dalam sehari kita bertentang mata dengan anak? Perhubungan mata sangat penting dalam apa jua jenis komunikasi walaupun dengan anak kecil.

Ingatlah, kanak-kanak sangat memerlukan belaian kasih sayang dan perhatian daripada ibu bapa.


2. Luangkan masa bersama anak

Sebaik sahaja anda pulang bekerja dan mengambil anak dari pusat jagaan kanak-kanak, luangkan masa setengah jam terlebih dahulu bersama anak. Jangan terus ke dapur untuk memasak atau mengangkat kain di ampaian.

LUANGKAN MASA...berikan perhatian pertama kepada anak sejurus pulang dari tempat kerja.

Berikan perhatian pertama kepada anak. Tanyakan dengan lembut dan mesra apa yang dibuatnya seharian di rumah bersama pembantu rumah atau di tadika.

Dukung dan peluklah dia serta nyatakan di telinganya yang anda sangat sayangkannya.

Bermain-main dengannya kira-kira setengah jam, barulah anda minta diri untuk ke dapur.

Mudah-mudahan dia akan lebih mendengar kata kerana perhatian yang diharapkannya sudah diperoleh.


3. Ajar supaya bersabar dan jangan buat acuh tidak acuh

Ajarkan anak dengan perkataan “tunggu sebentar boleh” sekiranya anak perlukan sesuatu dan anda tidak dapat melakukannya kerana sedang sibuk di dapur.

Layan dia sebaik sahaja berkesempatan. Jangan buat tidak tahu sahaja atau bersikap acuh tidak acuh kerana sebenarnya anda sedang mengajar anak agar tidak menghiraukan orang tua.

Kita tidak boleh mengharap dia patuh setiap arahan kita kerana Allah tidak menjadikan dia demikian.

Ingatlah, anak belajar dengan meniru setiap perbuatan kita. Buktinya boleh dilihat apabila dia melayani adiknya pula.


4. Fahami personaliti anak

Cuba fahami personaliti anak anda. Setiap anak dikurniakan Allah dengan personaliti tersendiri. Anak yang suka menjerit walaupun tidak mempunyai apa-apa sebab boleh dikategorikan sebagai inginkan perhatian.

Oleh itu, jika anak ini menjerit, berilah perhatian kepadanya seperti memandang ke arahnya atau bertepuk tangan jika dia menyanyi.

Bagaimanapun, anda boleh mengajarkan kepadanya bahawa perbuatan suka menjerit tidak bagus kerana boleh mengganggu adik kecil yang sedang tidur.

Sekiranya anak suka menjerit, anda boleh meminta dia menjerit di dinding berulang kali sehingga dia letih. Mungkin dia akan berhenti menjerit atau membuat perangai beberapa hari.

Sekiranya dia mengulanginya semula, anda suruh dia lakukan perkara yang sama sehingga dia berhenti. Berikan dia hadiah sekiranya anda dapati dia tidak menjerit atau semakin kurang menjerit dalam sehari.

Katakan padanya, “Mama berikan hadiah coklat kerana abang/kakak tidak menjerit hari ini.” Dengan ini, anak akan faham bahawa ibu bapa tidak menyukai perbuatan itu.


5. Ingatkan diri sendiri

Sentiasa ingatkan diri anda mengenai sifat positif anak yang keletah dan kerenah anak yang menghiburkan.

Tumpukan perhatian anda kepada kelebihan itu. Jangan mengingati kekurangan anak dan doakan setiap kali selesai sembahyang. Bayangkan anak dengan semua sifat positif yang anda inginkan setiap kali berinteraksi dengan anak.

Anda juga boleh berbuat demikian setengah jam setelah anak sudah masuk tidur dan nyenyak tidurnya. Usapkan dengan lembut pada ubun-ubun kepalanya, cium dan bacakan selawat serta sebutkan harapan anda kepadanya.

Anak-anak hidup dalam dunia yang tiada peraturan. Ibu bapa yang membuat peraturan, disiplin dan galakan kepada anak.


6. Periksa dan buat pembetulan

Periksa siapa yang biasa ditemui anak-anak anda setiap hari. Sekiranya anda menghantarnya ke rumah pengasuh, periksa setiap individu dalam rumah itu (pengasuh, ahli keluarga pengasuh dan kanak-kanak lain yang diasuh).

Adakah terdapat mereka yang membawa unsur negatif? Jika ada, sebolehnya usahakan untuk mencari tempat pengasuhan yang lain kerana perkara ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

Biar bersusah hari ini untuk mencari pengasuh yang baik daripada kita menangis di kemudian hari kerana anak tidak mahu menjadi baik.


7. Jika marah

Apabila kita memarahi anak pada usia ini dengan nada menengking, menjerit, memaki, mengejek, merotan, mencubit, menjentik dan seumpamanya, hati anak yang asalnya lembut akan menjadi semakin keras.

Dia akan menunjukkan pelbagai cara pemberontakan kerana kesakitan yang dialami di dalam hati dan secara fizikal. Semakin kerap ibu bapa memarahi mereka, maka semakin kuat pemberontakan mereka.

Anak-anak pada usia ini tidak ‘makan’ dengan cara seperti ini. Ia mungkin hanya berkesan untuk beberapa ketika sahaja. Tetapi cara ini tidak berkesan untuk mendidik sifat baik yang berpanjangan di dalam diri mereka.

Untuk anak-anak yang nakal, jika mereka melakukan kesalahan, dekati anak serta dakap, peluk, cium, sayang dan dudukkan anak di atas pangkuan, berilah nasihat secara hikmah.

Ceritakan pada mereka apa yang mereka buat itu salah dan apa yang mereka boleh lakukan untuk membetulkan kesilapan tadi.

Semoga bermanafaat!

Cara Membentuk Kepimpinan Anak Sulung

Anak sulung merupakan tunggak sesebuah keluarga. Lazimnya, anak ini akan dijadikan contoh dan role model adik-adik yang lain.

Sebagai yang terkawal dalam keluarga dari segi umurnya, anak ini wajar dipupuk dan dididik nilai-nilai kepimpinan di dalam dirinya agar potensi yang ada dalam dirinya tidak dibenamkan begitu sahaja mahupun disalah-gunakan.

Peranan anak ini amat besar untuk pembentukan jati diri adik-adik yang lain. Tidak hairanlah lelaki atau perempuan, apabila dikatakan dia yang paling tua atau yang sulung, secara tidak langsung keinginan untuk dihormati dan dipatuhi itu wujud dalam dirinya.


Bagaimana untuk menyalurkan keinginan ini ke arah yang baik memerlukan campur tangan ayah dan ibu.

Tunjukkan contoh kepimpinan yang baik. Ði sini, peranan ayah dan ibu sangat penting untuk menunjukkan contoh tauladan kepimpinan yang baik.


Terutama ayah sebagai pemimpin keluarga. Kita perlu meluangkan masa bersama anak-anak agar anak merasai kewujudan dan peranan kita yang aktif bersama mereka.

Ði sini, anak akan mula belajar daripada apa yang kita lakukan. Libatkan anak dalam setiap aktiviti yang kita lakukan. Contohnya mengemas laman, ajak anak menyertai kita.

Ði sini anak akan belajar bagaimana ayahnya mengatur aktiviti dan membahagi tugas untuk keluarga dan peranan ibu dalam situasi itu.


Begitu juga bagaimana ayah dan ibunya menyelesaikan sesuatu masalah yang berlaku ketika sedang mengemas laman tersebut.

Tidak terhad di situ, anak ini perlu juga didedahkan kepada komuniti, dalam kenduri-kendara contohnya, anak akan banyak belajar daripada apa yang kita terjemahkan melalui perbuatan kita lebih daripada apa yang kita ungkapkan melalui percakapan.

Sepanjang pengalaman ini, anak bukan sahaja belajar daripada kita, malah turut mengagumi jika kita berjaya berperanan sebagai pemimpin keluarga yang baik. Ðari situ akan lahir hormat dan patuh kepada kita.

Kemudian, beri peluang kepadanya untuk merancang aktiviti bersama adik-adiknya.


Jangan campur tangan dalam perbincangan ini, biarkan dia mengendalikan perbincangan tersebut dan di akhir perbincangan perlu membentangkan semua rancangan itu kepada ibu dan ayah untuk diperakukan dan diluluskan sebagai aktiviti mereka.

Nampaknya macam sedikit formal, tetapi percayalah anak akan menyukai aktiviti ini dan menghargai peluang yang diberikan kepada mereka.

Secara tidak langsung, aktiviti sebegini memupuk nilai-nilai kepimpinan dalam jiwa anak-anak terutama yang sulung.

Jangan pula, semua aktiviti tadi ditolak mentah-mentah. Berilah sebab yang munasabah jika ada di antara aktiviti yang ingin dilakukan tidak bersesuaian. Keputusan masih ditangan kita.

Tidak salah jika sekali-sekala anda memberikannya kepercayaan mengendalikan perbelanjaan untuk mereka adik-beradik.


Contohnya, memberikan anak sulung ini RM10 untuk memberi barang dalam kedai serbaneka yang releven untuk dia dan adik-adiknya.

Ði sini kita mengajarnya untuk menguruskan perbelanjaan. Apabila dia balik, minta dia tunjukkan baki dan barang-barang yang telah dibeli dan untuk siapa barang tersebut dibelikan.

Ðari sini, ibu bapa boleh monitor perbelanjaannya dan menerapkan nilai kepimpinan melalui pengurusan kewangan. Jika ada kesilapan, perbetulkan dengan menjelaskan perkara yang sepatutnya dilakukan.

Jangan sesekali memarahi anak ini di hadapan adik-beradiknya yang lain.


Anak ini merupakan ketua kepada adik-adiknya, jika dia dibentak dan dimarahi di depan anak-anak buahnya, akan gugurlah rasa hormat adik-adik kepadanya dan akan bertempeklah rasa malu dalam dirinya dan sekaligus membenamkan keyakinan dirinya.

Tegurlah secara baik, terangkan kesalahannya dan perbetulkan. Bukan bermaksud tidak boleh dimarahi langsung, cukuplah ketegasan kita dalam pembentukan anak-anak.

Jika kesalahannya melibatkan adik-beradik yang lain, ajar dia untuk meminta maaf, begitu juga dengan adiknya, jangan menyebelahi sesiapa dalam menjadi hakim sebelum mengetahui hujah dan dalilnya.


Terangkan kepada anak ini, semua orang melakukan kesilapan dan perlu meminta maaf, hatta jika ayah atau ibu sekalipun melakukan kesalahan kepada kakak atau abang, ayah dan ibu perlu meminta maaf.

Jadi, tiada salah untuk menyatakan maaf, tidak kira kita yang sulung, yang tengah ataupun yang bongsu. Kefahaman ini wajar dan wajib dititipkan dalam diri setiap anak-anak kita.

Akhirnya, bina suasana keluarga yang saling menghormati dan menyayangi.


Bagaimana caranya ialah dengan solat berjemaah.

Ketika solat jemaah, cas-cas dalam badan kita diseimbangkan, yang mana kurang ditambah dan yang lebih dikurangkan melalui sentuhan dan pergerakan solat yang dilakukan.

Jika seisi rumah bersolat, secara berjemaah pula, maka semua ahli di dalam rumah akan berada dalam keadaan yang seimbang dan berkualiti selepas solat dilakukan dan sekaligus mengeratkan silaturrahim sesama ahli keluarga.

Selain itu, makan bersama dan melakukan aktiviti bersama keluarga. Apabila banyak masa berkualiti dihabiskan bersama, kasih sayang dapat ditautkan dan rasa hormat dapat disemai.

Potensi yang ada dalam diri anak wajar ditonjolkan dan digilap supaya dapat digunakan sebaik mungkin sepanjang kehidupannya kelak.


Kepimpinan dalam diri anak wajar diterapkan terutamanya kepada anak yang sulung, kerana pada tangannyalah kelak akan diwariskan adik-adiknya setelah ketiadaan ibu dan ayahnya.

Jika kuat roh kepimpinan yang disemai dalam dirinya maka bakal kekal lamalah institusi keluarga yang telah dibina, insya Allah.

Khamis, 24 November 2011

Belanjawan Berhemah

Kau mahu
dan kau mampu
tapi tak perlu
.... sabarlah dulu

kau mahu
tapi tak mampu
dan tak perlu
.... biarlah di situ

kau mahu
tapi tak mampu
tapi kau perlu
.... lakukanlah sesuatu

kau mahu
dan kau mampu
dan kau perlu
.... dapatkanlah satu

kau tak mahu
tapi kau mampu
dan kau perlu
.... jangan ragu-ragu

kau tak mahu
dan tak mampu
tapi kau perlu
.... mintalah dibantu

kau tak mahu
tapi kau mampu
tapi tak perlu
.... tutuplah saku

kau tak mahu
dan tak mampu
dan tak perlu
.... nafsu pun buat tak tahu


mahu, mampu dan perlu
ditimbang oleh keutamaan
dahulukan mana yang lebih utama

Rabu, 23 November 2011

Mutiara Hikmah

Jangan bertengkar dengan orang yang kurang akal, nanti ...ia akan menyakitkan kamu dan jangan bertengkar dengan orang yang penyantun, nanti dia benci padamu..

Jangan membuang waktu barang seminit pun untuk memikirkan orang-orang yang tidak kita sukai...

Sebaik-baik sahabat ialah yang elok dalam perangai dan budi pekerti. Jika kamu tidak menemukan sahabat seperti ini, maka jadikanlah dirimu seperti itu..(^_^)

Jangan basuh mangkuk persahabatan dengan cuka.. bukan sahaja kamu melukai hatinya kamu juga melukai hatimu sendiri..(^_^)

Sendirian lebih baik daripada mengambil teman duduk dengan orang jahat, dan teman duduk orang baik adalah lebih baik daripada sendirian.

Apabila engakau ingin mengambil seseorang menjadi sahabat istimewa, maka buatlah dia supaya marah kemudian suruh orang bertanya kepadanya tentang dirimu dan rahsiamu. Sekiranya ia mengatakan yang baik dan menyembunyikan rahsiamu,maka ambillah dia menjadai sahabat istimewa mu (^_^)...

Kalau engkau ramai sahabat bersyukurlah! Lantaran ramai orang yang menghargai dan memperhatikan engkau,tandanya harga dirimu mahal dan timbangannya berat...maka jagalah hati mereka seperti engkau menjaga hati mu..(^_^)

Al-ilmi indallah, alaina an nah ta'allamu , lii man faatina..
(ilmu ALLAH di kongsi bersama untuk MANFAAT bersama)

(^_^) Selawat dan Istighfar.....CINTA ALLAH, CINTA RASUL ♥

Khamis, 3 November 2011

7 Perkara Ganjil

Terdapat seorang pemuda yang kerjanya menggali kubur dan mencuri kain kafan untuk dijual.

Pada suatu hari, pemuda tersebut berjumpa dengan seorang ahli ibadah untuk menyatakan kekesalannya dan keinginan untuk bertaubat kepada Allah s. w. t.

Dia berkata, "Sepanjang aku menggali kubur untuk mencuri kain kafan, aku telah melihat 7 perkara ganjil yang menimpa mayat-mayat tersebut. Lantaran aku merasa sangat insaf atas perbuatanku yang sangat keji itu dan ingin sekali bertaubat."

"Golongan yang pertama, aku lihat mayat yang pada siang harinya menghadap kiblat. Tetapi pabila aku menggali semula kuburnya pada waktu malam, aku lihat wajahnya telahpun membelakangkan kiblat. Mengapa terjadi begitu, wahai tuan guru?" tanya pemuda itu.


"Wahai anak muda, mereka itulah golongan yang telah mensyirikkan Allah s. w. t. sewaktu hidupnya. Lantaran Allah s. w. t. menghinakan mereka dengan memalingkan wajah mereka dari mengadap kiblat, bagi membezakan mereka daripada golongan muslim yang lain," jawab ahli ibadah tersebut.

Sambung pemuda itu lagi, "Golongan yang kedua, aku lihat wajah mereka sangat elok semasa mereka dimasukkan ke dalam liang lahad. Tatkala malam hari ketika aku menggali kubur mereka, ku lihat wajah mereka telahpun bertukar menjadi babi. Mengapa begitu halnya, wahai tuan guru?"


Jawab ahli ibadah tersebut, "Wahai anak muda, mereka itulah golongan yang meremehkan dan meninggalkan solat sewaktu hidupnya. Sesungguhnya solat merupakan amalan yang pertama sekali dihisab. Jika sempurna solat, maka sempurnalah amalan-amalan kita yang lain,"

Pemuda itu menyambung lagi, "Wahai tuan guru, golongan yang ketiga yang aku lihat, pada waktu siang mayatnya kelihatan seperti biasa sahaja. Apabila aku menggali kuburnya pada waktu malam, ku lihat perutnya terlalu gelembung, keluar pula ulat yang terlalu banyak daripada perutnya itu."


"Mereka itulah golongan yang gemar memakan harta yang haram, wahai anak muda," balas ahli ibadah itu lagi.

"Golongan keempat, ku lihat mayat yang jasadnya bertukar menjadi batu bulat yang hitam warnanya. Mengapa terjadi begitu, wahai tuan guru?"


Jawab ahli ibadah itu, "Wahai pemuda, itulah golongan manusia yang derhaka kepada kedua ibu bapanya sewaktu hayatnya. Sesungguhnya Allah s. w. t. sama sekali tidak redha kepada manusia yang menderhakai ibu bapanya."

"Golongan kelima, ku lihat ada pula mayat yang kukunya amat panjang, hingga membelit-belit seluruh tubuhnya dan keluar segala isi dari tubuh badannya," sambung pemuda itu.


"Anak muda, mereka itulah golongan yang gemar memutuskan silaturrahim. Semasa hidupnya mereka suka memulakan pertengkaran dan tidak bertegur sapa lebih daripada 3 hari. Bukankah Rasulullah s. a. w. pernah bersabda, bahawa sesiapa yang tidak bertegur sapa melebihi 3 hari bukanlah termasuk dalam golongan umat baginda," jelas ahli ibadah tersebut.

"Wahai guru, golongan yang keenam yang aku lihat, sewaktu siangnya lahadnya kering kontang. Tatkala malam ketika aku menggali semula kubur itu, ku lihat mayat tersebut terapung dan lahadnya dipenuhi air hitam yang amat busuk baunya,"


"Wahai pemuda, itulah golongan yang memakan harta riba sewaktu hayatnya," jawab ahli ibadah tadi.

"Wahai guru, golongan yang terakhir yang aku lihat, mayatnya sentiasa tersenyum dan berseri-seri pula wajahnya. Mengapa demikian halnya wahai tuan guru?" tanya pemuda itu lagi.


Jawab ahli ibadah tersebut, " Wahai pemuda, mereka itulah golongan manusia yang berilmu. Dan mereka beramal pula dengan ilmunya sewaktu hayat mereka. Inilah golongan yang beroleh keredhaan dan kemuliaan di sisi Allah s. w. t. baik sewaktu hayatnya mahupun sesudah matinya."

Ingatlah, sesungguhnya daripada Allah s. w. t kita datang dan kepadaNya jualah kita akan kembali. Kita akan dipertanggungjawabkan atas setiap amal yang kita lakukan, hatta amalan sebesar zarah.


Wallahua'lam..