Isnin, 31 Januari 2011

Aspek-aspek Ibadat


Islam menyediakan suatu jalan yang sempurna untuk manusia beribadat di mana setiap aspek ibadat bersesuaian dengan kekuatan dan keupayaan yang ada pada seseorang.

Ibadat bukan hanya himpunan amal seperti sembahyang, puasa, haji, doa dan sumpamanya tetapi apa jua perkara yang dilakukan dengan niat atau tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Ibadat terbahagi kepada 4 aspek iaitu:

a) ibadat akal - ia dicapai dengan cara berfikir, merenung, mengkaji sesuatu makhluk Allah serta memerhatikan keindahan dan keagungan ciptaan Allah.

b) Ibadat jiwa - ia dilakukan dengan adanya sifat khusyuk, tawakkal, redha terhadap qadha dan qadar, bersyukur, ikhlas, cinta, belas kasihan, al-khauf (takut) dan raja’ (mengharap). Tanpa sifat-sifat ini maka sesuatu ibadat itu
dikatakan ibadat yang mati dan tidak diterima oleh Allah S.W.T.

c) Ibadat badan - iaitu segala amalan anggota tubuh termasuklah segala gerak-geri seperti mata, telinga, mulut, hidung, kaki, tangan dan sebagainya. Termasuk juga segala perkataan dan perbuatan.

d) Ibadat harta - iaitu dengan cara mengeluarkan zakat, mengerjakan haji, memberi nafkah dan mengorbankan harta fi sabilillah, bersedekah, dan menyediakan kemudahan untuk orang ramai (wakaf).

Rabu, 26 Januari 2011

Tanggungjawab Ibubapa Terhadap Anak

Anak ialah amanah atau pertaruhan yang Allah amanahkan kepada kita supaya kita menjaga dan memelihara mereka baik mengikut landasan Islam.

Ibubapa mesti bertanggungjawab bukan saja di dunia bahkan di akhirat sewaktu berhadapan dengan Allah kelak.

Dalam rangka memelihara amanah Allah itu, ibubapa adalah diwajibkan berusaha dengan bersungguh-sungguh melaksanakan didikan agama.

Tegasnya mendidik anak beragama itu adalah wajib hukumnya (bukan setakat pendidikan untuk UPSR, PMR atau SPM), sebaliknya ibubapa yang melalaikan tugas amanah ini adalah berdosa.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Hendaklah kamu pastikan anak-anakmu belajar agama dan hendaklah kamu baguskan akhlaknya." Setiap anak yang dilahirkan itu bersih fitrahnya.

Adalah menjadi tugas ibubapa untuk mencorakkan kehidupan anak-anak seterusnya sama ada untuk menjadikannya baik atau sebaliknya.

Sabda Nabi s.a.w., "Semua anak yang dilahirkan ke dunia ini dalam keadaan yang suci bersih. Maka kesalahan ibubapalah menjadikan mereka yahudi, nasrani atau majusi."

Hadis tersebut menunjukkan kepada kita betapa beratnya tanggungjawab ibubapa terhadap anak-anaknya.

Kesalahan kita mendidiklah maka anak-anak sekarang menjadi tak keruan hidupnya dengan pelbagai masalah sosial seperti bohsia, bohjan dan aktiviti lepak yang semakin menjadi.

Sungguh malang seribu kali malang, sudahlah ibubapa tidak memberi didikan agama kepada mereka, ibu bapa sendiri tidak berpengetahuan agama dan paling dahsyat lagi, mereka asyik mengumpul dan terpengaruh dengan pujukan dunia.

Menjadi korporat adalah satu lagi keparat (maaf - bukan semua). Oleh kerana hendakkan kemewahan yang berlipat ganda terabai tugas sebagai bapa dan suami.

Anak maharajalela dan isteri pula main kayu tiga. Berapa banyak hari ini anak-anak yang tidak tahu membaca Al-Quran. Tidak tahu sembahyang bahkan Fatihah pun tak boleh baca, jauh sekali dari menghafalnya.

Masya'Allah ada yang tak tahu menyebut syahadah walaupun dah baligh. Inikah wawasan kita membangunkan kemanusiaan anak-anak?

Akibatnya kebanyakan anak-anak hari ini terdiri daripada mereka yang hanya pandai berfoya-foya, pandai menyakitkan hati dan meracuni jiwa serta menderhakai kepada orang-orang tuanya.

Akhirnya bila sampai tahap, mereka akan menjadi anak yang liar. Ibu bapa seolah-olah memelihara anak-anak haiwan sama seperti anak rimau, kucing atau ayam.

Betapa tidak haiwan tak sembahyang samalah seperti anak-anak itu. Bahkan haiwan lebih baik sebab tidak diberikan akal. Ketika ini baru ibubapa mengeluh bukan menyalahkan dirinya tetapi salahkan anak-anak dan paling teruk menyalahkan orang lain.

Sebenarnya semua ini berpunca daripada ibubapa yang tidak mengambil berat tentang didikan agama terhadap anak-anak. Ibubapa mesti mengambil berat tentang soal pemakanan anak-anak.

Bukan diperhatikan tentang khasiat vitamin makanan itu saja tetapi pastikan kehalalannya. Adakah ia dari sumber yang halal atau haram.

Ini penting kerana mengikut Nabi 'daging yang tumbuh dari sumber yang haram, maka neraka lebih utama untuknya'.

Sekarang ini perkara seperti ini jarang diberikan penekanan tambahan pula amalan ekonomi yang berasaskan perbankan non-Islamik.

Bagaimana diharapkan amalan soleh jika pemakanan tidak lagi soleh. Makanan yang baik membuahkan amalan baik (soleh), manakala makanan yang tidak baik menghasilkan amalan yang tidak baik juga (tholeh).

Satu kisah pada zaman Nabi, seorang sahabat yang berjemaah bersama nabi kerap keluar dari jemaah awal sebelum sempat berdoa. Nabi bertanyakan kenapa balik tergesa sebelum berdoa.

Sahabat itu menerangkan dia mempunyai anak kecil yang ibunya baru meninggal dunia. Dia takut anaknya mengambil dan memakan buah tamar jiran yang gugur di halaman rumahnya dan ditakuti akan menjadi darah dagingnya.

Sahabat itu menjelaskan daging yang disuburkan dari benda yang haram itu tidak layak masuk syurga. Mendengarkan penjelasan itu, Nabi terdiam dan tidak berkata apa-apa, hanya memperhatikannya sahaja dia pulang ke rumah.

Begitulah orang dahulu mengambil berat soal pemakanan anaknya. Sebaliknya kita bagaimana? Adakah kita bertanya dari mana buah jambu itu diambil?

Didikan seterusnya yang mesti dilakukan oleh ibu bapa ialah sembahyang. Nabi s.a.w. pernah bersabda, "Perintahkan anak-anakmu mengerjakan sembahyang bila dia berumur 7 tahun dan pukullah dia bilamana tidak mahu mengerjakan sembahyang semasa berusia 10 tahun dan pisahkan dari tempat tidur."

Hadis ini adalah merupakan seruan wajib sembahyang. Kanak-kanak itu belum lagi wajib bersembahyang tetapi yang wajib ialah bapa menyuruhnya bersembahyang. Anak itu belum wajib kerana dia belum cukup umur (baligh).

Jika bapa tak beratkan dia bersembahyang ketika ini, agak sukar kanak-kanak itu bersembahyang apabila baligh. Budaya solat mesti dimulakan sejak 7 tahun lagi. Soal baligh ini pada pendapat sekarang berbeza.

Ada berpendapat selepas bersara baru nak solat. Maksudnya bila pencen (55 tahun) baru masuk umur baligh. Paling sedih ada yang tidak baligh sampai ke mati sebab tak solat.

Nabi Muhammad saw menyuruh (mewajibkan) kita pukul anak berumur 10 tahun yang tidak mahu sembahyang. Tetapi adakah kita pukul? Kita mungkin pukul kalau tak buat kerja sekolah atau tak lulus periksa.

Jarang kedengaran pukul kerana tak mendirikan sembahyang. Manakan nak pukul anak tak bersembahyang sedangkan ibubapa sendiri tak bersembahyang. Takkan ketam nak ajar anaknya berjalan betul.

Ibubapa dewasa ini tidak bimbang anak-anak walaupun perempuan tak balik hingga larut malam tetapi yang dibimbangkan agaknya kalau anak-anak ayamnya belum pulang waktu senja.

Pendidikan juga bukan bermula apabila lahir anak. Bahkan semasa dalam kandungan ibu sudah mula proses tarbiyah. Sebab itu ibu-ibu mengandung perlu pastikan apa yang dia makan, apa yang dia buat dan apa yang dia baca.

Sifat ibu akan diwarisi oleh anak. Kalau suka menyanyi atau menonton TV, anak yang lahir kelak akan menurut apa acuan yang dibentuk. Ramaikah ibu-ibu membaca Al-Quran semasa mengandungkan anaknya?

Sedih melihat wanita masa ini asyik keluar masuk kilang saja hatta hingga larut malam masih lagi di kilang. Haiwan pun tidur waktu malam, kita manusia masih bertungkus lumus di kilang. Ajaran siapa ini?

Allah peruntukkan masa siang untuk cari rezeki, masa malam untuk rehat. Kita siang malam sama saja mencari rezeki.

Orang alim dulu siang bekerja malam beribadat. Kita siang kerja malam kerja. Bila ibadat? ...Sorry, no time...

Bukan lelaki saja bahkan perempuan lebih ramai kerja shift malam. Manakan suami tak jadi liar? Habis semua disapu kadang-kadang anak sendiri jadi mangsa bila lihat isterinya tak ada. Nak salahkan siapa?

Apabila terlalu pentingkan kebendaan duniawi beginilah akibatnya. Kemanisan beribadat tidak akan tercapai bagi mereka yang mengejar keduniaan.

Kalau 90% usaha dicurahkan untuk dunia berapa peratus agaknya untuk akhirat. Kalau 10% ada juga tapi bila dah teruk kerja badan dah letih sudah tentu 0% untuk ibadat.

Al-Quran ada menjelaskan 'Kaum lelaki adalah penjaga kaum wanita.' Sekarang nak jaga apa? Asyik kerja siang malam. Anak isteri masing-masing punya pasal. Kau nak buat apa terpulang.. asalkan mewah hidup.

Perasaan kasih sayang sudah luput dari ibubapa. Ibubapa dewasa ini kebanyakannya sudah tidak menyayangi anak-anak lagi. Buktinya mereka tidak ambil pusing hal-hal keagamaan mereka.

Ada yang sanggup membiarkan anak-anak terjun ke dalam api neraka. Anak kera pun kasihan melihat anaknya ditembak pemburu.

Pernah seorang sahabat Nabi hairan tercengang melihat Nabi mencium pipi cucunya lantas bertanya kenapa Nabi berbuat begitu.

Dia bertanya kerana dia sendiri tidak pernah melayan anak atau cucu dengan mesra begitu. Nabi lantas menasihatkannya supaya mencurahkan kasih sayang kepada kanak-kanak.

Dalam satu hadis lain, Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, "Memandang muka anak-anak dengan rasa syukur akan rahmat Allah itu sama seperti melihat muka nabinya."

Begitu besar pahala ibubapa memuliakan anak-anak. Oleh itu kita hendaklah memelihara mereka dengan baik kerana menurut Nabi mengajar satu adab yang baik kepada mereka adalah lebih baik daripada memberi sedekah satu cupak makanan setiap hari.

InsyaAllah ganjaran pahala yang banyak akan diberikan kepada ibubapa yang baik terhadap keluarganya. Oleh itu hendaklah kita sedar benar-benar bahawa kita akan menemui Allah (mati).

Apatah lagi umur kita kian sehari kian bertambah. Apabila bertambah umur kita bererti bertambah hampir pula kita dengan alam barzakh (kubur) atau bertambah hampir kita akan menemui Allah.

Kita semua akan kembali kepada Allah yang menjadikan kita. Allah akan bertanyakan apa amalan kita semasa di dunia ini. Apa yang kita bawa untuk dipersembahkan kepada Allah?

Adakah harta benda yang kita cari selama ini, pagi petang, siang malam, bertungkus lumus macam lipas kudung, tak pernah renggang dengan telefon bimbit, melonggokkan harta, menambahkan saham hingga lupa pada saham akhirat dan lupa kepada Allah yang memberikan kita harta itu.

Dapatkah harta yang banyak itu menebus dosa-dosa yang kita buat di dunia ini? Atau adakah pangkat dan bintang yang berjela-jela dibawa untuk dipersembahkan kepada Allah?

Dengan pangkat, kedudukan dan darjat terasa seolah-olah kita sudah jadi orang besar dan terasa bongkak dengan Allah. Dengan orang miskin dipandang hina. Dengan ulama dipandang leceh.

Adakah pangkat dan darjat dapat menebus dosa yang dilakukan di dunia ini. Dapatkan ia menyelamatkan dari api neraka? Semua ini tidak laku di akhirat.

Memelihara anak dengan baik adalah ibadat tetapi bagaimana pula jika disebabkan terlalu sayangkan anak hingga tak sempat sembahyang Maghrib adakah ibadat juga? Adakah anak itu akan menolong semasa berhadapan dengan Allah kelak? Tidak!

Yang menyelamatkan kita pada hari yang tidak bermanfaat harta dan anak pinak ialah jiwa yang suci lagi tenteram. Hati yang suci hanya kepunyaan orang beriman. Orang kafir, fasik dan munafik tidak tenteram hatinya.

Orang beriman itu apa tandanya? Mereka yang beribadat ikhlas kerana Allah. Ikhlas mainkan peranan penting kerana menurut hadis, "Semua manusia rugi kecuali orang berilmu. Semua orang berilmu rugi kecuali beramal. Semua orang beramal rugi kecuali yang ikhlas."

Oleh itu perlu mencari keikhlasan dalam ibadat. Caranya dengan menghadiri majlis ilmu di masjid-masjid di samping kita berdoa kepada Allah supaya kita dilimpahi dengan kurnia, taufiq dan hidayah Allah.

Bukan mudah mendapat anugerah Allah. Untuk mendapatkan anugerah dan kurnia sultan pun terpaksa lobi-melobi betapa untuk kurniaan Allah. Sebelum kita dimatikan oleh Allah, maka janganlah kita sia-siakan hidup dan umur kita ini dengan perkara-perkara yang melalai dan merugikan.

Ingatlah 1000 tahun di dunia hanya dikira 1 hari di akhirat. Allah mencabar dan mengingatkan kita dalam firmanNya, "Adakah kamu anggap, bahawa Kami jadikan kamu dengan percuma (sia-sia) sedangkan kamu akan kembali kepada Aku?" (Al-Mukminun:115)

Ayat di atas adalah sebagai ingatan Allah kepada kita yang suka membuang masa dengan sia-sia. Allah menegaskan lagi dalam Al-Quran dengan firmanNya, "Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah dan beribadat kepadaKu."

Adakah kita kira kita tidak mati atau lambat lagi akan mati? Ingat Firman Allah, "Di mana sahaja kamu berada, kematian akan mengejar kamu, meskipun kamu di dalam benteng yang kukuh lagi tinggi." (An-Nisa':78)

Ingatlah kehidupan dunia ini tidak lain hanya kesenangan yang menipu daya. Dulu muda sekarang tua. Dulu cantik sekarang kedut. Dulu sihat sekarang sakit. Dulu ada gigi sekarang rongak. Dulu berambut hitam sekarang beruban. Dulu tampan sekarang bongkok. Dulu ramai kawan sekarang sendirian. Dulu ada pangkat sekarang pencen. Dulu mewah sekarang muflis.

Ingatlah segala harta benda dan anak pinak tidak akan mengiring kita masuk ke dalam kubur. Mereka hanya iringi hingga ke liang kubur saja. Selepas itu mereka semua balik ke rumah dan enjoy semula.

Kita di dalam kubur bersendirian, disemadikan seorang diri di pusara yang senyap sunyi, tinggal di kubur dan tidak akan kembali lagi ke rumah besar kita.

Hanya satu saja yang paling setia mengikut kita dan menemani kita di sana. Itulah pekerjaan dan amalan kita yang ikhlas. Mereka menjadi kawan baik kita.

Selepas itu apa lagi yang bersama-sama kita di kubur. Sabda Nabi, "Apabila mati anak Adam, maka putuslah segala amalannya kecuali 3 perkara: sedekah jariah (sedekah berkekalan); ilmu yang dimanfaatkan; dan anaknya (yang soleh) yang mendoakan."

Yang dikatakan sedekah jariah ialah amalan sedekah yang pahalanya sampai menemuinya walaupun sudah meninggal 500 tahun umpamanya seperti membina masjid, surau, membina rumah anak yatim dan sebagainya.

Mengikut setakat mana keikhlasan kita. Ada juga amalan jariah yang tidak dibalas dengan pahala tetapi dosa, contohnya mendirikan dewan tarian, mendirikan panggung wayang dan pentas hiburan semua dosa orang yang mengunjungi tempat itu akan dihantar kepada simati walaupun telah 600 tahun misalnya.

Termasuk dalam kategori ilmu yang dimanfaatkan ialah seperti menulis kitab yang memberikan kesedaran kepada orang dan buku itu digunakan zaman berzaman. Selagi kitab itu digunakan dan faedahnya tersebar luas, pahala akan terus mengalir kepadanya.

Begitu juga siri ceramah dan tazkirah seperti homepage. Ini bergantung kepada keikhlasan tanpa niat riak. Sama-samalah berdoa semoga kita ikhlas. Anak soleh yang mendoakan.

Sekarang ini anak bernama Saleh tapi amalan tak soleh. Ada juga orang kafir dipanggil Mad Saleh, kenapa agaknya dipanggil Saleh?

Seolah menghina istilah 'soleh'. Anak yang beribadat, bersembahyang dan mendoakan kita, pahalanya juga akan sampai kepada kita lantaran didikan dan asuhan kita dulu. Ibarat pokok yang kering apabila disiram air akan segar semula.

Begitulah kita di alam kubur nanti, apabila menerima pahala anak-anak kita kembali segar. Begitulah mustajabnya anak yang soleh mendoakan kedua ibubapanya.

Menurut hadis orang yang mati seolah-olah dalam keadaan lemas. Sahabat Nabi bertanya bagaimana untuk menolong mereka dari lemas.

Nabi menerangkan hadiahkan Fatihah kepada simati supaya ia tidak lemas dan mampu untuk timbul. Ramai beranggapan anak yang soleh ialah anak-anak bergaji besar, berkereta besar, berumah besar, bercakap besar dan berpangkat besar.

Semua ini tidak menjamin kesolehannya selagi tidak mempunyai iman kepada Allah dan berbakti kepada ibu dan bapanya.

Akhir sekali didiklah anak-anak kita dari sekarang sebelum terlambat supaya menjadi anak yang soleh. Sebelum peringkat itu, mula-mula kenalah jadikan kita dulu anak yang soleh, anak yang suka mendoakan kedua ibu bapa kita.

Wallahualam.

Selasa, 11 Januari 2011

Hebatnya Solat Di Awal Waktu...

Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam.

Aku rasa fenomena perubahan warna alam adalah sesuatu yang tidak asing bagi mereka yang terlibat dalam bidang fotografi, betul tak?

Waktu Subuh
Sebagai contoh, pada waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh.

Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi.

Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki.

Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) - dalam erti kata lain jaga daripada tidur.

Di sini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat di awal waktu.Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum.

Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud.Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.

Waktu Zohor
Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (Isyraq & Dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor.

Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman.

Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan.

Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya. Orang yang tengah sakit perut ceria tak?

Waktu Asar
Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif.

Rahsia warna oren ialah kreativiti.

Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur la tu).

Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita.

Waktu Maghrib
Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah.

Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam.

Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib dulu la) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita.

Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.

Waktu Isyak
Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa Kegelapan.

Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak.

Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan.

Alam sekarang berada dalam Kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam. Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta di mana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan.

Qiamullail
Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus.

Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.

Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam.

Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya.

Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh.

Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah di’kurniakan’ syariat solat oleh Allah s.w.t tanpa perlu kita memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini.

Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah s.w.t mewajibkan solat ke atas hamba-Nya atas sifat pengasih dan penyayang-Nya sebagai pencipta kerana Dia tahu hamba-Nya ini amat-amat memerlukan-Nya.

Adalah amat malang sekali bagi kumpulan manusia yang amat cuai dalam menjaga solatnya tapi amat berdisiplin dalam menghadiri kelas taichinya.

Wallahualam.



Rabu, 5 Januari 2011

Jangan Sombong Dengan Takdir

Jika hendak dikirakan ’beriman’ dengan Allah, iblis laknatullah sepatutnya lebih tinggi imannya kepada Allah.

Masakan tidak, dia pernah berdialog dengan Allah (dialog yang telah dirakamkan dalam Al Quran). Dia percaya kepada syurga dan neraka.

Bukan sahaja percaya bahkan telah melihatnya. Syaitan yakin tentang adanya Hari Pembalasan.

Hendak diukur dari segi ibadah, ya ibadah iblis begitu hebat. Puluhan ribu tahun sujud, rukuk dan membesarkan Allah hingga terlantik sebagai ketua malaikat.

Cuma satu… syaitan kecundang kerana tidak dapat menerima takdir Allah.

Takdir yang menentukan Adam dipilih menjadi Khalifah dan dia diperintahkan sujud lambang hormat kepada Allah dalam mentaati Allah.

Syaitan tidak boleh menerima takdir ini..

Mengapa dia yang dijadikan daripada api (sedangkan Adam hanya daripada tanah), mengapa dia yang lebih ’senior’ dalam ibadah dan hiraki kepimpinan tidak terpilih menjadi khalifah, sedangkan Adam hanya ’pendatang’ baru yang diciptakan terkemudian?

Iblis sombong kerana tidak menerima ketentuan takdir. Dan dia terhina kerana itu.

Lalu kita siapa yang mampu menidak dan meminggirkan takdir? Allah, itu Maha Besar, qudrat dan iradatnya tidak akan mampu kita nafikan.

Jika cuba menafikan, kita akan terhina… seperti terhina iblis. Dilaknat dan dimasukkan ke neraka… kerana gugur sifat kehambaannya!

Dalam episod hidup, takdir datang menguji kita. Mengapa aku mendapat suami yang begini? Mengapa isteriku tidak sebegitu? Kenapa ketua ku orang semacam dia? Kenapa anak ku cacat? Mengapa isteri tersayang ku pergi dulu? Kenapa aku tidak kaya-kaya lagi walaupun telah berusaha.

Bila masalah melanda kita merasakan kitalah yang paling menderita. Mengapa aku yang tertimpa nasib begini?

Mulut berbicara mengaku Allah itu Tuhan kita tetapi mengapa kehendak-Nya kita tidak rela? Benarnya, masalah, ujian dan cabaran dalam hidup itu sangat berkaitan dengan iman.

Iman iblis hancur berderai bila diuji dengan takdir. Ego terpendamnya selama ini terserlah.

Terbakar hangus seluruh ibadah yang dibinanya ribuan tahun.

Aduh, bagaimana pula kita yang iman hanya setipis kulit bawang dan ibadah yang hanya sekelumit ini?

Pujuklah hati, terima takdir itu dengan rela. Katakan, ya Allah… sungguh sakit, sungguh perit, tapi apakan daya, aku hambaMu, Kau lebih tahu apa yang terbaik untukku berbanding diriku sendiri.

Ya Allah, jangan Kau serahkan aku kepada diriku sendiri walaupun sekelip mata. Tadbirku seluruh dan sepenuh sujud pada takdir MU.

Takdir sentiasa mengatasi tadbir. Takdir daripada Allah, sedangkan tadbir hanya dari kita hamba-Nya.

Kekadang takdir dan tadbir selari, maka terjadilah apa yang kita inginkan terjadi.

Namun acapkali takdir dan tadbir bersalahan, maka terjadilah apa yang kita tidak inginkan.

Kita ingin putih, hitam pula yang menjelama. Kita dambakan kejayaan, kegagalan pula yang menimpa.

Ketika itu hati akan bertanya, apa lagi yang tidak kena? Semuanya telah kutadbirkan, tetapi kenapa gagal jua?

Ketika itu timbullah bunga-bungan ’pemberontakan’ dari dalam diri hamba yang kerdil berdepan dengan Tuhan yang Perkasa. Samada di sedari atau tanpa disedari…

Takdir daripada Allah mengandungi banyak hikmah. Ia mengandungi mehnah (didikan langsung dari Allah) yang kekadang tersembunyi daripada pengamatan fikiran biasa.

Ilmu semata-mata tanpa iman yang kuat, akan menyebabkan kita terkapa-kapa dalam ujian hidup tanpa pedoman yang tepat.

Justeru dengan akal semata-mata kita tidak akan dapat meringankan perasaan pada perkara-perkara yang tidak sejalan dengan diri dan kehendak kita.

Mengapa terjadi begini? Sedangkan aku telah berusaha?

Untuk mengelakkan hal itu terjadi maka kita mesti berusaha mencari-cari hikmah-hikmah yang terkandung dalam ketentuan (takdir) Tuhan.

Ya, hanya manusia yang sempurna akal (ilmu) dan hati (iman) sahaja dapat menjangkau hikmah yang terkandung di dalam cubaan dan bala yang menimpa duirinyanya. Kata orang, hanya jauhari mengenal manikam.

Orang yang begini akan menjangkau hikmah di sebalik takdir. Dapat melihat sesuatu yang lebih tersirat di sebalik yang tersurat.

Ya, mereka tidak akan beranggapan bahawa sifat lemah-lembut Allah lekang daripada segala bentuk takdir-Nya – samada yang kelihatan positif atau negatif pada pandangan manusia.

Ertinya, mereka merasai bahawa apa jua takdir Allah adalah bermaksud baik. Jika sebaliknya, mereka merasakan bahawa Tuhan bermasud jahat dalam takdir-Nya, maka itu petanda penglihatan hati tidak jauh, dan akalnya pendek.

Mengapa terjadi demikian? Sebab iman belum mantap, keyakinan masih lemah dan tidak kenal Allah dalam ertikata yang sebenarnya.

Bila ketiga-tiga faktor itu sempurna, maka barulah sesorang itu mampu melihat bahawa di dalam cubaan dan bala yang ditakdirkan mengandungi hikmah-hikmah yang baik.

Hanya dengan itu, seseorang itu akan merasa senang dan bahagia dalam menghadapi sebarang ujian dalam hidupnya.

Bagaimana kita dapat meringankan beban hati ketika menghadapi ujian hidup?

Ya, hanya pertalian hati seorang hamba dengan Allah sahaja yang menyebakan ringannya ujian dan cubaan. Hati yang disinar dengan cahaya Allah dan cahaya sifat-sifat-Nya akan berhubung dengan Allah.

Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu.

Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.

Bila kita kenal Allah Maha Pengasih dan Penyayang, kita tak boleh buruk sangka kepada Allah dengan menganggap apa yang ditakdirkan (ujian) itu adalah sesuatu yang tidak baik.

Iktikad (yakin) kita semua ketentuan Allah itu adalah baik – ujian itu pasti ada muslihat yang tersembunyi untuk manusia, akan menyebabkan hati terubat.

Walaupun pahit, ditelan jua. Sematkan di hati bahawa pilihan Allah untuk kita adalah yang terbaik tapi kita tidak atau belum mengetahuinya. Bila terjadi nanti, barulah kita tahu.

Katalah kita ditimpa penyakit atau kegagalan… itu mungkin pada hakikatnya baik pada suatu waktu nanti. Betapa ramai, mereka yang sakit, tetapi akhirnya mendapat pengajaran yang besar di sebalik kesakitannya.

Contohnya, apa yang berlaku kepada Cat Steven… yang sakitnya itulah yang menyebabkan beliau mendapat hidayah dan akhirnya memeluk Islam.

Dan betapa ramai pula yang gagal pada mulanya tetapi dengan kegagalan itu bangkit jiwa juang yang lebih kental yang akhirnya membuah kejayaan?

Hingga dengan itu masyhurlah kata-kata bahawa kegagalan itu hakikatnya adalah kejayaan yang ditangguhkan!

Para ahli hikmah (bijaksana) merumuskan bahawa, antara hikmah ujian ialah, hati akan lebih tumpuan kepada Allah.

Dengan ujian, seseorang akan dapat menambah tumpuan dan penghadapannya kepada Allah.

Sebab bala dan ujian bertentangan dengan kehendak, keinginan dan syahwat manusia, seperti sakit, rugi, miskin dan lain-lain.

Dengan ini nafsu akan terdesak, tidak senang dan ingin lepas daripada ujian. Bila nafsu terdesak, ia akan terdidik secara langsung.

Ia akan tertekan dan menjadi jinak. Hakikat ini akan membuka pintu rahmat Allah kerana nafsu yang liar sangat mengajak kepada kejahatan.

Bila nafsu hilang kekuatannya maka manusia tidak akan jatuh ke lembah dosa dan maksiat dengan mudah.

Hati tidak dapat tidak mesti bersabar. Hati akan terdidik untuk redha dan tawakal, kerana yakin Qada dan Qadar Allah pasti berlaku.

Kerana manusia harus terima, tidak boleh menolak ujian itu. Hamba yang soleh menanggung Qadar dengan sabar (bahkan) gembira dengan pilihan Allah.

(Ujian adalah pilihan Allah bukan pilihan manusia). Tidak ada pilihan Allah yang tidak baik. Semuanya baik belaka.

Hakikat ini akan menyebabkan kita akan lebih mendekat kepada agama. Hikmah ini walaupun sebesar atom tetapi bila melekat di hati kebaikannya lebih tinggi dari amal lahiriah walaupun sebesar gunung.

Justeru, bila hati baik semua anggota badan menjadi baik. Inilah yang ditegaskan oleh Allah menerusi firman-Nya:

“…Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan sesuatu itu merosakkan kamu. Dan Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak tahu.” Surah Al Baqarah : 216

Sesungguhnya, dalam ujian Allah terselit nikmat-Nya.

Mungkin kita tertanya-tanya apakah nikmatnya bila sakit, miskin, gagal, dihina dan sebagainya?

Hendaklah kita faham bahawa nikmat di sisi Allah itu terbahagi dua. Pertama, nikmat lahir. Dan kedua, nikmat batin (rohaniah).

Nikmat lahiriah ialah sihat, selamat dan kebaikan fizikal yang lain. Manakala nikmat batiniah ialah nilai-nilai keimanan, keyakinan dan kesabaran.

Dengan ujian kesusahan misalnya, barulah terbina sifat sabar. Dan sabar itu adalah separuh daripada keimanan.

Ujian juga akan menghapuskan dosa dan kesalahan seseorang terhadap Allah.

Nabi Isa pernah berkata, ”belum dikatakan seorang itu kenal Allah, sebelum dia bergembira dengan musibah dan penyakit ke atas dirinya, kerana berharap supaya dihapuskan kesalahannya.”

Bila kita benci dengan ujian, ertinya belum kenal Allah dan (kerana) tidak faham itulah cara (kaedah) Allah mengampunkan dosa kita.

Bila kita gembira (terima dengan baik) ujian itu, kerana yakin bahawa yang datangkan ujian itu juga adalah Allah.

Jadi, apabila kita ditimpa ujian maka berusaha dan berikhtiarlah untuk menangani ujian itu tetapi jangan sesekali lupa mencungkil hikmahnya.

Oleh yang demikian, apabila diuji, terimalah dengan baik dengan mencari hikmah-hikmahnya kerana tidak ada takdir Allah yang tidak ada hikmahnya.

Ingatlah, bahawa orang soleh itu bila diuji, hikmah-hikmah ujian akan mendekatkan mereka kepada Allah.

Jangan sesekali kita menjadi orang yang rugi yakni mereka yang buta daripada melihat hikmah justeru akal dan hati hanya melihat sesuatu yang selari dengan hawa nafsunya sahaja.

Ingatan para hamba yang soleh kepada Allah akan bertambah dengan ujian-ujianNya.

Mereka merasakan ujian itu satu petanda yang Allah telah memilih mereka.

Mereka sentiasa berbaik sangka dengan Allah dengan cara menyedari (mencari) bahawa setiap yang berlaku samada pahit atau manis pasti ada hikmahnya.

Mereka tidak melihat hanya ’asbab’ (sebab-sebab) tetapi matahati mereka dapat menjangkau ’musabbabil asbab’ (Penyebab – Tuhan).

Hati mereka berkata: ”Inilah hakikat hidup yang dipilih Allah untukku. Aku akan terus berbaik sangka kepada Allah…

DIA akan mengubat, melapang dan memberi kemenangan di sebalik ujian ini.

Ya, aku tidak tahu, kerana ilmuku terbatas. Tetapi kerana Allah yang Maha Penyayang telah memilih ujian ini untuk diriku maka aku yakin ilmu-Nya Maha luas.

Yang pahit ini akan menjadi ubat. Yang pedih ini akan menjadi penawar. Ya, Allah tingkatkanlah imanku bagi mendepani setiap ujian dari-Mu!”

Isteri VS Suami

Isteri tak pandai masak vs suami tidak boleh jadi imam !

Berapa ramai lelaki yang boleh menjadi imam? Kalau perempuan tidak boleh memasak, dikutuk dan disuruh belajar.

Kalau lelaki tak boleh jadi imam kita kata okay saja. Jangan diperbesarkan nanti mereka terasa hati.

"Apalah perempuan, tak pandai masak siapa nak kahwin dengan awak!"

Begitulah kata rakan sejawat lelaki pada seorang anak dara, juga rakan sejawat kami.

Maka jawaplah si gadis ayu itu yang dia tidak sempat belajar memasak sebab dari kecil tidak digalakkan keluarga sebaliknya disuruh menumpukan perhatian pada pelajaran saja.

Sementelah tinggal di asrama, peluang pulang ke rumah terhad dan tidak sempat turun ke dapur membantu ibunya.

Soalnya, berapa ramai lelaki yang boleh menjadi imam?

Kalau perempuan tidak boleh memasak, dikutuk dan disuruh belajar. Kalau lelaki tak boleh jadi imam kita kata okay saja.

Jangan diperbesarkan nanti mereka terasa hati."Habis sekarang kenapa tidak belajar?" Tanya sang lelaki lagi dengan penuh semangat.

"Sedang belajarlah ni tetapi selain sibuk dengan kerjaya saya juga sibuk belajar agama, jadi belajar memasak tetap tidak diutamakan!"

Begitu jawab si gadis yang membuatkan lelaki tadi menggeleng-geleng kepala. Baginya tidak sempurna seorang wanita jika tidak tahu memasak.

Wanita sepatutnya buat begitu juga. Syarat utama menjadi suami mesti boleh menjadi imam.

Walau ada yang kata, jika itu syaratnya bermakna makin ramai wanita yang hidup bujang seumur hidup.

Lelaki meletakkan kebolehan wanita di dapur sebagai perkara utama dan ungkapan hendak memikat suami, perlu pikat seleranya sering diguna pakai.

Tidak kiralah jika wanita itu berpelajaran atau berjawatan tinggi dan penyumbang utama kewangan dalam rumahtangganya.

Sekarang bukan asing lagi gaji isteri lebih tinggi daripada suami.

Namun kedudukan suami sebagai raja tidak pernah dilupa walau dia tidak mengambil inisiatif mempelajari ilmu menjadi imam.

Ilmu bermain video game di komputer atau playstation di tv mereka rasa lebih perlu. Kalau tidak tahu memasak disuruh belajar dan sesudah belajar perlu handal.

Jika handal bukan setakat masak untuk keluarga sendiri, kalau boleh perlu boleh memasak untuk tiga pasukan bola. Begitulah standard yang telah ditetapkan.

Bolehkah kita meletakkan undang-undang itu kepada lelaki juga. Kalau tidak pandai jadi imam, belajarlah.

Mula-mula jadi imam kepada keluarga sendiri, sudah terror bolehmengimam satu taman perumahan pula."Sibuk suruh kita handal memasak, mereka tu bolehkah jadi imam?"

Dengus teman wanita yang lain. Betul juga. Berapa kerat lelaki yang mampu menjadi imam solat jemaah di rumah bersama anak isteri sebagai agenda utama sekiranya uzur syarie ke masjid.

Selain keperluan memenuhi pelbagai seleranya? Maka bertanyalah wanita kini kepada beberapa lelaki tentang kebolehan yang satu ini.

Ternyata ramai yang menjawab tidak confident menjadi imam sebab takut bacaan al-Fatihah tidak sempurna, salah tajwid atau pun dia merasakan isterinya lebih handal.

Ada yang kata lebih elok dia dan isteri sembahyang sendiri-sendiri. Ada juga menjawab, rasa kelakar pula apabila dirinya yang rugged menjadi imam.

Isu ini sepatutnya kita beratkan sepertimana masyarakat memberatkan wanita perlu pandai memasak jika mahu bersuami.

Lelaki juga harus boleh menjadi imam supaya kewibawaan mereka sebagai ketua keluarga tidak goyah atau menjadi mangsa queen control.

Kalau tidak pandai, belajarlah sekarang. Jika wanita disuruh belajar, apa salahnya lelaki!

Jangan kan kata Fatihah kadang2 bismillah pun tak betul....

Berapa ramai lelaki yang Fatihah nya tidak betul tapi merasakannya BETUL....

Suami isteri bersama anak-anak patut ke masjid jemaah bersama, selain solat dapat juga mengisi slot maghrib isya dengan mendengar syarahan dan kuliah agama.

Ini tidak agenda ke ceramah politik, tengok wayang, futsal, konset sua rasa, nyanyian, giant, carrefour, tesco, jusco dan bermacam2 lagi yg tidak berfaedah dijadikan hidup agenda berjemaah yang utama.

Kisah Pemuda, Janda Dan TAQWA

Di sebuah kampung, ada seorang pemuda yang sangat miskin dan miskin...dan miskin. Kasihan!

Pemuda ini tidak mampu membeli makanan sehingga beberapa hari tidak makan. Dia tiada rumah dan menjadi 'tetamu tetap' di sebuah masjid di kampungnya kerana tempat tinggalnya memang di masjid.


Oleh kerana kebanyakan masa hariannya di masjid, dia seringkali mengikuti majlis-majlis ilmu di masjid itu; kuliah, tazkirah, ceramah dan apa-apa sahaja majlis ilmu di sana.

Itulah keistimewaan pemuda ini. Walaupun miskin dan kelaparan, menghadiri majlis ilmu adalah rutin hidupnya.

Suatu hari pemuda ini berasa sangat lapar. Sungguh kasihan kerana dia tidak mampu membeli apa-apa makanan.


Hampir mati akal dia memikirkan bagaimana ingin mengisi perutnya kerana dia benar-benar kelaparan. Sehinggalah terdetik di dalam hati...

"Urm, bagaimana jika aku menyelinap masuk ke rumah orang-orang kampung dan mencuri makanan mereka? Aduh! Aku merasakan benar-benar dalam keadaan darurat. Mungkin dalam keadaan darurat begini menjadi keringanan buatku untuk mencuri," pujuk hatinya ketika risau jika ia dalam keadaan berdosa.

Pemuda miskin ini nekad. Ditunggunya sampai hari semakin gelap dan dia mula bergerak perlahan-lahan ke sekitar kampung.


Dipanjatnya dari bumbung ke bumbung yang lain demi mencari sesuap dua makanan. Akhirnya, setelah berusaha memanjat, sampailah dia ke sebuah rumah. Gelap. Sunyi.

"Ah, sudah tentu penghuninya tiada sekarang. Baik aku masuk!"

Dia pun dengan segera menyelinap masuk dengan harapan tekaannya benar.


Ya, dia memang benar kerana sungguh rumah tersebut tidak berpenghuni buat sementara waktu.

Berbekalkan kesamaran cahaya dari celahan tingkap, pemuda ini menuju ke dapur dan terlihat sebuah periuk. Ketika membuka tudung periuk itu, dia terkejut.

Sebiji TERUNG!

Itu sahaja yang dijumpainya. Pemuda itu lantas mengambil terung tadi dan mula menggigitnya kerana benar-benar kelaparan walaupun ia hanya sebiji terung.


Setelah sekali menggigit, tiba-tiba dia tersentak.

"Ya Allah! Apakah yang aku sedang lakukan. Malu aku pada-Mu Tuhan! Mana mungkin aku mencuri harta orang lain sedangkan aku adalah orang yang yang menjadi tetamu di masjid, menjadi tetamu dalam majlis-majlis agama.


Tidak sepatutnya aku bertindak sebegini. Aku takut akan-Mu wahai Tuhan yang melihat segala tindak tandukku. Ampuni aku, aku amat takut akan balasan-Mu"

Sepantas kilat dia meletakkan semula terung yang telah selamat digigitnya sekali dan menyelinap keluar, hilang dalam kegelapan.

Esoknya...

Penduduk kampung mulai keluar masjid setelah tamatnya kuliah pada petang itu. Hanya beberapa orang yang masih di dalam masjid membaca Al-Quran.


Seorang wanita masih berdiri di perkarangan dalam masjid dalam keadaan yang resah. Wanita tersebut pantas mendekati tok imam yang telah memberikan pengisian petang itu.

"Tok Imam, tolong bantu saya. Saya benar-benar buntu..." rayu wanita itu.

"Ya Allah, kenapa dengan kau wahai anakku. Ceritakanlah... jika aku boleh membantu, InsyaAllah aku akan membantumu."

"Aku ini seorang janda. Suamiku telah meninggal dunia," esakan mulai kedengaran.

"Beberapa hari lepas, aku telah diganggu oleh pemuda-pemuda kampung ini dan sungguh aku merasakan tidak selamat dan terasa terancam."

Tok Imam itu terdiam. Kerutan jelas di dahinya.

"Aku... aku ingin tok imam membantuku mencarikan seorang suami untukku kerana aku tidak ingin lagi terus diganggu oleh pemuda-pemuda di sini," ujarnya.

"Apa benar kau ingin aku membantu mu?" tanya imam tua tersebut. Wanita tersebut mengangguk.

Imam tua itu merenung ke sekeliling masjid. Lantas matanya terpaku pada pemuda miskin yang sedang bersandar di tepi tiang.

"Wahai pemuda, mahukah kamu ke mari?" Perlahan-lahan pemuda itu melangkah mendekati Tok Imam dan wanita tersebut.

"Sudikah kau mengahwini wanita ini?" pantas imam tua itu menyoal.

"Ya Allah, adakah ini hanya khayalanku? Aku ingin berkahwin, tapi percayalah, untuk membeli sebuku roti pun aku tidak mampu, apatah lagi untuk menanggung orang lain!" jujur pemuda itu menjawab.

"Usah khuatir wahai pemuda. Aku tidak perlukan hartamu. Aku sudah ada rumah yang arwah suamiku tinggalkan untukku. Aku tidak memerlukan hartamu. Aku hanya perlukan seorang lelaki yang boleh menjaga dan melindungiku dari ancaman luar," balas wanita tersebut.

Diam. Lama pemuda itu berfikir. Dia kemudian mengangguk perlahan.

Setelah bernikah disaksikan beberapa tetamu masjid, tok imam itu berkata;

"Sekarang pulanglah kamu bersama suamimu ini. Semoga pernikahan ini mendapat keberkatan-Nya dan dapat menyelamatkan kamu daripada gangguan orang."

Setibanya di rumah, wanita itu terus bertanya kepada pemuda miskin yang telah selamat menjadi suaminya.

"Adakah kau ingin makan? Aku akan menyiapkannya untukmu, wahai suamiku."

Pemuda itu hanya mengangguk. Dalam fikirannya sekarang bukan tertumpu pada makanan (walaupun pada hakikatnya ia memang kelaparan) tetapi rumah wanita tersebut.


Dia menoleh ke kiri dan ke kanan. Seolah-olah dia pernah berada di situ sebelumnya.

"Kenapa aku seperti mengenali rumah ini?" soalnya dalam hati sambil berkerut. Oh tidak! Jangan-jangan...

"Silalah makan dahulu," kata si wanita sambil menghidangkan sesuatu.

"Ya Allah... adakah aku bermimpi? Ini adalah terung yang telah ku gigit semalam. Ya Allah..apakah tandanya ini?"

"Maaf wahai suamiku. Aku hanya ada terung ini yang sempat ku rebus semalam. Aku terkejut kerana ia telah digigit. Pelik, siapa yang telah mengigitnya sedangkan tiada sesiapa di rumah ini sewaktu ku keluar," jelas wanita itu dalam kesayuan kerana tidak mampu menghidangkan yang terbaik untuk suaminya.

"Wahai isteriku. Mahukah kau mendengar suatu kisah? Se.. sebenarnya aku lah yang telah menyelinap masuk ke rumahmu semalam dan menggigit terung ini," akui pemuda itu ikhlas. Berubah wajah wanita itu.

"Maafkan aku. Semalam, aku sangat kelaparan. Sudah beberapa hari aku tidak makan dan aku tidak mampu untuk membeli apapun. Aku bertekad untuk mencuri makanan di luar. Ku fikir aku benar-benar dalam keadaan darurat. Namun, setelah selamat mengigitnya sekali, aku merasa benar-benar tersedar dan merasakan sangat takut kepada Allah yang menjadi saksi perbuatanku. Aku malu... aku takut akan azabnya atas kelalaianku. Maafkan aku," ujar pemuda itu sambil tertunduk menangis.

"Tidak mengapa suamiku. Aku sudah memaafkanmu. Akan tetapi ketahuilah bahawa aku benar-benar cemburu akanmu. Tahukah kau mengapa?" soalnya.

Pemuda itu berhenti menangis lalu merenung isterinya.

"... kerana sifat TAQWA mu! Kerana takutkan Allah, kau berhenti daripada terus melakukan dosa dan berterus-terang padaku. Sekarang, tidakkah kau sedar? Kerana sifat TAQWA yang ada pada dirimu itu, Allah membalasnya semula bukan hanya dengan terung yang telah kau gigit semalam, tapi seluruh isi dalam rumah ini termasuk diriku kepadamu, telah menjadi milikmu secara halal. Tidak perlu lagi kau mencuri. Semuanya telah Allah hadiahkan semula kepadamu kerana KETAQWAANmu itu," ujar wanita itu sambil tersenyum. Pemuda miskin itu cepat-cepat bersujud tanda mensyukuri hadiah Allah kepadanya.

Jika pembaca dapat menilai kembali kisah ini daripada asal, apakah 'main point' yang saya ingin sampaikan?

Ia adalah tentang TAQWA.

Kerana takutkan Allah, pemuda itu telah meninggalkan semula terung yang digigitnya ke tempat asal. Dia malu kepada Allah, dan dia benar-benar takut Allah akan menghukumnya.


Kerana TAQWA yang ada padanya, Allah membalasnya semula bukan sahaja terung yang selamat digigitnya tanpa izin, tetapi termasuk tuan empunya rumah dan isi rumah tersebut kepadanya.

Semuanya secara HALAL tanpa perlu rasa ragu-ragu.

Akan tetapi bukan harta dunia yang dikejar, tetapi rasa takut yang berterusan kepada Tuhan yang Maha Melihat, yang Maha Mengetahui dan yang Maha Pengasih, dalam melakukan sesuatu walaupun ia hanya sekecil-kecil hal (dalam kisah ini: mencuri sebahagian kecil terung!).


Sesungguhnya beruntung bagi orang-orang yang bertakwa kerana kasih sayang Allah yang berlipat ganda bukan sahaja di dunia, malah di akhirat kelak.

Firman Allah dan hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap orang memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (Akhirat), dan bertakwalah kepada Allah. Sungguh, Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan" (Surah Al-Hasyr: 18)

Kemudian Allah sambung lagi dalam surah yang sama, ayat seterusnya;

"Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, sehinggalah Allah menjadikan mereka lupa akan diri sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik." (Surah Al-Hasyr: 19)

Wasiat Nabi صلى الله عليه وسلم kepada Muadz bin Jabal رضي الله عنه , "Bertaqwalah kamu kepada Allah di mana pun kamu berada, tampallah keburukan dengan kebaikan niscaya akan dapat menghapusnya dan pergaulilah manusia dengan akhlak yang baik." (Hadis riwayat Ahmad dan At-Tirmidzi)

Dan banyak lagi firman Allah dalan Al-Quran tentang taqwa. Marilah berusaha menjadi orang-orang yang bertakwa demi menggapai redha-Nya dalam setiap inci pun yang kita lakukan. Kita masih lagi ada masa.

Moga kisah ini bermanfaat untuk semua.