Khamis, 22 Mac 2012

10 Amalan Pembuka Rezeki

Setiap orang pasti mengharapkan rezeki yang halal, baik, berkat, dan melimpah ruah.

Tentu dengan rezeki tersebut seseorang dapat memenuhi keperluan hidupnya dan untuk mendapatkannya, selain dengan gigih bekerja secara ikhlas, sempurna dan bijak, seseorang harus mengetahui apa saja amalan-amalan yang dapat memudah dan mempercepatkanturunnya rezeki.

Di antara amalan-amalan tersebut adalah:.

1. Memperbanyakkan Istighfar Dan Bertaubat

Allah SWT berfirman:

“Maka Aku katakan kepada mereka: ’Mohonlah ampun kepada Tuhanmu. Sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan kepadamu dengan lebat, dan membanyakkan harta dan anak-pinak,dan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).”

(Surah Nuh [71]: Ayat 10-12).

2. Meningkatkan Ketakwaan

Firman Allah SWT:

"Sesiapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki daripada arah yang tidak disangka-sangka. Dan sesiapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya.”

(Surah At-Thalaq [65]: Ayat 2-3)..

3. Gemar Menyambung Ikatan Silaturahim

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, “Sesiapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya,maka hendaklah ia menyambung tali silaturahim.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

4. Gemar Mendermakan Harta

Firman Allah SWT;

“Katakanlah: ‘Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan menyempitkan bagi (sesiapa yang dikehendaki-Nya). Dan barang apa saja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantinya dan Dia-lah pemberi rezeki yang sebaik-baiknya.”

(Surah Saba’ [34]: Ayat 39)..

5. Membiasakan Ibadah Dengan Betul

Dalam satu hadis Qudsi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda, “Sesungguhnya Allah berfirman, “Wahai anak Adam, sibukkanlah untuk beribadah kepada-Ku, nescaya akan Aku penuhi dadamu dengan kekayaan dan Aku tutup kefakiranmu. Jika tidak kamu lakukan nescaya akan Aku penuhi pada kedua tanganmu kesibukan dan tidak Aku tutup kefakiranmu.” (Riwayat Ahmad).

6. Menunaikan Ibadah Haji Dan Umrah

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah bersabda, “Lakukanlah haji dan umrah,kerana keduanya akan menghapus kefakiran dan dosa sepertimana api menghilangkan karat besi,emas dan perak.” (Riwayat Ahmad).

7. Hijrah Di Jalan Allah (Fisabilillah)

Allah SWT berfirman :

“Sesiapa berhijrah di jalan Allah, nescaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak. Sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), maka sungguh telah tetap pahalanya di sisi Allah. Dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.”

(Surah An-Nisa ‘[4]: Ayat 100).

8. Bertawakal Kepada Allah

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, “Seandainya kalian mahu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benarnya, pasti Allah akan memberikan rezeki kepadamu sebagaimana burung yang diberikan rezeki,pagi-pagi dia dalam keadaan lapar dan kembali dalam keadaan kenyang.” (Riwayat Ahmad dan Tirmidzi).

9. Mengamalkan Solat Dhuha

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, “Sesiapa solat Dhuha enam rakaat, ia akan dicukupi keperluannya hari itu.” (Riwayat Thabrani dan Abu Darda).

10. Menyara Penuntut Ilmu

Anas bin Malik RA berkata, “Dulu ada dua orang bersaudara pada masa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Salah seorang menuntut ilmu pada majlis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, sementara yang seorang lagi, bekerja. Lalu saudaranya yang bekerja itu mengadu kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam (lantaran ia memberi nafkah kepada saudaranya itu). Maka Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda, “Mudah-mudahan engkau dimurahkan rezeki dengan sebab dia.” (Riwayat Tirmidzi).



Wahai Wanita, Nabi Menangis Melihat Azabmu Di Neraka

Ali r.a. meriwayatkan sebagai berikut:

“Saya bersama Fatimah berkunjung ke rumah Rasulullah dan kami temui beliau sedang menangis.


Kami bertanya kepada beliau, “mengapa tuan menangis wahai Rasulullah?”

Beliau menjawab, “pada malam aku di Isra’kan ke langit, aku melihat orang sedang mengalami berbagai penyeksaan… maka bila teringatkan mereka aku menangis.”

Saya bertanya lagi,”wahai Rasulullah apakah yang tuan lihat?”

Beliau bersabda:

» Wanita yang digantung dengan rambutnya dan otak kepalanya mendidih.


» Wanita yang digantung dengan lidahnya serta tangannya dipaut dari punggungnya sedangkan air yang mendidih dari neraka dituangkan ke kerongkongnya.

» Wanita yang digantung dengan buah dadanya dari balik punggungnya sedangkan air getah kayu zakum dituang ke kerongkongnya.

» Wanita yang digantung , diikat kedua kaki dan tangannya ke arah ubun-ubun kepalanya serta dibelit dibawah kekuasaan ular dan kala jengking.

» Wanita yang memakan badannya sendiri serta dibawahnya tampak api yang menyala-nyala dengan hebatnya.

» Wanita yang memotong badannya sendiri dgn gunting dari neraka.

» Wanita yang bermuka hitam dan memakan ususnya sendiri.

» Wanita yang tuli, buta & bisu dalam peti neraka sedang darahnya mengalir dari rongga badannya (hidung, telinga,mulut) & badannya membusuk akibat penyakit kulit dan lepra.

» Wanita yang berkepala seperti kepala babi & kaldai yang mendapat berjuta jenis seksaan.

Maka berdirilah Fatimah seraya berkata, “Wahai ayahku, cahaya mata kesayanganku… ceritakanlah kepadaku apakah amal perbuatan wanita2 itu.”

Rasulullah s.a.w bersabda,

“Wahai Fatimah, adapun tentang :
» Wanita yang digantung dengan rambutnya kerana dia tidak menjaga rambutnya (di jilbab) dikalangan lelaki.

» Wanita yang digantung dengan lidahnya kerana dia menyakiti hati suaminya dengan kata Kemudian Nabi s.a.w bersabda: “Tidak seorang wanita yg menyakiti hati suaminya melalui kata2nya kecuali Allah akan membuatnya mulutnya kelak dihari kiamat,selebar 70 zira’ kemudian akan mengikatnya dibelakang lehernya.”

» Adapun wanita yang digantung dengan buah dadanya kerana dia menyusui anak orang lain tanpa izin suaminya.

» Adapun wanita yang diikat dengan kaki dan tangannya itu kerana dia keluar rumah tanpa izin suaminya, tidak mandi wajib dari haidh & nifas.

» Adapun wanita yang memakan badannya sendiri kerana suka bersolek untuk dilihat lelaki lain serta suka membicarakan keaiban orang.

» Adapun wanita yang memotong badannya sendiri dengan gunting dari neraka kerana dia suka menonjolkan diri (ingin terkenal) dikalangan orang yang banyak dengan maksud supaya orang melihat perhiasannya dan setiap orang jatuh cinta padanya kerana melihat perhiasannya.

» Adapun wanita yang diikat kedua kaki dan tangannya sampai ke ubun-ubunnya & dibelit oleh ular & kala jengking kerana dia mampu mengerjakan solat & puasa. Tetapi dia tidak mahu berwudhuk & tidak solat serta tidak mahu mandi wajib.

» Adapun wanita yang kepalanya seperti kepala babi & badannya seperti keldai kerana dia suka mengadu-domba (melaga-lagakan org) serta berdusta.

» Adapun wanita yang berbentuk seperti anjing kerana dia ahli fitnah serta suka marah-marah pada suaminya.

Dan ada diantara isteri nabi-nabi yang mati dalam keadaan tidak beriman kerana mempunyai sifat yang buruk. Walaupun mereka adalah isteri manusia yang terbaik dizaman itu.

Diantara sifat buruk mereka:
» Isteri Nabi Nuh suka mengejek & mengutuk suaminya.

» Isteri Nabi Lut suka bertandang ke rumah orang.

Semoga Allah beri kita kekuatan untuk mengamalkan kebaikan dan meninggalkan keburukan.

Kalau kita tidak berasa takut atau rasa perlu berubah… maka kita kena khuatir.

Takut kita tergolong dlm mereka yg tidak diberi petunjuk oleh Allah.

Sabtu, 10 Mac 2012

Ibadat Sunat Tampung Kekurang Solat Fardhu

KERIUHAN pasar malam dimulai sejak petang lagi mengajak manusia berduyun-duyun melakukan jual beli.

Kewujudan pasar malam di pelbagai lokasi sudah menjadi keperluan mustahak bagi penduduk mendapatkan barang keperluan asas juga ruang peniaga kecil tempatan meraih rezeki halal.

Bagaimanapun, apabila pintu senja akan beralih kepada malam, dari suasana cerah bertukar gelap, ada tuntutan yang perlu diberikan perhatian oleh umat Islam.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila kegelapan malam tiba, iaitu waktu petang, tahan anakmu, sesungguhnya syaitan bertebaran pada waktu itu. Apabila malam mula berlalu, maka lepas mereka, tetapi tutup pintu rumahmu dan sebutlah nama Allah. Sesungguhnya syaitan tidak membuka pintu yang tertutup, tutup makanan dan minuman serta sebut nama Allah SWT, sekalipun dengan meletakkan sesuatu di atasnya.” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Agak malang, bagi yang beranggapan sudah memadai melakukan ibadat fardu sehingga tidak mempedulikan solat sunat lain.

Umat Islam mesti sedar dalam keasyikan keriuhan pasar malam atau di mana saja berada, ada amalan penting perlu dilaksanakan antara ruang Maghrib ke Isyak.


Keutamaan menunaikan solat sunat antara Maghrib ke Isyak dijelaskan Hudzaifah dengan katanya yang bermaksud: “Aku solat Maghrib bersama Rasulullah SAW, sesudah beliau berdiri melakukan solat berterusan hinggalah masuk waktu Isyak.” (Hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi)

Menunaikan solat sunat selepas waktu Maghrib seperti solat sunat awwabin mungkin agak asing bagi sesetengah umat Islam yang dilalaikan dengan urusan dunia.


Agak malang, bagi yang beranggapan sudah memadai melakukan ibadat fardu sehingga tidak mempedulikan solat sunat lain.

Antara kelebihan menunaikan solat sunat seperti dijelaskan dalam hadis yang bermaksud: “Sesungguhnya amalan pertama manusia yang akan diperiksa pada hari akhirat ialah solatnya, berkata Tuhan kepada malaikat pada hal Dia Maha Mengetahui: Periksalah pada solat hamba-Ku sama ada dia menyempurnakannya atau tidak, kalau didapati dia telah menyempurnakan solatnya, maka tuliskanlah dengan sempurna, sebaliknya apabila didapati solat yang dilakukan tidak sempurna maka Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Lihatlah kalau hamba-Ku itu ada melakukan solat sunat? Kalau memang ada solat sunat yang pernah dilakukan maka Allah berfirman lagi, sempurnakanlah solat fardu hamba-Ku dengan solat sunatnya. Kemudian semua amalannya yang lain diterima kerana kesempurnaan solatnya.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Orang yang benar-benar beriman dan yakin dengan balasan serta janji Allah pada hari akhirat sudah pasti menjinakkan hatinya merebahkan dahi tunduk sujud kepada Allah melalui solat fardu dan solat sunat seperti solat sunat dua rakaat sebelum dan sesudah solat fardu, tahajud, hajat, istikharah, taubat, tasbih dan witir.

Mengikut Ibnu Umar: “Rasulullah SAW tidak meninggalkan solat (sunat) 10 rakaat iaitu dua rakaat sebelum Zuhur, dua rakaat sesudah Zuhur, dua rakaat selepas Maghrib, dua rakaat seusai Isyak (juga di rumah) dan dua rakaat sebelum solat Subuh.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam kehidupan beragama, dari waktu Maghrib hinggalah Isyak adalah ruang beribadat kepada Allah SWT.


Mengkhususkan ruang beribadat bersama ahli keluarga dengan menghidupkan proses menyampaikan ilmu dari ibu bapa kepada anak-anak dan sesama pasangan suami isteri.

Keutamaan menjaga waktu Maghrib perlu diberi perhatian sekurang-kurangnya menitikberatkan anak pulang sebelum Maghrib dapat menghindarkan mereka dengan fitnah.


Anak belasan tahun yang masih perlu bimbingan dan kawalan ibu bapa tidak wajar dibiarkan berkeliaran melepasi waktu Maghrib.

Jika dibiarkan anak masih remaja bebas berkeliaran meskipun sudah melewati Maghrib, akan mendedahkan mereka kepada gejala dan penyakit sosial seperti merempit, meragut, pecah rumah atau penyalahgunaan dadah.

Mendekatkan diri kepada Allah SWT dapat melindungi diri dan ahli keluarga daripada fitnah dan bergelut dengan kemelut sosial. Apabila mendekatkan diri kepada Allah, nescaya perlindungan daripada-Nya mengatasi segala kesulitan dan bencana.

Jumaat, 9 Mac 2012

Adab-adab Hari Jumaat

1) Hendaklah engkau bersedia baginya mulai hari Khamis dengan menyuci kain dan menyuci baju dan membanyakkan mengucap tasbih dan istighfar pada petang-petang hari Khamis itu kerana waktu yang demikian itu menyamai fadhilatnya akan waktu pada hari Jumaat.

2) Sunat engkau puasa pada hari Jumaat itu, tetapi hendaklah engkau sertakan dengan puasa hari Sabtu atau hari Khamis, kerana makruh puasa pada hari Jumaat itu dengan tiada disertakan dengan hari Sabtu atau hari Khamis.

3) Apabila terbit fajar maka sunat engkau mandi kerana waktu mandi Jumaat itu daripada terbit fajar hingga mengerjakan sembahyang Jumaat, tetapi pada waktu hampir hendak pergi solat Jumaat itu terlebih afdhal.

4) Sunat menghias dirinya dengan memakai pakaian yang putih, kerana pakaian yang putih itu terlebih kasih kepada Allah taala.

5) Sunat memakai bau-bauan yang terlebih harum seperti kasturi dan barang sebagainya, dan makruh memakai zabad (sulbi kepada musang) kerana ia pakaian perempuan.

6) Melebih-lebih pada menyuci badan dengan menghilangkan bau busuk badan dan menghilangkan yang cemar-cemar pada badan, dan mencukur bulu ari-ari dan mengandam misai, dan mengerat kuku, dan bersugi, dan mencabut bulu ketiak.

7) Sunat berpagi-pagi pergi ke masjid yang tempat sembahyang Jumaat itu pada hal ia berjalan dengan kelakuan yang tetap dan hadir hati kepada Allah taala serta masyghul dengan zikir dan membaca al-Quran dan salawat atas Nabi s.a.w.

8) Apabila masuk ke masjid maka hendaklah menuntut saf yang pertama.

9) Jangan ia melangkah akan bahu orang pada ketika ia masuk ke masjid itu.

10) Jangan ia lalu pada hadapan orang yang sedang solat.

11) Sunat ia duduk dkat dewal (dinding) atau dekat tiang. Maka jikalau tiada mudah yang demikian itu maka sunat ditaruhkan pada hadapannya itu sesuatu yang menegahkan akan orang yang lalu pada hadapannya.

12) Jangan duduk di dalam masjid hingga engkau solat tahiyyat masjid. Dan jangan engkau tinggalkan akan solat tahiyyah masjid itu dan jikalau pada ketika khatib membaca khutbah sekalipun, tetapi pada ketika itu jangan dilebih daripada 2 rakaat.

13) Bahawa sunat engkau sembahyangkan pada hari Jumaat itu 4 rakaat yang lain daripada solat tahiyyat masjid yang tersebut itu.

14) Bahawa jangan engkau tinggalkan akan membaca segala surah yang tersebut itu pada malam Jumaat atau pada harinya kerana pahala membaca segala surah yang tersebut itu amat besar.

- Surah al-Kahfi

- Surah Al-Ikhlas

- Surah Yaasin

- Surah ad-Dukhan

- Surah Sajdah

- Surah al-Mulk


15) Seyogianya (sebaiknya) engkau banyakkan membaca salawat dan salam atas Nabi s.a.w pada hari Jumaat dan malamnya, iaitu terlebih daripada hari yang lain kerana kelebihan membaca salawat atas Nabi s.a.w pada hari Jumaat itu amat banyak.

16) Apabila keluar imam dan naik ia atas mimbar maka tiada harus solat, lagi tiada sah solatnya melainkan solat tahiyatul masjid 2 rakaat atau 2 rakaat sunat Jumaat pada ketika ia masuk ke dalam masjid. Dan makruh pada ketika itu berkata-kata melainkan melainkan menjawab bang maka iaitu sunat.

17) Apabila selesai daripada solat Jumaat maka sunat ia membaca Fatihah 7x, dan al-ikhlas 7x, dan al-falaq 7x, dan an-nas 7x dahulu daripada berkata-kata. Maka yang demikian itu memeliharakan ia daripada segala kejahatan daripada satu Jumaat kepada Jumaat yang lainnya, dan lagi memeliharakan ia bagimu daripada syaitan.

18) Sunat kemudian daripada solat Jumaat itu duduk di masjid hingga Maghrib atau hingga Asar serta berniat iktikaf. Dan hendaklah engkau pada ketika yang demikian itu sungguh-sungguh berdoa kepada Allah taala serta khusyuk dan tawadhuk, kerana di dalam hari Jumaat dan pada malamnya itu ada satu saat yang mustajab doa yang tiada tertentu, maka mudah-mudahan kebetulan doamu itu pada saat yang mustajab itu.

(Perhatian) Sebaiknya membanyakkan berdoa pada hari Jumaat itu pada beberapa waktu iaitu pada:

- waktu terbit matahari

- waktu gelincir matahari

- waktu masuk matahari

- waktu iqamat

- waktu khatib naik ke mimbar

- ketika berdiri manusia kepada solat

kerana segala waktu yang demikian itu sangat diharap akan mustajab. (Waktu-waktu yang diharap mustajab doanya dengan pengalaman-pengalaman rohaniah ulama')


20) Hendaklah engkau bersungguh-sungguh memberi sedekah pada hari Jumaat itu dengan barang sekuasamu, dan jikalau sedikit sekalipun. Maka hendaklah engkau himpunkan pada hari itu antara solat dan puasa dan sedekah dan membaca al-Quran dan zikir dan membaca salawat atas Nabi s.a.w dan iktikaf. Dan hendaklah engkau jadikan hari Jumaat itu tertentu bagi akhiratmu. Maka mudah-mudahan jadi kaffarat bagi segala hari yang lain daripada hari Jumaat itu. Wallahu a'lam.


Sumber:

Kitab Hidayatus Salikin Fi Suluki Maslakil Muttaqin (Petunjuk Jalan Bagi Orang Yang Takut Kepada Allah) susunan Sheikh Abdus Samad Al-Falimbani, disunting dan disempurnakan oleh Sheikh Ahmad Fahmi bin Zamzam. (ms 118-132, edisi rumi). Kitab Hidayatus Salikin ini merupakan terjemahan kitab Bidayah Hidayah tulisan Imam Ghazali rahimallahu taala.

Khamis, 8 Mac 2012

Mudahnya Mengeluh, Sukarnya Bersyukur

Begitu mudah sekali melontarkan keluhan. Keluhan demi keluhan keluar dari bibir tanpa disedari.

Kita mengeluh atas perkara-perkara yang remeh. Kita mengeluh atas perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah. Kita mengeluh dan asyik mengeluh.

Andai dapat ditukar setiap bait keluhan itu kepada wang ringgit, pasti terbasmi kemiskinan di muka bumi. Namun hairan, kita mengeluh tatkala kita ditimbuni dengan pelbagai kesenangan.

Kita mengeluh kerana makanan kegemaran tidak disediakan, sedangkan perut semakin memboyot kekenyangan.


Kita mengeluh kerana kepanasan, sedangkan angin semula jadi disediakan tanpa bayaran.

Kita mengeluh atas sekelumit kekurangan, sedangkan kelebihan sebanyak buih dilautan dibiarkan.

Allah s.w.t berfirman “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat menentukan jumlahnya” (An-Nahl: 18).


Di saat kita tenggelam dalam keluhan diri sendiri, pancaindera kita tidak lagi mampu memainkan peranannya untuk melihat, mendengar, merasai dan menghayati pemberian Allah yang tiada henti-hentinya.

Lantaran itu, begitu sukar sekali untuk menyebutkan kalimat Alhamdulillah sebagai tanda kesyukuran seorang hamba kepada khaliqnya. Itulah hakikitnya.

Memang manusia sentiasa leka dan lupa. Manusia mempunyai keinginan yang tiada batasan. Manusia tidak pernah puas dengan apa yang dimiliki..Kecuali orang-orang yang bersyukur.

Pada zaman Sayyidina Umar al-Khattab, ada seorang pemuda yang sering berdoa di sisi Baitullah yang maksudnya: “Ya Allah! Masukkanlah aku dalam golongan yang sedikit”


Doa beliau didengar oleh Sayyidina Umar ketika beliau (Umar) sedang melakukan tawaf di Kaabah. Umar berasa hairan dengan permintaan pemuda tersebut.

Selepas selesai melakukan tawaf, Sayyidina Umar memanggil pemuda berkenaan lalu bertanya: “Kenapakah engkau berdoa sedemikian rupa (Ya Allah! masukkanlah aku dalam golongan yang sedikit), apakah tiada permintaan lain yang boleh engkau mohon kepada Allah?”

Pemuda berkenaan menjawab: “Ya Amirul Mukminin! Aku membaca doa berkenaan kerana aku (berasa) takut dengan penjelasan Allah seperti firman-Nya dalam surah al-A’raaf ayat 10 yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami (Allah) telah menempatkan kamu sekelian di muka bumi dan Kami adakan bagimu di muka bumi (sumber/jalan) penghidupan.

(Tetapi) amat sedikitlah kamu bersyukur” Aku memohon agar Allah memasukkan aku dalam golongan yang sedikit, iaitu (lantaran) terlalu sedikit orang yang tahu bersyukur kepada Allah” jelas pemuda berkenaan.

Mendengar jawapan itu, Umar al-Khattab menepuk kepalanya sambil berkata kepada dirinya sendiri: “Wahai Umar, alangkah jahilnya engkau, orang ramai lebih alim daripadamu”

Subhanallah. Semoga kita semua termasuk ke dalam golongan yang sedikit ini, Amin…

Jadi, sama-samalah kita membina tekad untuk membanteras keluhan dan meningkatkan kesyukuran kerana Dia telah berjanji “Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (Ibrahim: 7)

Source: iluvislam

Khamis, 1 Mac 2012

6 Perkara Yang Allah Sembunyikan

Setelah Allah SWT selesai menciptakan Jibrail as dengan bentuk yang cantik, dan Allah menciptakan pula baginya 600 sayap yang panjang, sayap itu antara timur dan barat (ada pendapat lain menyatakan 124, 000 sayap).

Setelah itu Jibrail as memandang dirinya sendiri dan berkata: “Wahai Tuhanku, adakah engkau menciptakan makhluk yang lebih baik daripada aku?.”

Lalu Allah swt berfirman yang bermaksud.. “Tidak” Kemudian Jibrail as berdiri serta solat dua rakaat kerana syukur kepada Allah swt. dan tiap-tiap rakaat itu lamanya 20,000 tahun.

Setelah selesai Jibrail as solat, maka Allah SWT berfirman yang bermaksud.


“Wahai Jibrail, kamu telah menyembah aku dengan ibadah yang bersungguh-sungguh, dan tidak ada seorang pun yang menyembah kepadaku seperti ibadat kamu, akan tetapi di akhir zaman nanti akan datang seorang nabi yang mulia yang paling aku cintai, namanya Muhammad.’

Dia mempunyai umat yang lemah dan sentiasa berdosa, sekiranya mereka itu mengerjakan solat dua rakaat yang hanya sebentar sahaja, dan mereka dalam keadaan lupa serta serba kurang, fikiran mereka melayang bermacam-macam dan dosa mereka pun besar juga.

Maka demi kemuliaann Ku dan ketinggianKu, sesungguhnya solat mereka itu aku lebih sukai dari solatmu itu.

Kerana mereka mengerjakan solat atas perintahKu, sedangkan kamu mengerjakan solat bukan atas perintahKu.”

Kemudian Jibrail as berkata: “Ya Tuhanku, apakah yang Engkau hadiahkan kepada mereka sebagai imbalan ibadat mereka?” Lalu Allah berfirman yang bermaksud.

“Ya Jibrail, akan Aku berikan syurga Ma’waa sebagai tempat tinggal…

” Kemudian Jibrail as meminta izin kepada Allah untuk melihat syurga Ma’waa.

Setelah Jibrail as mendapat izi n dari Allah SWT maka pergilah Jibrail as dengan mengembangkan sayapnya dan terbang, setiap dia mengembangkan dua sayapnya dia boleh menempuh jarak perjalanan 3000 tahun, terbanglah malaikat jibrail as selama 300 tahun sehingga ia merasa letih dan lemah dan akhirnya dia turun singgah berteduh di bawah bayangan sebuah pohon dan dia sujud kepada Allah SWT lalu ia berkata dalam sujud:

“Ya Tuhanku apakah sudah aku menempuh jarak perjalanan setengahnya, atau sepertiganya, atau seperempatnya? ”

Kemudian Allah swt berfirman yang bermaksud. “Wahai Jibrail, kalau kamu dapat terbang selama 3000 tahun dan meskipun aku memberikan kekuatan kepadamu seperti kekuatan yang engkau miliki, lalu kamu terbang seperti yang telah kamu lakukan, nescaya kamu tidak akan sampai kepada sepersepuluh dari beberapa perpuluhan yang telah kuberikan kepada umat Muhammad terhadap imbalan solat dua rakaat yang mereka kerjakan…. .

Marilah sama2 kita fikirkan dan berusaha lakukan. Sesungguhnya Allah S.W.T telah menyembunyikan enam perkara iaitu :

1. Allah S.W.T telah menyembunyikan redha-Nya dalam taat.
2. Allah S.W.T telah menyembunyikan murka-Nya di dalam maksiat.
3. Allah S.W.T telah menyembunyikan nama-Nya yang Maha Agung di dalam Al-Quran.
4 Allah S.W.T telah menyembunyikan Lailatul Qadar di dalam bulan Ramadhan.
5. Allah S.W.T telah menyembunyikan solat yang paling utama di dalam solat (yang lima waktu).
6. Allah S.W.T telah menyembunyikan (tarikh terjadinya) hari kiamat didalam semua hari.

Semoga kita mendapat berkat daripada ilmu ini.

Wallahualam.

12 Barisan Di Akhirat

Suatu ketika, Muaz b Jabal ra mengadap Rasulullah SAW dan bertanya;

“Wahai Rasulullah, tolong huraikan kepadaku mengenai firman Allah SWT:
“Pada sangkakala ditiup,maka kamu sekalian datang berbaris-baris” Surahan-Naba’:18

Mendengar pertanyaan itu, baginda menangis dan basah pakaian dengan air mata.Lalu menjawab:”Wahai Muaz, engkau telah bertanyakan kepada saya, perkara yang amat besar, bahawa umatku akan digiring, dikumpulkan berbaris-baris menjadi 12 barisan, masing-masing dengan pembawaan mereka sendiri….”

Maka dinyatakan apakah 12 barisan tersebut :-

BARISAN PERTAMA
Di iring dari kubur dengan tidak bertangan dan berkaki. Keadaan mereka ini dijelaskan melalui satu seruan dari sisi Allah Yang Maha Pengasih:

“Mereka itu adalah orang-orang yang sewaktu hidupnya menyakiti hati jirannya, maka demikianlah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka…”


BARISAN KEDUA
Diiring dari kubur berbentuk babi hutan. Datanglah suara dari sisi Allah Yang Maha Pengasih:

“Mereka itu adalah orang yang sewaktu hidupnya meringan-ringankan solat, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka…”


BARISAN KETIGA
Mereka berbentuk keldai, sedangkan perut mereka nuh dengan ular dan kala jengking.

“Mereka itu adalah orang yang enggan membayar zakat, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka…”


BARISAN KEEMPAT
Diiring dari kubur dengan keadaan darah seperti air pancutan keluar dari mulut mereka.

“Mereka itu adalah orang yang berdusta di dalam jualbeli, maka inilah balasannya dan tempat mereka adalah neraka…”


BARISAN KELIMA
Diiring dari kubur dengan bau busuk daripada bangkai. Ketika itu Allah SWT menurunkan angin sehingga bau busuk itu mengganggu ketenteraman di Padang Mahsyar.

“Mereka itu adalah orang yang menyembunyikan perlakuan derhaka takut diketahui oleh manusia tetapi tidak pula rasa takut kepada Allah SWT, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka…”


BARISAN KEENAM
Diiring dari kubur dengan keadaan kepala mereka terputus dari badan.

“Mereka adalah orang yang menjadi saksi palsu, maka inilahbalasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka…”


BARISAN KETUJUH
Diiring dari kubur tanpa mempunyai lidah tetapi dari mulut mereka mengalir keluar nanah dan darah.

“Mereka itu adalah orang yang enggan memberi kesaksian di atas kebenaran, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka…”


BARISAN KELAPAN
Diiring dari kubur dalam keadaan terbalik dengan kepala ke bawah dan kaki ke atas.

“Mereka adalah orang yang berbuat zina, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka…”


BARISAN KESEMBILAN
Diiring dari kubur dengan berwajah hitam gelap dan bermata biru sementara dalam diri mereka penuh dengan api gemuruh.

“Mereka itu adalah orang yang makan harta anak yatim dengan cara yang tidak sebenarnya, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka…”


BARISAN KESEPULUH
Diiring dari kubur mereka dalam keadaan tubuh mereka penuh dengan penyakit sopak dan kusta.

“Mereka adalah orang yang derhaka kepada orang tuanya, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka…”


BARISAN KESEBELAS
Diiring dari kubur mereka dengan berkeadaan buta mata-kepala, gigi mereka memanjang seperti tanduk lembu jantan, bibir mereka melebar sampai ke dada dan lidah mereka terjulur memanjang sampai ke perut mereka dan keluar beraneka kotoran.

“Mereka adalah orang yang minum arak, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka…”


BARISAN KEDUA BELAS
Mereka diiring dari kubur dengan wajah yang bersinar-sinar laksana bulan purnama. Mereka melalui titian sirat seperti kilat. Maka,datanglah suara dari sisi Allah Yang Maha Pengasih memaklumkan:

“Mereka adalah orang yang beramal salih dan banyak berbuat baik. Mereka menjauhi perbuatan derhaka, mereka memelihara solat lima waktu, ketika meninggal dunia keadaan mereka sudah bertaubat, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah syurga,mendapat keampunan, kasih sayang dan keredhaan Allah Yang Maha Pengasih…”

Jika engkau mahukan kemesraan dengan Allah, maka garanglah terhadap dirimu sendiri. Jika engkau merasakan manisnya berhubung dengan Allah, tahulah engkau betapa peritnya berpisah denganNya…..

Wallahua’alam

Bagaimana Menambah Nikmat Allah

Nikmat itu terbahagi tiga:

1. Nikmat yang dikecapi dan disedari oleh hamba

2. Nikmat mendatang yang diidamkan oleh hamba

3. Nikmat yang dikecapi oleh hamba tetapi tidak disedarinya

Apabila Allah ingin menyempurnakan nikmat-Nya ke atas hamba-Nya, Dia akan mengenalkan (kepada hamba tersebut) nikmat yang dikecapinya sekarang kepada hamba tersebut dan mengurniakan kepadanya sifat syukur.

Syukur itu akan mengikat nikmat tersebut agar tidak hilang. Sesungguhnya nikmat hilang dengan perlakuan maksiat dan diikat dengan ketaatan.

Kemudian Allah akan menunjukkannya jalan amal agar dia mendapat nikmat yang dinantikan.

Kemudian Allah akan menunjukkan kepadanya jalan mati (yang tidak bersambung kepada amal) dan menjauhkannya dari jalan itu. Allah akan menunjukkannya cara agar dia menjauhi jalan itu.

Apabila dia menyempurnakan semua itu, Allah akan memperkenalkannya terhadap nikmat yang dikecapinya sekarang tetapi tidak beliau menyedarinya.

Diceritakan bahawa seorang Badwi masuk menemui Harun ar-Rasyid lalu berkata:

“Wahai Amirul Mu’minin. Moga-moga Allah mengekalkan nikmatmu sekarang dengan kamu sentiasa mensyukurinya. Moga-moga Allah mengurniakan nikmat yang kamu harapkan dengan kamu bersangka baik terhadap-Nya dan sentiasa mentaati-Nya. Moga-moga Allah akan mengenalkanmu kepada nikmat yang kamu kecapi sekarang tetapi kamu tidak mengetahuinya agar kamu mensyukurinya.”