Khamis, 24 Mac 2011

Dahsyatnya Hari Kiamat Dan Padang Mahsyar

Gambaran Hari Qiamat

- Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail & beberapa malaikat yang lain. Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yang tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.

- Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya "Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?" Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya "Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa." Ini menunjukkan kebesaran & keagunganNya sebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati.

- Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.

- Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut "Ajbuz Zanbi" yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak pokok yang kembang membesar dari biji benih.

- Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi kelak.

- Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.

- Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.

- Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah SWT. Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan.

- Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik dihari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.

- Terdapat satu telaga kepunyaan Nabi Muhammad SAW bernama Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga.

- Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah:

ⅰ- Pemimpin yang adil.

ⅱ- Orang muda yang taat kepada perintah Allah.

ⅲ- Lelaki yang terikat hatinya dengan masjid.

ⅳ- Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.

ⅴ- Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata "Aku takut pada Allah".

ⅵ- Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).

ⅶ- Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah.


- Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara "pergilah berjumpa dengan para Nabi". Maka mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah SWT. Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah SAW. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.

- Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad SAW ke hadrat Allah SWT. Lalu diperkenankan doa baginda.

- Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 orang malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20 ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga 'Arasy itu tiba dibumi.

- 'Arasy ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 orang malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat.

- Kursi iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 orang malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari 'Arasy umpama cincin ditengah padang . Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana.

- Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib & 'Atid / Kiraman Katibin.

- Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing- masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.

- Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad SAW, dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah.

- Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin.

- Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.

- Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang.

- Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata- kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili oleh Allah Ta'ala dengan Maha Bijaksana.

- Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat.

- Syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat :

ⅰ- Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab.

ⅱ- Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.

ⅲ- Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.

(Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah SWT.)

- Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.

- Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.

- Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.

- Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam neraka.


Rujukan: Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al- Fathani. Pustaka Nasional Singapura 2004.

Kaabah Enggan Bergerak

Titian As-Sirat adalah jambatan yang merentangi neraka menuju ke syurga yang bersifat fleksibel. Ia boleh membesar, mengecil, memendek dan memanjang mengikut kumpulan yang akan melintasinya.

Jika orang beriman, pastilah ia akan melebar dan memendek. Manakala bagi orang kafir, ia akan mengecil dan memanjang.


Antara yang akan turut berarak menuju ke syurga ialah kaabah. Malaikat datang membawa perintah Allah kepada kaabah yang dihias indah pada hari itu supaya bergerak menuju ke syurga.

Yang menghairankan, biarpun kaabah tahu itu perintah Allah, namun ia enggan bergerak. Lalu malaikat bertanya kenapa enggan bergerak ke syurga.


Kaabah menjawab bahawa ia tidak akan bergerak ke syurga melainkan jika diiringi oleh semua manusia yang pernah tawaf di sekelilingnya.

Lalu malaikat mengumpulkan semua yang pernah tawaf untuk mengiringi kaabah ke syurga. Kaabah terus mendiamkan diri tak mahu bergerak.


Malaikat bertanya lagi kenapa tak mahu bergerak. Kaabah menjawab, ada lagi beberapa orang yang tidak hadir..

Apabila diperiksa, rupa-rupanya orang-orang berkenaan telah dilempar ke dalam neraka kerana kesalahan yang pernah mereka lakukan di dunia.

Malaikat maklumkan bahawa orang berkenaan adalah orang-orang yang berdosa dan perlu disiksa di dalam neraka.

Kaabah berkata, ia tidak peduli orang itu berdosa atau tidak. Yang penting ia tidak akan bergerak ke syurga melainkan diiringi oleh semua orang yang pernah tawaf di sekelilingnya.

Malaikat mengadu kepada Allah tentang hal yang berlaku....Allah yang Maha Pengampun dan Maha Mengasihani terus mengisytiharkan bahawa orang-orang itu telah diampunkan dosa mereka.


Mereka lantas dibawa keluar daripada neraka dan mengiringi kaabah menuju ke syurga....... bersyukur sekiranya dapat mengerjakan haji dan umrah.....

Satu motivasi bagi rakan-rakan yang mampu untuk ke Mekah..silakanlah menjadi tetamu Allah..pergilah ketika masih muda dan kuat agar setiap langkah dan setiap nafas kita gagah dan diberkati oleh Allah swt...

Kebahagiaan itu pasti datang, namun sejauhmanakah kita mengingati Allah swt dalam setiap urusan dunia kita?

Khamis, 10 Mac 2011

Rangsang Suami Lebih Romantik


Boleh dikatakan, semua isteri di dunia ini amat sukakan sikap suami yang penuh perhatian, memanjakan isteri, memahami keluh kesah mereka, mendampingi dengan penuh kelembutan, menjaga bahasa nada ayat teguran agar tidak melukai isteri, lebih banyak maafnya daripada marahnya, pandai memujuk dan menggembirakan hati isteri, dan segala sikap yang menunjukkan betapa dia sayangkan anda.

Tetapi, malangnya, tidak semua lelaki mampu menjadi yang terbaik sebegitu.

Semasa bercinta, lelaki biasanya bersikap demikian, namun setelah akad-nikah, biasanya sikap prihatin yang mereka tonjolkan akan lenyap begitu sahaja.


Agaknya, mungkin sudah menjadi sikap semulajadi mereka suka berpura-pura begitu, tetapi janganlah isteri menjeruk rasa membiarkan sahaja atau hanya tahu merungut tanpa berbuat apa-apa.

Jika mereka gagal menjadi suami yang terbaik untuk anda, andalah yang patut ada rangsangan positif dari sikap anda sendiri untuk menumbuhkan sisi romantik seorang suami.

Tips # 1 – Manjakan, jangan bebankan

Tugas dan tanggungjawab seorang suami terhadap isterinya sangat berat sebenarnya, jika boleh ditamsilkan, agak-agaknya beban amanah yang dipikulnya lebih besar dari Gunung Everest.


Tidak salah sekiranya anda bantu meringankan beban yang ditanggungnya dengan memanjakan dirinya, jangan pula anda menambahkan bebannya.

Oh ya! Bercakap tentang memanjakan suami, hendaknya ada batasannya juga. Tidak perlulah anda memanjakan suami sehingga anda sendiri yang menawarkan diri menggalas tanggungjawabnya hingga suami ‘lupa’ diri dan membebankan anda pula.

Jangan melawan fitrah hidup yang telah digariskan syarak. Kelak akan lebih banyak menimbulkan kemudaratan dalam kehidupan berumahtangga.

Manja yang hendak disampaikan di sini ialah dalam bab memikat perutnya.


Masakan kesukaan suami yang anda masak dengan rempah kasih sayang, dihidangkan dengan penuh keikhlasan dan dinikmati bersama teman separuh jiwanya yang setia di sisi, sungguh lebih bermakna daripada nasi bungkus tersedap sekalipun yang disantap sendirian tanpa isteri yang sentiasa sibuk dengan anak-anak, belog mahupun fesbuk.

Ataupun minum petang sambil bersembang dengan gurauan dan usikan isteri mewujudkan suasana mesra untuk meredakan tekanan dari tempat kerja.

Tetapi jika suami balik ke rumah sudah pun terhidang dengan keluhan memanjang dari mulut isteri, cerita-cerita yang tidak berapa sedap didengar telinga kanan dan kiri, ada yang lebih teruk lagi suami baru sampai di hadapan pintu, sudah pun terkena leteran.


Isteri tidak beri peluang langsung suami merehatkan badan apatah lagi fikiran dan perasaannya. Bagaimana hendak menghidupkan suasana romantik jika keadaan ini yang menjadi senario kehidupan kita setiap hari?

Tips # 2 – Temani, jangan sibuk sendiri

Walaupun mempunyai anak yang berderet yang boleh dibuat pasukan bola sepak, tidak semestinya mereka menjadi penghalang kemesraan anda dan suami.


Jika suami minta perhatian dan layanan, cubalah dahulukan dia daripada yang lain. Jangan sampai suami cemburu dengan anak-anaknya sendiri, kerana sikap anda yang lebih mementingkan anak.

Apatah lagi dengan teman-teman dan kerjaya anda, tentu suami mesti didahulukan sebelum yang lain. Malang sungguh jika anda sentiasa sibuk sehinggakan tidak sempat hendak menyentuh tangannya sekalipun.

Tentu dia akan berasa sunyi dan bosan, bersendirian tanpa teman hidup yang sudi mendakapnya di saat dia menginginkan ketenteraman hati.

Bolehkah anda menjadi teman yang baik untuk dibawa bersembang atau berkongsi minat yang sama?


Teman yang kelakar, gembira dan kurang stres?

Mengapa isteri-isteri semakin lama semakin hilang serinya?

Ya, kerana mereka terlalu tertekan dengan keadaan persekitaran dan bebanan tanggungjawab yang mereka pikul. Jika begitu, manalah ada hati hendak menyakat dan mengusik suami dengan manja?

Kalau berjumpa, wajah muram saja yang dipasangkan untuk suami, bak kata orang pasang ‘muka ketat’. Lama kelamaan, suami pun jadi tertekan sama, dengan ‘muka kelat’ pula.

Akhirnya hubungan menjadi tidak intim lagi dan mana mungkin harapkan suami romantik pada saat begini?

Tips # 3 – Berpisah sesekali

Untuk menumbuhkan rasa rindu kepada pasangan, eloklah sesekali ‘out station’. Isteri pula kena berperanan menggunakan kemudahan komunikasi untuk menghubungi suami sekerap yang mungkin.


Jangan tunggu suami menelefon dahulu, jika tidak dapat panggilan, jangan cepat-cepat sangat berkecil hati dan berasa curiga kepada kesetiaan suami.

Rangsanglah suami, bila dan di mana pun, agar sentiasa mengingati anda, jika tidak anda dahulu yang memulainya, siapa lagi?

Bukankah lelaki memang diciptakan dengan kekuatan akal dan kelemahan perasaan? Jadi, anda sebagai isteri yang memiliki kekuatan emosilah yang seharusnya bertindak terlebih dahulu.

Jangan tunggu hingga orang luar yang mendahului anda.

Tips # 4 – Menjadi kekasih, bukan ibu atau bos

Apabila sudah menjadi ibu yang dituntut mendisiplinkan anak-anak, kadang-kadang sikap anda yang garang dan ketat kepada anak-anak akan terbawa-bawa pula jika bersama suami. Padahal suami sukakan isteri yang boleh memanjakannya.

Begitu pula jika isteri adalah seorang ketua di pejabat yang bergaji besar dan berpangkat tinggi, sikapnya di pejabat tentu tidak boleh dibawa sampai ke rumah.


Takkanlah hendak jadi bos juga, mengarah suami semahu-mahunya. Ingatlah, semasa anda masih belum ada ikatan, suami jatuh cinta pada wanita yang berperanan sebagai kekasihnya, bukan ibu atau bosnya.

Siapa pun anda di luar rumah, di hadapan suami anda tetap sebagai isteri, kekasih dan belahan hatinya yang mesti sentiasa bersedia melimpahkan kasih sayang untuk mendapat balasan yang sama daripada suami.

Tips # 5 – Sering ‘melakonkan’ kisah teladan

Teladan yang terbaik yang boleh membangkitkan perasaan romantik ialah dengan ‘melakonkan’ sketsa rumahtangga Rasulullah SAW yang banyak dipetik dalam sirah baginda. Antaranya :

Rasulullah SAW selalu berpegangan tangan dengan isterinya semasa mereka berada di rumah.


Kadang kala baginda memotong kuku isterinya dan mandi junub bersama bagi mengeratkan ikatan kasih sayang. Rasulullah SAW sentiasa makan bersama isteri baginda.

Baginda mengambil makanan lalu menyuapkan ke mulut isterinya dan begitu juga sebaliknya.

Apabila baginda hendak meminum air, baginda akan minum dengan cawan yang sama digunakan oleh isterinya.

Aisyah r.a. pernah meriwayatkan, Suatu saat dalam keadaan haidh aku minum lalu memberikan gelasnya kepada Nabi, beliau minum dengan mulutnya pada bekas mulutku. D lain waktu dan dalam keadaan haidh pula aku menggigit daging yang bertulang, lalu aku berikan sisanya kepada Nabi, dan beliau menggigitnya di tempat bekas gigitanku.” (Hadis riwayat Muslim)

Kata Aisyah r.a. dalam riwayat yang lain pula, “Ketika aku haid, tubuhku berpeluh, aku berikan cawan kepada Nabi dan baginda meminum di tempat mana aku minum.” (Hadis riwayat Muslim)

Walaupun dalam sketsa di atas disebut Rasulullah SAW yang memulakan adegan romantik sebegini, tidak salah kiranya anda sebagai isteri yang memulakannya dahulu.


Tips # 6 – Mendoakan

Allah SWT yang menjaga hati suami ke mana akan berlabuh, apakah di pantai hati anda atau mungkin menyeleweng ke mana-mana arah angin bertiup.

Pastikanlah kekuatan doa menjadi pegangan hidup anda. Supaya Allah SWT menjaga hatinya dari kejahatan hawa nafsu dan gangguan syaitan.

Jika bukan Allah SWT, pada siapakah lagi yang layak anda harapkan untuk melindungi suami dari kejahatan dirinya sendiri?

Antara doa yang boleh diamalkan agar dikuniakan kesabaran dalam menemupuh alam rumahtangga ialah dengan mengamalkan QS 3:200 yang bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntung.”

Suami yang romantik dekat dengan Allah SWT, hatinya penuh rahmat dan kasih sayang yang ikhlas kepada isteri dan anak-anak.

Hanya Allah SWT saja yang mengizinkan suami anda memilih anda sebagai kekasih abadi baginya di dunia dan di negeri akhirat. Oleh itu, berusahalah dan berdoalah, jangan pernah menyerah kalah!



Selasa, 1 Mac 2011

Rama-rama vs Wanita


Melihat gelagat rama-rama membuatkan ramai orang menjadi suka, ceria dan terpesona.

Ramai yang akan tersenyum melihat kecantikan rama-rama. Ia mengindahkan alam dan menyempurnakan sekuntum bunga.

Pasti ada yang tidak kena jika ada bunga yang tidak dihinggapi rama-rama.

Ramai yang akan tertarik untuk menangkap rama-rama apabila melihat ia terbang berkeliaran di udara. Kecantikan rama-rama terletak pada warna dan corak sayapnya.

Akan tetapi kecantikannya tidak akan kekal jika banyak tangan yang menyentuhnya.

Warna dan corak rama-rama pasti akan melekat pada jari jemari apabila kita menangkapnya.

Selepas itu tiada sesiapa yang akan tertarik padanya lagi. Keindahan rama-rama telah hilang untuk dikagumi.

Rama-rama ibarat wanita. Wanita indah untuk disentuh, tetapi nilai dirinya akan merosot setiap kali ada tangan-tangan kotor mencemari tubuhnya.

Harga diri dan maruah mudah tercemar jika tidak dijaga dengan sempurna.

Begitulah wanita. Kecantikan wanita bagaikan rama-rama yang terbang membawa keindahan corak pada dirinya.

Ia akan membuatkan lelaki mudah tertarik pada wanita. Tetapi untuk menjaga harga diri seorang wanita, bukanlah dengan membiarkan kecantikannya disentuh, dipegang oleh semua yang tertarik padanya.

Biarlah kecantikan pada wanita itu diperolehi melalui jalan yang diredhai Allah.

Wanita harus menjaga harga kecantikan dan keindahan seorang wanita menurut ketentuan dan panduan yang Allah ajarkan di dalam al-Quran yang telah di sampaikan oleh RasulNya.

Hanya dengan menuruti perintah Allah, kemuliaan, harga diri, kecantikan, dan keindahan seorang wanita akan terjaga dan terpelihara.

Daripada Anas, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai." [Hadis Riwayat Ahmad]

Alangkah mudahnya jalan yang Allah hamparkan kepada seorang wanita untuk masuk Syurga Allah. Antaranya menjaga kehormatan diri setelah mendirikan solat dan berpuasa.

Apabila telah tiba jodoh pertemuannya, maka taatilah suami dan mereka dimuliakan Allah dengan memberi keistimewaan untuk masuk Syurga dari mana-mana pintu yang dikehendakinya.