Rabu, 24 Ogos 2011

Rahsia Tidur...

Seorang yang berusia 60 tahun akan menghabiskan masa lebih kurang 20 tahun untuk tidur.

Sekiranya dia tidur mengikut Sunnah Rasullullah saw, maka tidurnya akan jadi ibadat.

Allah swt hanya akan terima ibadat yang dilakukan dengan ikhlas.

Tidur adalah ibadat yang paling ikhlas. Seseorang tidak perlu dipaksa atau terpaksa untuk tidur.


Ganjaran Allah swt untuk orang yang amalkan Sunnah sangat besar.

Satu Sunnah yang diamalkan berterusan akan diberi ganjaran 100 pahala mati syahid, sedangkan satu pahala mati syahid sudah cukup untuk menjamin seseorang untuk masuk syurga.


Di dalam tidur sendiri ada banyak Sunnah.

Sebaliknya, jika seseorang tidur cara selain dari cara Nabi SAW,dia hanya akan dapat kerehatan.


Kalau bernasib baik, selama 20 tahun mungkin dia dapat mengumpul 20 kilo tahi mata dan menakung 20 liter atau lebih air liur basi.

Antara Sunnah-sunnah Nabi saw sebelum, ketika dan selepas tidur.

1. Sebelum dan selepas tidur baca doa tidur. Ramai orang memperlekehkan doa Masnun (doa harian) tapi hakikatnya harga yang Allah swt janjikan adalah syurga.

2. Jangan tidur menghadap kaki arah Qiblat. Ini adalah kedudukan tidur orang yang telah mati.

3. Barangsiapa yang membaca Tasbih Fatimah, sekiranya dia mati malam itu,dia akan dikira sebagai mati syahid. Apa itu Tasbih Fatimah?

Subhanallah 33 X, Alhamdulillah 33 X, Allahuakbar 33 X.

4. Baca 4 Qul tiup ke tapak tangan dan sapu keseluruh badan untuk menghindarkan sihir dan niat jahat manusia.

5. Niat untuk bangun Tahajjud. Sekiranya tidak terjaga, Allah swt akan mengira seolah-olah dia bertahajjud sepanjang malam. Tahajjud adalah sebaik-baik pelindung daripada sihir dan buatan orang.

6. Ambil wudhu sebelum tidur dan Solat Sunat Taubat 2 rakaat.

7. Maafkan semua kesalahan manusia pada kita dan halalkan semua hutang piutang sebelum tidur. Bangun tidur boleh buka fail semula kalau mahu.

8. Tidur cara Rasulullah saw dengan mengiring badan ke kanan dan tapak tangan di bawah pipi.

Banyak lagi Sunnah Nabi saw yang boleh diamal, semuanya mudah untuk dilakukan.

Lebih mudah daripada bersolek atau pakai night cream sebelum tidur.Lebih mudah daripada buat senaman ringan sebelum tidur.

Peringatan : Pesan Nabi saw, dilarang tidur meniarap terutama lelaki.Sekiranya tidur dengan kain pelikat, ikat hujung kain supaya tidak menimbulkan fitnah.

Tutup aurat ketika tidur. Kenapa ya? Lelaki yang tidur meniarap,dibawahnya Syaitan/ Jin Betina.Tidur bogel atau tidak menutup aurat akan menghindarkan Malaikat Rahmat dan mengundang makhluk lain.

Sekiranya bersetubuh tanpa membaca doa,Syaitan/Jin akan bersama-sama menjamah isteri kita. Kemungkinan besar benih yang masuk bercampur dengan benih-benih Syaitan/ Jin.

Jadi jangan marah kalau anak-anak ikut perangai "bapa-bapa angkat" mereka ketika kita bersetubuh dulu.


Wallahu'alam.


Ramadan

Sejarah Ramadan

1) Ramadhan: Ertinya panas terik

2) Bulan diturunkan Al Quran dan disebut (syahru ramadhana)

3) Berlakunya Perang Badar Kubra dan mendapat kemenangan.

4) Bulan dimana Nabi s.a.w mengambil semula Mekah dari tangan Musyrikin dan berakhirnya penyembahan berhala.

5) Di dalamnya dipilih ada Malam Al-Qadar yakni lebih baik daripada 1000 bulan.

6) Di pilih untuk ibadat puasa.

7) Di pilih untuk lain2 ibadat (tadarus Al Quran)


Kelebihan Bulan Ramadan

1) Kamu akan di naungi Ramadhan (bagi yang telah meninggal dunia terlepas dari siksa kubur).

2) Bulan penuh keberkatan.

3) Di malamnya ada lebih baik daripada 1000 bulan.

4) Amalan solat sunat menyamai dengan solat fardhu.

5) Manakala solat fardhu mendapat 70 kali ganda.

6) Bulan sabar dan pahalanya adalah syurga.

7) Bulan menambah rezeki.

8 ) Memberi berbuka banyak pahala.

9) Bulan keampunan :-
- Doa yang paling makbul iaitu doa sebelum berbuka puasa & juga doa ada sepertiga malam.
- 10 hari pertama adalah mulanya rahmat,
- 10 hari pertengahan - pengampunan,
- 10 hari terakhir - kemerdekaan api neraka.

Jangan Terlalu Susah Hati

Jangan terlalu susah hati dengan urusan dunia.
Akhirat itu lebih utama
dan hidup di sana lebih lama dan kekal selamanya

Jangan sengaja lewatkan solat.
Perbuatan ini Allah tidak suka.
Kalau tertidur lain cerita.

Jangan tidur selepas solat Subuh, nanti
rezeki mahal (kerana berpagi-pagi itu membuka pintu berkat).

Jangan makan tanpa membaca BISMILLAH dan doa makan.
Nanti rezeki kita dikongsi syaitan.

Jangan keluar rumah
tanpa niat untuk membuat kebaikan.
Takut-takut kita mati dalam
perjalanan.

Jangan biarkan mata liar di perjalanan.
Nanti hati kita gelap diselaputi dosa.

Jangan menangguh taubat bila berbuat
dosa kerana mati boleh datang
bila-bila masa.

Jangan ego untuk meminta maaf pada
ibu bapa dan sesama manusia
kalau memang kita bersalah..

Jangan mengumpat sesama rakan
taulan. Nanti rosak persahabatan kita
hilang bahagia.

Jangan lupa bergantung kepada ALLAH
dalam setiap kerja kita. Nanti kita sombong apabila berjaya.
Kalau gagal kecewa pula.

Jangan bakhil untuk bersedekah.
Sedekah itu memanjangkan umur
dan memurahkan rezeki kita.

Jangan banyak ketawa. Nanti mati jiwa.

Jangan biasakan berbohong, kerana ia adalah
ciri-ciri munafik dan
menghilangkan kasih orang kepada kita.

Jangan suka menganiaya manusia atau haiwan. Doa
makhluk yang teraniaya
cepat dimakbulkan ALLAH.

Jangan mempertikaikan kenapa ISLAM itu berkata JANGAN.
Sebab semuanya untuk keselamatan kita. ALLAH lebih tahu apa yang terbaik
untuk hamba ciptaanNya.



Selasa, 23 Ogos 2011

Hakikat Pernikahan

Ada banyak alasan manusia yang membuat dasar dari hakikat pernikahan, hakikat yang seperti apakah yang paling membahagiakan?

Cuba kita lihat dan manakah pilihan kita???

1. Jika hakikat pernikahan adalah kerana SEKS, maka pasangan rajin bertengkar jika servis di kamar tidur tidak memuaskan.

2. Jika hakikat pernikahan adalah kerana HARTA, maka pasangan bakal bubar jika bangkrup.

3. Jika hakikat pernikahan adalah kerana KECANTIKAN, pasangan bakal lari jika rambut mula beruban dan muka keripot atau badan jadi gendut.

4. Jika hakikat pernikahan adalah kerana ZURIAT, maka pasangan akan cari alasan untuk pergi jika pasangan tidak dapat memberi anak.

5. Jika hakikat pernikahan adalah kerana KEPERIBADIAN, pasangan akan lari jika orang berubah tingkah lakunya.

6. Jika hakikat pernikahan adalah kerana CINTA, hati manusia itu tidak tetap dan mudah terpikat pada hal-hal yang lebih baik, lagi pula manusia yang dicintai pasti MATI / PERGI.

7. Jika hakikat pernikahan adalah kerana IBADAH kepada ALLAH, sesungguhnya ALLAH itu KEKAL dan MAHA PEMBERI HIDUP kepada makhlukNYA. Dan ALLAH mencintai hambaNYA melebihi seorang ibu mencintai bayinya . Maka tak ada alasan apa pun di dunia yang dapat meretakkan rumah tangga kecuali jika pasangan menderhakai ALLAH.



Isnin, 22 Ogos 2011

4 Kategori Manusia Tak Layak Dilantik Jadi Pemimpin


Rasulullah tidak lantik sesiapa minta jawatan, sebalik serah kepada yang ada sifat tanggungjawab

Menyedari pentingnya pemimpin dan kepemimpinan, Allah sendiri menyatakan dalam al-Quran empat kategori manusia yang tidak boleh atau haram diangkat menjadi pemimpin, yang tidak termasuk dalam keempat-empat kategori itu dibolehkan.

Yang diharamkan ialah pertama, orang Yahudi dan Nasrani.


Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jangan kamu jadikan orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin sebab mereka hanya layak menjadi ketua di atas sebahagian daripada mereka.

Barang siapa antara kamu menjadikan mereka pemimpin, sesungguhnya ia jadi golongan mereka (Yahudi dan Nasrani). Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.” (Surah al-Maidah:51)

Keduanya, orang yang melebihi atau mengutamakan kekafiran daripada keimanan.


Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu mengambil bapa, saudara kamu menjadi pemimpin jika mereka memilih kafir daripada iman. Barang siapa mengangkatnya menjadi pemimpin daripada kalangan kamu, maka mereka itu adalah zalim.” (Surah at-Taubah:23)

Ketiga, orang yang di luar kalanganmu termasuk dalamnya orang munafik.


Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu ambil sahabat yang setia selain daripada golongan kamu, mereka tidak henti-hentinya berikhtiar mencelakakan kamu, mereka itu suka apa yang menyusahkan kamu.

Sesungguhnya kebencian telah terbit dari mulut mereka, tetapi apa yang tersembunyi dalam hati mereka adalah lebih besar lagi.

Kami telah terangkan kepadamu tanda-tanda jika kamu mahu berfikir. Ingatlah kamu ini mencintai mereka sedang mereka tidak mencintai kepadamu dan kamu percaya kepada seluruh kandungan al-Quran, sedang mereka itu apabila bertemu dengan kamu, mereka mengakui kami beriman, tetapi apabila berpisah, mereka gigit jari mereka lantaran marah bercampur benci kepadamu.

Katakanlah kepada mereka: matilah kamu bersama kemarahan kamu itu. Allah mengetahui apa yang ada di dalam dadamu/hatimu.” (Surah ali-Imran:118-119)

Keempat, orang yang mengingkari al-Quran dan hukumnya. Berhubung perkara ini Alah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu jadikan orang kafir itu menjadi pemimpin kamu, padahal mereka bukan daripada kalangan orang mukmin (yang benar), apakah kamu mencari satu alasan yang nyata bagi alasan bagi Allah untuk menyiksamu?” (Surah an-Nisa':144)

Rasulullah SAW pula mengingatkan supaya kalangan yang berkehendakkan sesuatu jawatan/menjadi pemimpin hendaklah jangan dilantik kerana ia akan mendatangkan banyak masalah pemimpin itu sendiri dan juga yang dipimpin.


Sebaliknya jawatan itu hendaklah diberikan kepada orang yang dipilih daripada kalangan yang tidak berkehendakkan sesuatu jawatan/menjadi pemimpin tetapi ada kebolehan.

Iman Bukhari diriwayatkan berkata bahawa Abu Zar menceritakan kepadanya bahawa beliau (Abu Zar) telah berkata kepada Rasulullah SAW:


“Wahai Rasulullah, tidakkah boleh Rasulullah melantikku ke sesuatu jawatan.”

Lalu Rasulullah menepuk bahu Abu Zar dan bersabda: “Wahai Abu Zar! Engkau lemah. Jawatan itu adalah suatu amanah, ia pada hari kiamat adalah suatu kehinaan dan penyesalan kecuali orang menerimanya kerana berhak dan menunaikan tugasnya dengan betul.”

Dalam Islam, jawatan bukanlah satu hak yang mesti diberi, apatah lagi jika diperoleh melalui apa jua cara bermaksud penjawatnya berkehendakkan jawatan itu seperti melalui sogokkan, bodek dan sebagainya.


Sebaliknya jawatan adalah satu tugas, tanggungjawab dan amanah.

Rasulullah tidak memberikan sesuatu jawatan/kepemimpinan kepada orang yang memohon atau orang yang berhasrat untuk mendapatkannya tetapi akan menyerahkan kepada mereka yang cukup layak menjawat sesuatu jawatan/memimpin tetapi tidak berhajatkan jawatan berkenaan.

Imam Al-Hakam meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang melantik menjalankan urusan umat Islam, maka ia melantik seorang tertentu sedangkan ia dapati ada yang lebih baik daripadanya, maka sesungguhnya ia mengkhianati Allah dan Rasul-Nya.”



Sebab-Sebab Seseorang Itu Mendapat Hidayah


Walau bagaimanapun untuk mendapat hidayah ada bermacam-macam sebab atau ada berbagai-bagai cara yang di antara satu sama lain tidak sama.

Di antara sebab seseorang itu mendapat hidayah adalah seperti berikut:

1) Dia lahir di dalam keluarga yang beragama, maka dia mendapat didikan secara langsung dan praktikal daripada suasana keluarga. Orang ini agak bernasib baik.

2) Dia yang lahir-lahir sahaja Allah telah bekalkan kesedaran dan petunjuk. Dari kecil lagi sudah suka kepada kebaikan dan kebenaran. Dia terus mencari dan mengamalkan. Orang sepeti ini amat sedikit. Ini adalah pemberian Allah secara wahbiah (secara anugerah).

3) Orang yang di dalam perjalanan hidupnya terjumpa golongan atau kelompok yang beragama Islam dan mengamalkan syariat. Manakala dilihat kehidupan mereka begitu baik dan bahagia lantas mengikut golongan itu.

4) Orang yang sentiasa mencari-cari kebenaran, mereka sentiasa membaca, mengkaji, memperbandingkan serta melihat-lihat berbagai golongan dari berbagai-bagai agama dan ideology serta bergaul dengan golongan-golongan itu, maka akhirnya mereka bertemu dengan kebenaran.

5) Orang yang mendapat pendidikan Islam, mendengar ceramah agama, ikut kursus agama, menghadiri majlis-majlis agama, maka dia mendapat petunjuk dari mengaji dan mendengar itu.

6) Orang yang diuji oleh Allah, mungkin selepas kaya jatuh miskin, atau mendapat sakit teruk, atau ditimpa bencana alam dan lain-lain lagi maka di situ dia sedar dan insaf. Lantaran itu dia mendekatkan dirinya kepada Allah SWT.

7) Orang yang mendapat kebenaran, kerana Allah mengizinkannya mengalami alam kerohanian seperti melihat di dalam mimpi Alam Barzakh, melihat orang kena azab atau dia sendiri yang kena azab atau melihat gambaran Qiamat atau Allah perlihatkan kepadanya pokok sujud, pokok bertasbih dan lain-lain kejadian yang ajaib. Selepas itu dia pun kembali kepada kebenaran.

8) Orang yang sedar setelah melihat ada golongan atau keluarga yang kehidupan dunianya begitu hebat, rumah besar, kaya raya, kenderaan mewah, harta banyak tetapi kehidupan keluarga itu sentiasa porak peranda, krisis sering berlaku, berkasih sayang dan ukhwah tidak ada, masing-masing membawa haluan sendiri maka dari peristiwa itu dia sedar dan dia insaf bahawa kemewahan hidup tidak menjamin kebhagiaan di dunia apatah lagi di Akhirat kelak.

9) Orang yang sentiasa mengalami kehidupan mewah, serba ada, apa yang hendak semua dapat, pangkat ada, duit banyak, namun kebahagiaan tidak dirasai, kehidupan keluarga porak peranda lantas dia insaf dan sedar dan akhirnya mencari jalan kebenaran.

10) Orang yang dapat petunjuk kerana ada orang yang soleh atau orang yang bertaqwa mendoakannya, lantas doa itu dikabulkan oleh Allah, maka Islamlah dia sepertimana Sayidina Umar Al Khattab dapat petunjuk kerana doa Rasulullah SAW.


Peranan Bapa Yang Tidak Pernah Selesai

Bapa wajib ditaati dan dihargai setiap hari. Dengan ini tidak wajar kita membuat majlis sambutan seperti orang bukan Islam menyambutnya.

Namun tidak salah anak menjamu makan bapanya di restoran terkemuka sebagai salah satu usaha menghargai peranan bapanya.

Sebagai ketua keluarga, maka seorang bapa wajib menyediakan bajet yang cukup untuk keluarga, memimpin dan melindungi anak dan isteri.


Itulah asas dalam merealisasikan perintah Allah dalam ayat di atas. Maknanya kalau salah satu daripada tiga perkara itu diabaikan, neraka sedia mengalu-alukan mereka sekeluarga.

1. Menyediakan bajet; sebagai bapa dia wajib berusaha sedaya mungkin untuk mendapatkan pendapatan halal. Untuk itu bapa boleh bekerja dengan orang lain atau menjadi pengusaha sendiri, yang penting sumber pendapatannya halal. Inilah yang selalu diistilahkan sebagai nafkah.

Perkara ini bukan senang untuk direalisasikan oleh golongan bapa. Kadang-kadang sebagai pekerja, dia tidak amanah.


Kalau dia berjawatan tinggi terlibat dengan penyelewengan dan rasuah. Kalau dia berusaha sendiri, terlibat dengan penipuan, riba dan sebagainya.

Kalau ini yang mampu dilakukan, bagaimana bajet yang sediakan itu boleh menyelamatkan dirinya dan keluarganya daripada api neraka?

Namun jika bapa boleh bersyukur, rezeki mereka akan datang mencurah-curah.


Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya) ‘bersyukurlah kepada Allah (akan Segala nikmat-Nya kepada-Mu)’, dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya akan dipulangkan kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi masalah kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.” (Surah Loqman : 12)

2. Memimpin; sebagai pemimpin bapa perlu kuat iman, kuat jiwa dan bijak merancang. Pemimpin yang kuat iman tidak akan bertolak ansur soal dosa.


Maka dengan itu bapa akan mendidik keluarganya agar mentaati agama. Mereka akan dibimbing supaya takut kepada Allah, gerun kepada neraka-Nya dan cintakan syurga-Nya.

Firman Allah menukilkan pesanan Loqman kepada anaknya yang bermaksud:
"Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.” (Surah Loqman :17)

Pemimpin yang kuat jiwa mampu berhadapan dengan pelbagai karenah isteri dan anak-anak. Masalah yang ditimbulkan oleh mereka dapat diatasi dengan baik.


Bapa ini tidak akan mudah mengalah lalu mudah menyerah kepada takdir. Dengan sikap ini isteri dan anak-anak akan hormat dan kagum dengan kepimpinannya.

Begitu juga dengan pandai merancang; sebagai pemimpin bapa sudah memikirkan masa depan mereka bahkan anak-anak mereka.


Bapa sentiasa memikirkan masa depan yang cerah di dunia ini dan syurga di akhirat nanti. Dengan ini dia merancang pendidikan yang berkesan kepada anak-anaknya.

Di sinilah kebanyakan bapa gagal merancang. Pendidikan yang diberikan kepada anak-anaknya tidak seimbang dengan kehendak Islam.


Akhirnya anaknya yang berjaya dalam pelajaran menjadi sombong kepada orang ramai dan Allah. Kalau ini yang terjadi, bolehkah selamat daripada api neraka.

3. Melindungi; bapa wajib melindungi anak daripada dikhianati atau dizalimi oleh orang lain. Oleh sebab itu pasti anak-anak berada dalam keadaan selamat apatah lagi mencetuskan keadaan yang tidak selesa terhadap orang lain.


Tentulah tidak wajar bapa membiarkan anak lelakinya bergaul bebas dengan wanita. Lebih-lebih lagi tidak wajar dia membiarkan anak perempuannya keluar bersendirian dengan lelaki.

Sikap bapa seperti ini bukan sahaja tidak melindungi anaknya tetapi mendedahkan mereka kepada bahaya. Inilah yang sering terjadi dalam masyarakat kita.


Maka atas dasar percaya, kononnya kerana ikatan tunang, anaknya dilepaskan bebas. Bapa dalam keadaan ini adalah dayus.


Tanggungjawab yang diremehkan

Selain tanggungjawab di atas, terdapat beberapa lagi tanggungjawab namun sering diremehkan. Padahal perkara yang kecil itu boleh memberi infak kepada kemajuan anaknya pada masa hadapan. Antara tanggungjawab itu ialah:

1. Memilih nama yang baik untuk anak
Bapa seharusnya memilih nama yang baik kepada anak. Pilihan itu merupakan cermin keperibadian dan kefahaman orang tua, kerana nama yang diberikan menggambarkan harapan hati dan harapan orang yang memberikannya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya antara hak anak ke atas bapa ialah mengelokkan namanya dan mengelokkan adabnya.” (Riwayat al-Bazzar)

Nama yang baik ini penting kerana nama itulah nanti akan dipanggil di padang mahsyar nanti. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksudnya: “Sesungguhnya kamu dipanggil pada Hari Kiamat dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu, dari itu elokkanlah nama-nama kamu.”(Riwayat Abu Daud dan Ahmad)

2. Membuat Aqiqah
Untuk mensyukuri kelahiran anak, agama menganjurkan bapa mengadakan acara kesyukuran dengan menyembelihkan kambing.

Untuk anak lelaki, dua ekor dan seekor untuk anak perempuan. Acara tersebut sebaiknya dijalankan ketika anak berumur 7 hari.

Aqiqah amat penting, malah menurut keterangan ulama hukumnya adalah “Sunat Muakkad”.

Hukum ini masih pada tanggungjawab bapa selagi anak itu belum baligh. Tetapi setelah baligh masih lagi belum melakukannya, tanggungjawab itu dikembalikan kepada anak itu sendiri.

Walaupun bapa itu tidak berdosa, namun dia dianggap cuai melaksanakan tanggungjawab itu.

3. Mengkhatankan anak
Berkhatan atau bersunat harus dilakukan untuk membersihkan anak-anak kerana kemaluan merupakan tempat berkumpulnya najis. Jadi, bahagian itu harus dibersihkan.

Hukum berkhatan bagi anak lelaki menurut Imam Shafi’i, Imam Malik dan Al-Auzai dan lain-lain adalah wajib.

Berkhatan untuk anak perempuan dihukumkan sunat. Jadi, peluang bapa menunaikan tanggungjawab itu harus tidak diabaikan. Semoga anak-anak kita sentiasa berada dalam keadaan bersih.

Jika tanggungjawab dan peranan ini dapat dilakukan sebaiknya, bukan sahaja rumah tangga kita berada dalam keadaan selamat dan bahagia, malah anak-anak kita akan menjadi anak soleh.

Mereka akan taat dan sayang kepada bapa apatah lagi sewaktu mereka sudah tua.


Panduan untuk menjadi isteri solehah

Dari Aisyah ra yang menceritakan; Aku bertanya Rasulullah; "Siapakah yang paling besar haknya ke atas seorang perempuan?". Jawab Nabi; "Suaminya".

Aku bertanya lagi; "Siapakah yang paling besar haknya ke atas seorang lelaki?". Jawab Nabi; "Ibunya". (HR al-Hakim)

Pada suatu hari seorang wanita bernama Zainab yang bergelar Khatibatin-nisa' telah menemui Rasulullah SAW lalu berkata:


"Aku telah diutus oleh kaum wanita kepada engkau. Jihad yang diwajibkan oleh Allah ke atas kaum lelaki itu, jika mereka luka parah, mereka mendapat pahala. Dan jika mereka gugur pula, mereka hidup disisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki. Manakala kami kaum wanita, sering membantu mereka. Maka apakah pula balasan kami untuk semua itu?"

Bersabda Rasulullah SAW: "Sampaikanlah kepada sesiapa yang engkau temui daripada kaum wanita, bahawasanya TAAT KEPADA SUAMI SERTA MENGAKUI HAKNYA adalah menyamai pahala orang yang berjihad pada jalan Allah, TETAPI SANGAT SEDIKIT DARIPADA GOLONGAN KAMU YANG DAPAT MELAKUKANNYA." (Riwayat Al-Bazzar dan Ath-Thabrani)

Rasulullah SAW bersabda: "Apabila seorang wanita redha atas kehamilannya dari suaminya yang sah, sesungguhnya ia telah mendapat ganjaran pahala seperti ibadah puasa dan mengerjakan ibadah-ibadah lainnya dijalan Allah; dan jika ia merasa berat, letih atau lesu, tidaklah dapat dibayangkan oleh penghuni langit dan bumi, betapa kesenangannya disediakan oleh Allah di hari akhirat nanti.

Apabila anaknya lahir, maka dari setiap teguk air susu yang dihisap oleh anak, si ibu mendapat kebajikan pahala. Apabila si ibu berjaga malam (kurang tidur kerana anak) maka si ibu mendapat ganjaran pahala seperti memerdekakan 70 orang hamba sahaya kerana Allah." (HR Ibn Hibban)

Seorang perempuan datang bertanya kepada Rasulullah SAW serta menerangkan katanya: " Sesungguhnya sepupuku meminangku, maka sebelum aku berumah tangga, ajarkanlah kepadaku, apakah hak suami terhadap isterinya?

Rasulullah SAW menjawab: " Sesungguhnya hak suami terhadap isterinya sangatlah besar, sehingga apabila mengalir darah hidung atau nanah suaminya, lalu dijilat isterinya, masih belum terbayar hak suaminya itu. Dan jika sekiranya manusia dibolehkan sujud kepada manusia, nescaya aku perintahkan si isteri untuk sujud kepada suaminya."(HR. Al-Hakim)

Rasul Allah bersabda, "Jika seorang suami memanggil isterinya datang ke katilnya (iaitu untuk hubungan kelamin) dan dia menolak, dan menyebabkan suaminya tidur dalam kemarahan, malaikat-malaikat akan mengutuknya hingga waktu pagi. (HR Bukhari)

Nabi saw. bersabda, "Jika seorang suami itu memanggil isterinya kerana berhajat kepadanya, maka pergilah kepadanya walaupun ketika itu dia sedang membakar roti." (Diriwayatkan oleh Ahmad, al-Nasa-ie dan al-Tirmizi)

Nabi saw. bersabda, "Seorang isteri itu belum menunaikan hak Allah selagi dia tidak menunaikan hak suaminya, jika suami berhajat kepadanya sedangkan dia berada di belakang tunggangan, maka janganlah dia menolak." (Diriwayatkan oleh al-Thabarani)

"... perempuan yang solehah mestilah taat dan memelihara kehormatan dirinya ketika ketiadaan suaminya dengan perlindungan Allah…" (Surah an-Nisaa', ayat 34)

Rasulullah bersabda,, "Dan sebaik-baik wanita ialah mereka yang boleh mengembirakan engkau apabila kamu melihatnya, dan yang mentaati kamu apabila kamu menyuruhnya, dan dia memelihara maruah dirinya dan harta engkau ketika ketiadaanmu". (HR Nasa'i, Baihaqi, Ahmad dan al-Hakim )

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : "Aku melihat ke dalam Syurga maka aku melihat kebanyakan penghuninya adalah fuqara' (orang-orang fakir) dan aku melihat ke dalam Neraka maka aku menyaksikan kebanyakan penghuninya adalah wanita." (Hadis Riwayat Al- Bukhari dan Muslim)

Sabda Rasulullah s.a.w : "Allah tidak akan melihat kepada wanita yang tidak mensyukuri apa yang ada pada suaminya dan tidak merasa cukup dengannya." (HR Nasa'i)

Sabda Rasulullah s.a.w : "Wanita yang meminta cerai pada suaminya tanpa sebab (yang syar'ie) maka haram baginya mencium wangi Syurga." (Hadis Riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi )

Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w menjelaskan tentang wanita penghuni Neraka, baginda bersabda : " … dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya mereka telanjang, melenggak-lenggokkan kepala mereka kerana sombong dan berpaling dari ketaatan kepada Allah dan suaminya, kepala mereka seakan-akan seperti bunggul unta. Mereka tidak masuk Syurga dan tidak mendapatkan wanginya Syurga padahal wanginya boleh didapati dari jarak perjalanan sekian dan sekian." (Hadis Riwayat Muslim dan Ahmad)

Di dalam kisah solat gerhana matahari, Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya melakukan solat gerhana padanya dengan solat yang panjang , Rasulullah s.a.w melihat Syurga dan Neraka.

Ketika beginda melihat Neraka beginda bersabda kepada para sahabatnya: " … dan aku melihat Neraka maka tidak pernah aku melihat pemandangan seperti ini sama sekali, aku melihat kebanyakan penghuninya adalah kaum wanita.

Para sahabat pun bertanya : "Mengapa (demikian) wahai Rasulullah?" Baginda s.a.w menjawab : "Kerana kekufuran mereka."

Kemudian ditanya lagi : "Apakah mereka kufur kepada Allah?" Baginda menjawab : "Mereka kufur terhadap suami-suami mereka, kufur terhadap kebaikan-kebaikannya. Kalaulah engkau berbuat baik kepada salah seorang di antara mereka selama waktu yang panjang kemudian dia melihat sesuatu pada dirimu (yang tidak dia sukai) nescaya dia akan berkata : `Aku tidak pernah melihat sedikitpun kebaikan pada dirimu.' " (Hadis Riwayat Imam Al-Bukhari)

Ketika beginda selesai berkhutbah hari raya yang berisikan perintah untuk bertakwa kepada Allah s.w.t. dan anjuran untuk mentaatiNya.

Baginda pun bangkit mendatangi kaum wanita, baginda menasihati mereka dan mengingatkan mereka tentang akhirat kemudian baginda bersabda : "Bersedekahlah kamu semua. Kerana kebanyakan kamu adalah kayu api Neraka Jahanam!"

Maka berdirilah seorang wanita yang duduk di antara wanita-wanita lainnya yang berubah kehitaman kedua pipinya, dia pun bertanya : "Mengapa demikian, wahai Rasulullah?" Baginda menjawab : "Kerana kamu banyak mengeluh dan kamu tidak taat terhadap suami." (Hadis Riwayat Al- Bukhari)

Rasulullah bersabda, "Apabila seorang isteri menjaga solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan, menjaga kehormatannya dan taat kepada suaminya, maka ketika berada di akhirat dikatakan kepadanya: Masuklah kamu ke dalam syurga dari pintu mana saja yang kamu suka". (HR Ahmad)

Nabi bersabda , "Mana-mana perempuan yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha padanya, maka dia akan masuk syurga". (HR At-Tirmidzi)

Pesta Ibadat di Masjidil Haram

ANTARA nikmat yang paling besar bagi umat Islam adalah peluang atau kesempatan berada pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

Ia juga digelar Syahrul Quran kerana di dalamnya diturunkan al-Quran pada 17 Ramadan.

Tiada lafaz yang lebih bermakna selain alhamdulillah sebagai tanda bersyukur yang amat sangat ke hadrat ilahi yang memanjangkan usia kita sehingga dapat sekali lagi bertemu bulan Ramadan.

Antara perkara sunat yang semakin popular dalam kalangan masyarakat Malaysia pada Ramadan adalah mengerjakan umrah.

Manakan tidak, ganjaran pahala yang begitu besar menjadi tarikan kepada mereka yang berkemampuan.

Ia sebagai mana sabda Nabi Muhammad SAW yang maksudnya: Apabila datang bulan Ramadan, kerjakanlah umrah kerana sesungguhnya umrah pada bulan Ramadan adalah menyamai haji. (riwayat Bukhari)

Justeru, tidak hairan saban tahun bilangan umat Islam di Malaysia yang menunaikan umrah pada bulan puasa semakin bertambah, biar pun kos perbelanjaan umrah dalam Ramadan lebih tinggi berbanding bulan-bulan lain.

Di Masjidil Haram, kedatangan Ramadan disambut begitu meriah. Bagaikan pesta ibadat di mana setiap ruang dan inci masjid sentiasa dipenuhi mereka yang beribadat dan bermunajat kepada Allah SWT.

Masyarakat Arab begitu menunggu-nunggu ketibaan Ramadan. Ini dibuktikan apabila Masjidil Haram padat dan sendat pada setiap kali solat fardu.

Ini satu fenomena positif bagi umat Islam Malaysia yang berada di Mekah pada Ramadan. Sebabnya, kita juga terpengaruh dengan budaya masyarakat Arab yang datang awal ke masjid dan kemudian beriktikaf sementara menunggu masuknya waktu solat.

Umumnya, untuk mendapat tempat yang selesa dalam ruang masjid, seseorang perlu bergerak ke sana sekurang-kurangnya sejam sebelum waktu solat fardu.

Untuk solat Jumaat pula, kita perlu berada di Masjidil Haram sekurang-kurangnya dua jam sebelum waktu solat pada pukul 12.30 tengah hari. Namun, tiada yang merungut.

Bagi yang datang lewat, mereka reda 'dibakar' matahari sementara menunggu waktu solat. Sebabnya terpaksa berada di tingkat paling atas yang berbumbungkan langit atau berada di dataran putih.

Jika ingin melihat orang 'bertengkar' mendapatkan ruang dalam saf, inilah masanya. Semuanya kerana mereka menyedari ganjaran besar yang menanti bagi mereka yang solat di Masjidil Haram iaitu 100,000 berbanding di masjid lain.

Sebab itu, mereka yang terlewat akan cuba menyelit di ruang-ruang yang sempit. Asalkan 'celus' kepala untuk sujud sudah memadai. Di sini, teruji kesabaran para jemaah.

Sama ada mahu memberi laluan atau ruang kepada saudara yang lewat datang atau berkeras 'mempertahankan ruang' yang ada.

Dalam keadaan sulit begitu, berkat doa, selalunya ada sahaja individu yang menawarkan tempat untuk solat.

Demikianlah antara keajaiban dan kuasa Allah yang sentiasa mendengar rintihan hamba-Nya.

Tugas paling sukar adalah di kalangan anggota polis yang berada di sekeliling Masjidil Haram. Mereka perlu memastikan tiada laluan masuk ke masjid yang terhalang oleh para jemaah.

Namun, hal itu keadaan itu hanya boleh bertahan sebelum iqamat. Sejurus iqamat, hampir semua ruang dalam masjid dipenuhi jemaah daripada pelbagai pelosok dunia.

Selesai solat fardu, biasanya disusuli solat jenazah. Ini antara peluang menambah saham akhirat kerana sudahlah pahalanya 100,000, ia ditunaikan dalam bulan Ramadan.

Dalam hadis disebut bahawa pahala ibadat sunat diberi ganjaran ibadat fardu manakala ibadat fardu pula digandakan 70 kali. Demikian hebatnya bonus yang dijanjikan Allah kepada kita pada Ramadan.

Disebabkan ganjaran itu juga, ramai kalangan jemaah yang beriktikaf hampir setiap hari di masjid. Selepas solat fardu, mereka solat sunat diikuti dengan membaca al-Quran.

Selepas itu, mereka tidur sebentar. Bangun tidur, terus sambung membaca al-Quran dan solat sunat yang lain. Demikianlah rutin bagi 'para penghuni' Masjidil Haram sepanjang Ramadan.

Barangkali budaya tidur sekejap ini yang perlu dipraktikkan di negara kita. Hendaknya jangan pula pihak Ahli Jawatankuasa Masjid marah-marah atau 'mengusir' orang yang mahu tidur dan iktikaf.

Cuma individu yang mahu tidur itu pula perlu menjaga adab-adab dalam rumah Allah. Bak kata orang, janganlah pula sampai meleleh air liur basi di sejadah atau karpet masjid.

Sementara sebahagian besar umat Islam bertarawih, tidak kurang juga mereka yang bertawaf di Baitullah mengerjakan umrah.

Yang jelas, Kaabah tidak pernah sunyi daripada laungan talbiah labbaikallah humma labbaik....

Demikianlah hebatnya pesta ibadat di Masjidil Haram. Keadaannya persis tiada yang terlibat dalam perkara lagha seperti menonton program-program hiburan di televisyen.

7 Sunnah Penting

Dalam kehidupan sehari-hari ada kala kita mungkin telah melampaui batas.

Imaginasi kotor, percakapan dan perbuatan yang tidak betul menjadikan kita selalunya semakin jauh dengan Allah.

Tetapi itulah kita manusia, tak lari dari kesilapan..dan mujurlah Allah selalu membuka pintu taubat kepada kita, agar dapat kita meneruskan perjalanan menuju akhirat dengan lebih berkat.

Hendaknya kita selalu menjaga tujuh sunnah Nabi setiap hari. Ketujuh sunnah Nabi SAW itu adalah:

Pertama:
Tahajjud, kerana kemuliaan seorang mukmin terletak pada tahajjudnya. Pastinya doa mudah termakbul dan menjadikan kita semakin hampir dengan Allah.

Kedua:
Membaca Al-Qur'an sebelum terbit matahari, alangkah baiknya sebelum mata melihat dunia, sebaiknya mata membaca Al-Qur'an terlebih dahulu dengan penuh pemahaman. Paling tidak jika sesibuk manapun kita, bacalah ayat 3Qul, atau ayat qursi.

Ketiga:
Jangan tinggalkan masjid terutama di waktu subuh. Sebelum melangkah kemana pun langkahkan kaki ke mesjid, kerana masjid merupakan pusat keberkahan, bukan kerana panggilan muadzin tetapi panggilan Allah yang mencari orang beriman untuk memakmurkan masjid Allah.

Keempat:
Jaga sholat dhuha, kerana kunci rezeki terletak pada solat dhuha. Yakinlah, kesan solat dhuha sangat dasyat dalam mendatangkan rezeki.

Kelima:
Jaga sedekah setiap hari. Allah menyukai orang yang suka bersedekah, dan malaikat Allah selalu mendoakan kepada orang yang bersedekah setiap hari. Percayalah, sedekah yang diberikan akan dibalas oleh Allah berlipat kali ganda.

Keenam:
Jaga wudhu terus menerus kerana Allah menyayangi hamba yang berwudhu. Kata khalifah Ali bin Abu Thalib, "Orang yang selalu berwudhu senantiasa ia akan merasa selalu solat walau ia sedang tidak solat, dan dijaga oleh malaikat dengan dua doa, ampuni dosa dan sayangi dia ya Allah".

Ketujuh:

Amalkan istighfar setiap saat. Dengan istighfar masalah yang terjadi kerana dosa kita akan dijauhkan oleh Allah.


Zikir adalah bukti syukur kita kepada Allah.


Bila kita kurang bersyukur, maka kita kurang berzikir pula, oleh kerana itu setiap waktu harus selalu ada penghayatan dalam melaksanakan ibadah ritual dan ibadah ajaran Islam lainnya.

Zikir juga merupakan makanan rohani yang paling bergizi, dan dengan zikir berbagai kejahatan dapat ditangkal sehingga jauhlah umat manusia dari sifat-sifat yang berpangkal pada materialisme dan hedonisme.

Wallahualam....

Nuzul Quran Merubah Sikap Muslim

Muslim dan al-Quran

Sesungguhnya dengan turunnya al-Quran pada bulan Ramadan sejak lebih 1,400 tahun lalu, telah menyelamatkan manusia daripada melakukan tabiat serta tingkah laku yang tidak selari dengan fitrah mereka sendiri.

Ia menjadi inspirasi ke arah kebaikan kerana di dalamnya penuh dengan ayat-ayat yang mampu merubah sikap manusia kepada sesuatu yang positif dalam hidup mereka.

Sayidina Omar bin al-Khattab yang dulunya dikenali sebagai seorang yang bengis dan amat membenci Rasulullah s.a.w. telah menemui jalan terbaik dalam hidupnya apabila dipertemukan dengan al-Quran yang akhirnya memeluk Islam.

Yang menariknya, Omar telah memeluk Islam hanya kerana membaca dan menatap beberapa potong ayat Quran daripada surah Taha dan setelah mengucap dua kalimah syahadah.


Omar menjadi seorang Muslim yang amat komited dan yakin dengan Islam. Omar, setelah mengucap, terus mengisytiharkan keislamannya kepada seteru tradisi Rasulullah termasuk Abu Jahal.

Begitulah jauhnya perbezaan Omar dengan umat Islam pada akhir zaman ini. Tetapi yang peliknya, Omar dan umat akhir zaman juga mengharapkan untuk mendapat syurga dan rahmat pada hari pembalasan, sedangkan cara hidup dan keyakinan mereka amat berbeza.

Apa yang dimaksudkan dengan Nuzul al-Quran?

Nuzul yang diambil daripada perkataan bahasa Arab diertikan sebagai penurunan, sementara al-Quran pula merupakan kitab Allah yang diberikan kepada Nabi akhir zaman iaitu Nabi Muhammad s.a.w.

Jadi istilah Nuzul al-Quran boleh diertikan sebagai penurunan al-Quran ke atas baginda Rasulullah sebagai petunjuk kepada umat manusia sejagat.

Waktu turunnya al-Quran?

Allah menjelaskan dalam surah al-Qadr, bahawa al-Quran diturunkan pada malam yang dikenali sebagai “Lailatul Qadr”, pokok daripada ajaran isi kandungan surah ini ialah al-Quran mula diturunkan pada malam tersebut yang nilainya lebih baik daripada 1,000 bulan, para Malaikat dan Jibril turun ke dunia pada malam tersebut untuk mengatur segala urusan.

Surah al-Qadr ini pula diturunkan di kota Makkah dan dihimpunkan dalam surah-surah Makkiyyah, iaitu surah yang diturunkan sebelum hijrah baginda Rasulullah s.a.w ke Madinah, isi pengajarannya ialah beriman kepada Allah dan rukun-rukun iman yang lain.

Kenapa al-Quran diturunkan dan apakah fungsinya yang sebenar?

Dalil daripada al-Quran:

1- Ayat 15-16 surah al-Maidah : “Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya (Nabi Muhammad) dari Allah dan kitab yang menerangkan (al-Quran). Dengan kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keredaan-Nya ke jalan keselamatan, (dan dengan kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang-orang itu dari kegelapan kepada cahaya yang terang benderang dengan izin-Nya dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus.”

2- Dalam ayat 9 surah al-Hadid : “Dialah (Allah) yang menurunkan kepada hamba-Nya (Muhammad) ayat-ayat yang terang (al-Quran) supaya Dia mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya (Islam).”

Jelas dari keterangan kedua-dua ayat di atas menunjukkan bahawa fungsi sebenar penurunan al-Quran ke atas manusia, tidak lain adalah untuk menyelamatkan mereka dari terus berada dalam kegelapan dunia yang terpaksa meraba-raba serta tanpa hala tuju hidup yang jelas dan sempurna kepada cahaya Islam, tidak cukup dengan itu, Allah SWT melalui kitabNya itu bertujuan untuk memimpin mereka ke jalan yang benar dengan memberikan kepada mereka petunjuk kebenaran agar mereka ditempatkan ke dalam syurga di akhirat kelak.

Dalil daripada hadis Nabi Muhammad s.a.w.: “Dari Ali Karramallahu Wajhahu, katanya: Sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah Salallahu Alayhi Wasallam bersabda: "Sesungguhnya akan berlaku fitnah yan banyak." Aku pun bertanya: "Apakah jalan keluar darinya duhai Rasulullah?" Baginda menjawab: Kitabullah (al-Quran). Kerana di dalamnya terdapat kisah-kisah orang dan perkara sebelum kamu dan perkhabaran tentang apa yang akan datang sesudah kamu; dan terdapat di dalamnya hukum-hakam di antara kamu; Ia (al-Quran) adalah kata putus dan bukan senda gurau; sesiapa yang meninggalkannya (menolaknya) kerana sombong, ia akan dibinasakan oleh Allah; dan sesiapa sahaja yang mencari petunjuk selain darinya akan disesatkan oleh Allah; Ia adalah tali Allah yang teguh dan ia adalah pengajaran (peringatan) yang bijaksana. Ia adalah as-Siratul Mustaqim (jalan yang lurus); Ia adalah kitab yang dengan sebab berpegang teguh kepada ajarannya, hawa nafsu seseorang tidak akan menyeleweng dan terpesong; dan Ia adalah kitab yang kalimah-kalimahnya tidak samar dan berputar-belit; dan para ulama pula tidak pernah puas menggali ilmu darinya (demikian juga) keindahan, kemanisan dan kelazatan membacanya tidak akan pernah hilang dan kandungannya menakjubkan, tidak berkesudahan. Ia adalah kitab yang jin tidak berhenti mendengarnya sehingga mereka berkata, "Sesungguhnya kami mendengar bacaan al-Quran yang menakjubkan, ia menunjuk ke jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya." Sesiapa sahaja berkata dengannya, benarlah perkataannya; sesiapa yang beramal dengannya, dia akan diganjari pahala, sesiapa yang berhukum dengannya, adillah dia dan sesiapa yang menyeru kepadanya, nescaya dia akan diberi petunjuk Siratil Mustaqim (jalan yang lurus) - HR Tirmizi dan Darimi.

Keterangan maksud hadis mengenai fungsi al-Quran

Memang benar dan tepat sekali penjelasan baginda s.a.w. seperti dalam hadis di atas, bahawa pada akhir zaman akan berlaku terlalu banyak fitnah yang ditimpakan ke atas Islam dan Muslimin.

Sama ada fitnah itu dilakukan oleh mereka yang bukan Islam yang menaruh sifat benci amat mendalam serta dendam kesumat terhadap Islam dan umatnya, ataupun dilakukan sendiri oleh mereka yang bernama Islam.

Antara fitnah yang dilakukan oleh orang Islam sendiri seperti meninggalkan solat tanpa alasan atau sebab yang boleh diterima kerana menonton pertandingan bola sepak, pertandingan akhir mencari juara bintang popular dan sebagainya, tidak kurang juga golongan remaja muda dan tua yang tidak mengenakan kod berpakaian yang disyariatkan oleh Allah SWT, terlibat dalam pembunuhan, perjudian, rasuah, pecah amanah, penipuan dalam pilihan raya dan banyak lagi.

Kesemua yang disebutkan itu adalah fitnah yang menyukarkan golongan pendakwah untuk menyampaikan mesej Islam kepada bukan Islam tentang keindahan agama Islam kerana tindakan-tindakan liar itu menjadi batu penghalang kepada bukan Islam untuk menerima Islam, ataupun minat, cenderung atau simpati kepadanya.

Justeru, yang boleh menyelamatkan keadaan dan dari fitnah-fitnah tersebut adalah kitab suci al-Quran, kerana tujuan ia diturunkan seperti yang dijelaskan dalam ayat-ayat di atas adalah untuk meneylamatkan bangsa manusia serta mempimpin mereka ke jalan kebenaran.

Cara bagaimana al-Quran diturunkan

Menurut Imam as-Suyuti dalam kitabnya al-Itqan: Al-Quran diturunkan ke langit dunia pada malam al-Qadr secara sekali gus, kemudian diturunkan pula secara berperingkat selama dua puluh tahun, ada pendapat yang mengatakan dua puluh tiga tahun dan ada pula dua puluh lima tahun sejak Nabi Muhammad dilantik menjadi Nabi dan Rasul berdasarkan peristiwa dan keadaan tertentu yang hanya diketahui oleh Allah SWT pada tempoh tersebut.

Tetapi kenapa al-Quran diturunkan sekali gus ke langit dunia dan diturunkan tidak sekali gus malah berperingkat-peringkat ke atas baginda, perkara ini telah dijawab oleh Allah menerusi ayat 32 surah al-Furqan yang bermaksud: “Berkatalah orang-orang Kafir : Mengapa al-Quran itu tidak diturunkan kepada (Muhammad) sekali turun sahaja? Demikianlah (dengan cara itu) supaya Kami perkuatkan hatinya dan Kami membacanya kelompok demi kelompok (secara ansur-ansuran).”

Surah pertama turun dalam al-Quran

Menurut Imam as-Suyuti, surah pertama turun secara keseluruhan isi kandungannya ialah surah al-Muddathir, sementara riwayat Imam at-Tabarani pula surah yang sempurna diturunkan ialah al-Fatihah dan ada pendapat yang mengatakan ialah surah al-Alaq yang diturunkan hanya lima ayat pertama. Walau bagaimanapun mengikut susunan para ulama: Surah al-Alaq yang pertama diturunkan secara mutlak mengikut pendapat jumhur. Surah al-Muddathir pertama diturunkan dalam konteks menyampaikan mesej dakwah. Surah al-Fatihah pula pertama diturunkan sebagai pembuka kepada surah-surah lain dalam al-Quran.

Ayat terakhir turun dalam al-Quran

Perkara ini juga diperselisihkan oleh beberapa pendapat ulama berdasarkan riwayat hadis tertentu:

Pendapat pertama: Ayat terakhir turun ialah ayat mengenai pengharaman riba daripada ayat 278 surah al-Baqarah: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu benar-benar orang-orang yang beriman.” ia diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Ibnu Abbas.

Pendapat kedua: Ayat 281 surah al-Baqarah: “Dan peliharalah diri kamu dari (azab yang terjadi) pada hari yang pada waktu itu kamu semua dikembalikan kepada Allah.” Ia berdasarkan riwayat an-Nasaie daripada Ibnu Abbas dan Said Bin Jubair.

Pendapat ketiga: Ayat 282 surah al-Baqarah yang menceritakan tentang kesaksian dalam muamalat, iaitu ayat yang terpanjang dalam al-Quran. Ia berdasarkan riwayat Said Bin al-Musaiyab.

Pendapat keempat: Ayat 3 surah al-Maidah: “Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu, dan telah Aku cukupkan kepada kamu nikmat-Ku dan Aku reda Islam itu menjadi agama bagi kamu.”

Perbezaan pendapat di atas berlaku adalah disebabkan riwayatnya tidak sampai kepada Nabi Muhammad s.a.w, ia hanya terjenti setakat di kalangan para sahabat, maka masing-masing menyatakan keyakinan yang dipercayai yang tidak menjejaskan pegangan akidah mereka, walau bagaimanapun menurut para ulama, kecenderungan mereka kepada pendapat keempat berdasarkan apa yang dibacakan oleh baginda sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir untuk bertemu Tuhannya.


Sikap Muslim terhadap al-Quran

Tidak semua di kalangan manusia yang bernama Islam memiliki cita-rasa yang sama terhadap al-Quran, perkara ini ditegaskan sendiri oleh Allah SWT menerusi ayat 32 surah Fatiir yang bermaksud: “Kemudian kitab itu Kami wariskan kepada orang-orang yanag kami pilih di antara hamba-hamba Kami, lalu di antara mereka ada yang menganiayai diri mereka sendiri, ada di antara mereka yang bersederhana dan di antara mereka ada yang berlumba-lumba untuk berbuat kebaikan dengan izin Allah.


Yang demikian itu adalah kurniaan yang amat besar.” Sesungguhnya di kalangan hamba Allah yang diwariskan Allah al-Quran kepada mereka adalah yang bernama Islam (Muslimun), sedangkan Kristian, Sekular, Kapitalis, Sosialis, Komunis dan sebagainya adalah hamba Allah yang menolak kebenaran al-Quran secara mutlak.

Namun dalam ayat di atas terdapat tiga jenis manusia di kalangan hamba Allah yang Islam yang berbeza pendirian atau sikap mereka terhadap al-Quran:

1- Yang menganiayai diri mereka sendiri : Iaitu golongan yang kesalahan dosa mereka lebih banyak daripada pahala kebaikan, kerana mereka tidak membaca al-Quran, mentelaah, berdiskusi apatah lagi untuk beramalan dengan perintah Allah di dalamnya.

2- Adapun golongan yang bersederhana : Ialah golongan di mana kesalahan dosa mereka sama banyak dengan pahala, mereka adalah golongan yang membaca al-Quran tetapi belum bersedia untuk melaksanakan isi-isi kandungannya yang terdiri daripada hukum-hakam Allah.

3- Sementara golongan yang berlumba-lumba untuk berbuat kebaikan : Ialah golongan yang amat banyak kebaikan yang dilakukannya dan amat jarang berbuat kesalahan, mereka adalah golongan yang bersedia untuk melaksanakan hukum perintah Allah dalam al-Quran seperti hukum Hudud, Qisas dan Ta’zir, kerana hukum-hukum itu sahaja yang mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh umat manusia sepanjang masa.

Terserahlah kepada kita untuk meletakkan kedudukan diri di antara tiga jenis orang Islam seperti ayat di atas, apa yang jelas, al-Quran bukanlah kitab untuk dipertandingkan semata-mata, malah lebih daripada itu bagi mencapai maksud untuk mendapatkan cahaya keredaan Allah SWT.

Contoh ayat motivasi dalam al-Quran yang sepatutnya dikuasai

1- Sesungguhnya yang membaca al-Quran serta menyelidiki hikmah di dalamnya adalah mereka yang bernama Islam, kerana orang bernama Ah Chong atau Arumugam tidak sekali-kali membacanya melainkan mereka hendak mendekati Islam, tetapi yang menjadi tanda tanya di sini, mengapa Allah lontarkan persoalan kepada seorang Muslim yang membaca al-Quran seperti pertanyaan-Nya dalam ayat 101 surah Ali ‘Imran yang bermaksud : “Bagaimana kamu sampai menjadi kafir, pada hal ayat-ayat (al-Quran) dibacakan kepada kamu dan Rasul-Nya pun berada di tengah-tengah kamu?”

Ayat di atas menunjukkan kepada kita bagaimana terdapat di kalangan orang Islam menjadi kafir sedangkan al-Quran dan Rasulullah berada di sisinya, iaitu apabila menganjurkan Musabaqah Tilawah al-Quran, mengadakan majlis Maulidur Rasul, Maal Hijrah, Israk Mikraj dan sebagainya, namun akhirnya tidak dapat menerima petunjuk Allah malah menjadi golongan yang menentang (kafir) kebenaran.

2- Menerusi ayat 10 surah Fatir bermaksud: “Sesiapa yang mahukan kemuliaan, maka bagi Allah-lah kemuliaan itu semuanya, kepada-Nyalah naik perkataan-perkataan yang baik dan amal solih dinaikkannya.”

Ayat di atas menggambarkan kepada bagaimana Allah SWT memberikan kemuliaan kepada kita sebagai manusia akan kemuliaan-Nya agar kita menjadi golongan yang mulia, ia menunjukkan bahawa dengan cara memberi atau mendengar perkataan dalam majlis ilmu, kuliah, ceramah atau forum agama seseorang itu akan dimuliakan Allah SWT.

Inilah satu pendekatan yang mampu untuk mengisi kekosongan jiwa manusia pada hari ini, namun manusia tetap angkuh disebabkan tidak berusaha untuk mendapatkan kemuliaan daripada Allah, mereka memilih jalan yang boleh menjerumuskan mereka ke dalam neraka-Nya.

Tadarus al-Quran pada bulan Ramadan

Perkataan tadarus telah dijelaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w. dalam satu hadis (hadis yang ke-36 dalam hadis 40 susunan Imam an-Nawawi), daripada Abu Hurairah r.a., dari Nabi s.a.w. bersabda :


“Tidak berhimpun satu kaum dalam rumah Allah, mereka membaca al-Quran dan bertadarus (berdiskusi isi kandungannya) di kalangan mereka, melainkan perhimpunan mereka itu diturunkan ketenangan daripada Allah, diliputi dengan rahmat-Nya, dikelilingi dengan para Malaikat dan Allah akan mengingati mereka yang ingat kepada-Nya.”

Menurut hadis di atas, baca disebut tilawah, sedangkan tadarus ialah berdiskusi segala isi kandungan al-Quran, sama ada dari sudut hukum-hakam ilmu tajwid, persoalan ilmu sains meliputi persoalan kejadian manusia, tumbuh-tumbuhan, ilmu alam, ilmu kaji hayat, cakrawala dan berbagai-bagai macam lagi yang perlu diterokai, ayat-ayat syurga dan neraka, ayat-ayat mengenai tentang dosa dan pahala, ayat-ayat motivasi (tazkirah) dan sebagainya yang tidak dapat dihitung dengan sepuluh jari, ia bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Apa yang penting, Ramadan tahun ini menjadikan kita umat yang suka bertadarus (berdiskusi, mengkaji) isi-isi kandungan al-Quran termasuklah memperelok sebutan huruf-huruf al-Quran dengan memperdalami hukum-hukum ilmu tajwid, supaya Ramadan kali ini benar-benar meninggalkan seribu kenangan berbanding tahun-tahun sebelum ini, sekali gus merubah keadaan diri kita kepada suka membaca, mengkaji serta beramal dengan al-Quran, mudah-mudahan dengan cara itu kita menjadi graduan Ramadan cemerlang pada kali ini, Amin.



Pesan Untuk Lelaki Bergelar Suami

Wahai suami bergelar ayah
Lindungi zuriatmu dengan kasih sayang
Marah berpada dengan kenakalannya
Jangan hamburkan kata-kata nista
Kerana kata-katamu adalah doa
yang tiada hijabnya.

Wahai suami penyambung zuriat
Berilah perhatian kepada kaum kerabat
Eratkan silaturrahim
Bantu yang memerlukan
Ziarah yang mendapat kemalangan.

Wahai suami pemegang amanah
Hormatilah isterimu
Jangan pandang seperti lalat
Berilah perhatian, sentuhan dan kasih sayang
Jika ada salah silapnya
Jangan sakiti hatinya
Fikir cara terbaik membentuknya.

Wahai suami pelindung kasih
Cintailah isterimu sepenuh hati
Dialah ibu kepada anak-anakmu
Penjaga harta dan rumah tangga
Teman paling akrab
Tempat berkongsi suka duka.

Wahai suami tonggak keluarga
Bersoleklah untuk isteri
Sucikan diri dan hati
Merdukan suara
Dengan madah dan seloka
Ulangi yang isterimu suka
Jangan remehkan keinginannya

Jangan butakan hatimu
Pada kecantikannya
Pada pengorbanannya
Setialah pada kalimat
"Kau adalah Isteriku".


Kata-kata Syaidina Ali Karramallahu Wajhah

1) Tiada solat yang sempurna tanpa jiwa yang khusyuk.

2) Tiada puasa yang sempurna tanpa mencegah diri daripada perbuatan yang sia-sia.

3) Tiada kebaikan bagi pembaca al-Qur'an tanpa mengambil pengajaran daripadanya.

4) Tiada kebaikan bagi orang yang berilmu tanpa memiliki sifat warak (memelihara diri dan hati- hati dari dosa).

5) Tiada kebaikan mengambil teman tanpa saling sayang-menyayangi.

6) Nikmat yang paling baik ialah nikmat yang kekal dimiliki.

7) Doa yang paling sempurna ialah doa yang dilandasi keikhlasan.

8) Barangsiapa yang banyak bicara, maka banyak pula salahnya, siapa yang hilangkan harga dirinya, bererti dia tidak warak. Dan orang yang tidak warak itu bererti hatinya mati.


Semoga kita jadi manusia yang TERPILIH.

Pernahkah kita terfikir setiap amalan baik yang kita lakukan adalah kerana kita dipilih oleh Allah SWT?

Adakah kita merasa dengan kesihatan tubuh badan yang Allah SWT kurniakan dapat membolehkan kita dipilih oleh Allah SWT melaksanakan segala amal yang disukaiNya?

Janganlah sesekali kita berkata, sebab saya sihat maka saya dapat beribadat pada Allah.


Ataupun berkata, sebab kenderaan yang saya ada dapat memudahkan saya untuk beribadat kepada Allah SWT.

Ataupun apa jua sebab yang lain. Perkara tersebut sedikit pun tidak memberi kesan jika kita tidak dipilih oleh Allah SWT untuk melaksanakan amal-amal yang baik.

Kerana untuk melaksanakan sesuatu amal yang baik pun adalah dengan izin dan hidayat dari Allah SWT.

Kita sebagai manusia langsung tiada daya dan upaya walaupun untuk menggerakkan kelopak mata jika Allah tak izin.

Berapa ramai manusia yang mempunyai kesihatan yang lebih baik dari kita hari ini tetapi tidak dipilih oleh Allah SWT untuk membuat amal kebaikan.


Dan berapa ramai manusia yang mempunyai kenderaan yang lebih hebat dari kita tetapi tidak dipilih oleh Allah SWT untuk melaksanakan seluruh perintahNya.

Sebab itu semua ini pilihan Allah SWT.


Untuk ucap satu Subhanallah pun adalah pilihan Allah SWT. Jika Allah tak pilih kita, bukan saja zikir, untuk melaksanakan amalan fardhu pun kita takkan terdaya.

Jadi, perlulah kita menjadikan diri kita sentiasa dipilih oleh Allah SWT untuk melaksanakan setiap amal kebaikan.

Contohnya solat. Solat yang terbaik adalah diawal waktu dengan cara berjemaah. Hari ini kita kena istighfar kerana gagal untuk solat diawal waktu dan tidak berjemaah.

Kerana apa? Bukan kerana kerja kita. Tetapi kerana kita tidak dipilih oleh Allah SWT. Apabila tidak dipilih maka, ada sahaja halangannya.

Bagi mereka yang dipilih oleh Allah SWT, walaupun dibebani dengan urusan dunia yang banyak, tidaklah sedikitpun menjadi halangan.


Malah, Allah SWT melorong dan memudahkan dirinya untuk berada tepat pada waktunya didalam saf solat berjemaah.

Sahabat terlalu faham akan perkara ini akan menzahirkan kesedihan mereka dengan berkabung apabila hanya tertinggal takbiratul u'la (takbir bersama imam dalam solat berjemaah).

Jadi, untuk memudahkan kita sentiasa dipilih oleh Allah SWT, lakukanlah perkara yang menjadi kesukaan Allah SWT iaitu memperbanyakkan amalan2 sunat.


Mencintai dan mengamalkan sunnah Rasulullah SAW akan lebih mendekatkan kita dengan Allah SWT.

Apabila kita sentiasa dekat dengan Allah SWT, tidak mustahil kitalah orang yang sentiasa dipilih oleh Allah SWT untuk melaksanakan setiap perintahNya mengikut cara yang telah diajar oleh Rasulullah SAW.

Dan seperkara yang penting juga, adalah kita sentiasa memohon doa kepada Allah SWT semoga kita jadi manusia yang terpilih.

Nafsu

Suatu hari, seorang pemuda diserahkan oleh bapanya kepada seorang guru sufi untuk dididik cara mengawal nafsunya.

"Siapkan bekalan. Mari ikut saya bermusafir," kata guru sufi itu sebaik sahaja pemuda itu tiba di madrasahnya.


Pemuda itu agak terkejut kerana dia masih keletihan akibat perjalanan yang jauh ke madrasah guru sufi itu.


"Apa yang perlu saya bawa?"

"Bawa pakaian sehelai dua," jawab guru sufi.

Mereka pun memulakan perjalanan yang agak jauh. Setelah agak lama,mereka menemui satu bukit yang agak tinggi.
"Kita akan mendaki bukit ini."

"Mana jalannya?"

"Kita susuri jalan di tepi lereng bukit," kata guru sufi.

"Nanti, nanti... Saya sangat keletihan. Alangkah baik jika ada keldai. Kita boleh menunggangnya."

"Kamu hendak menunggang keldai? Baiklah, mari kita membelinya dahulu.

"Dalam hatinya berasa lega, dia tidak akan terpaksa berjalan lagi. Dia sangat-sangat keletihan.

Setelah guru sufi membeli dua ekor keldai, dia pun berkata, "Sekarang ada dua ekor keldai. Saya akan menunggang salah seekor daripadanya..."

"Dan saya akan menunggang seekor lagi," pintas pemuda itu.

"Tidak!" kata guru sufi itu.

"Mengapa?""Jangan bertanya, patuh saja!"

Pemuda itu terkejut, tapi tidak berani melawan.

"Habis, kita akan biarkan seekor keldai ini berjalan tanpa membawa apa-apa beban?"

"Tidak, sebaliknya kamulah yang akan memikulnya!"

"Memikul keldai menaiki bukit yang tinggi itu?"

"Ya. Pikul keldai itu dan naik ke atas bukit," jawab guru sufi itu pendek dan tajam.

Maka dengan susah payah, dia memikul keldai itu sambil menyusuri jalan di tepi lereng bukit itu. Termengah-mengah.

Dia benar-benar keletihan. Sebaliknya guru sufi bersantai-santai menaiki keldainya berjalan dihadapan pemuda itu. Belum sampai separuh perjalanan, pemuda itu pun jatuh keletihan. Dia hampir pengsan.

Setelah merawat si pemuda dan memberinya minuman, guru sufi itu pun berkata, "Anakku,keldai itu
umpama nafsumu. Allah ciptakan nafsu untuk kau menungganginya bukan kau ditunggangi olehnya."

"Maksud tuan?"

"Dengan menurut nafsumu, kau akan disusahkannya. Jiwa, hati dan badanmu akan kelelahan. Kehendak
nafsu tidak ada batas dan tidak pernah puas. Lepas satu-satu kehendak dan kerenahnya. Ini samalah
dengan kau memikul keldai dan menaiki bukit yang tinggi. Pemuda itu terdiam.

"Sebaliknya, jika kau menunggangi nafsu dengan mengawal dan menguruskannya, kau akan mendapat
kemudahan dalam menjalani kehidupan. Nafsu berguna selagi dia menjadi hamba tetapi apabila dijadikan
tuan, apalagi tuhan, maka hidup kita akan dihancurinya."

"Seperti saya yang memikul keldai tadi?"

"Ya."

Dan lihat pula betapa mudahnya menyusuri jalan di lereng bukit itu dengan menaiki keldai. Begitulah nafsu apabila dikawal dan digunakan ke arah kebaikan."

"Ya,ya.. Orang yang mengikut perintah hawa nafsunya bagaikan memikul keldai menaiki bukit!"

PENGAJARAN : Nafsu adalah sebahagian daripada diri kita yang jika tidak dikawal akan menyusahkan kita.
Oleh sebab itu, kawallah nafsu bukan kita dikawalnya.

13 Alasan Tipikal Wanita Yang Enggan Menutup Aurat

As-Salam. Pernah nasihat dan tegur kawan-kawan anda yang tidak menutup aurat?

Jom kita tengok apakah alasan yang selalu digunakan wanita yang enggan menutup aurat apabila ditegur kesalahan mereka itu.

Dan apa jawapan yang mungkin sesuai untuk mereka.

1. Semua yang tutup aurat, kompom masuk syurga ke?
-Yang pasti, tak tutup aurat, kompom masuk neraka.

2. Tudung labuh pun macam baik sangat. Buat dosa jugak. Mengumpat orang.
-Bila Iblis tak mahu ikut perintah Allah untuk bersujud kepada Adam, dia menyalahkan perintah Allah itu. "Apahal pulak aku kena sujud, aku lebih baik dan mulia". Samalah dengan tudung. Tudung pula yang disalahkan, " pakai tudung tak mestinya baik..bla...bla...bla..."

3. Macamlah kau bagus sangat nak tegur aku. Kau dulu lagi jahat.
-Tidak tersabit larangan dari Nabi untuk seseorang yang bahkan baru masuk Islam untuk pergi berdakwah kepada kaumnya. Maksudnya, dakwah itu tuntutan. Selagi kau Islam, dakwah tu wajib walaupun kau sendiri tak berapa betul. Sekurang-kurang dia insaf dan bertaubat sekarang.

4. Walau kami pakai seksi tapi hati kami baik.
-Adakah kau mendakwa diri kau mempunyai hati yang suci, iman yang tinggi dan kononnya ia sudah cukup menjamin maruah diri kau tanpa perlu menutup aurat?

5. Pakai jarang ke ketat ke, itu hak kami. Kalau tak suka jangan tengok.
-Adakah kau berani menjamin bahawa semua lelaki ajnabi mempunyai hati suci dan iman yang tinggi untuk menahan godaan syaitan serta nafsu yang membuak-buak?

6. Kami rasa apa yang kami pakai tak seksi. Terpulang kepada individu yang memandang kami.
-Seksi atau tidak, kau tetap berdosa walaupun hanya menayang sehelai rambut kau.

7. Walau kami tak bertudung, kami tetap sembahyang dan puasa.
-Apakah ibadat kau diterima? Kau yakin cuma dengan berpuasa sudah cukup untuk menjamin kau masuk syurga?

8. Sukahati kamilah nak pakai macam ni. Kami tak susahkan hidup orang lain.
-Kau sebenarnya dah susahkan bapa, abang, adik, suami serta orang lain dengan menarik mereka ke neraka bersama kau disebabkan mereka tidak menegur dan gagal mendidik kau.

9. Apa yang kami pakai, ini antara kami dengan Tuhan.
-Berani cakap di dunia, berani ke kau cakap macam tu depan Allah nanti? Lawan perintah Allah, Neraka tempatnya.

10. Kami pakai seksi macam ni, sebab ikut arahan photographer/pengarah filem untuk disesuaikan dalam scene. (ayat artis)
-Sanggup patuh arahan mereka daripada patuh suruhan Allah?

11. Bukan kami tak mahu menutup aurat, cuma masih belum sampai seru.
-Mati tidak mengenal usia. Tak takut ke mati dalam usia muda? Tak sempat nak bertaubat nanti.

12. Takkan nak buat perubahan secara drastik? Slow-slow la..
-Boleh ke cakap kat Malaikat Izrail nanti, tunggu kejap! Lepak la dulu. Jangan ambil lagi nyawa aku.

13. Tutup aurat tu bagus tapi kami tidak mahu hipokrit kerana tidak ikhlas melakukannya.
-Kalau begitu kau sebenarnya memang hipokrit kerana tidak ikhlas beragama Islam.


Wallahualam...

Cintakah Anda Padanya?

Seorang pencinta akan taat pada kekasihnya. Seorang gadis yang mencintai arjunanya akan sanggup berbuat apa-apa sahaja demi arjunanya yang tercinta.

Begitu juga seorang ibu yang mencintai anak-anaknya pasti akan sanggup berkorban apa sahaja bahkan nyawanya sendiri demi kebahagiaan anak-anaknya.

Apakah yang dimaksudkan dengan cinta? Cinta adalah pautan jiwa seseorang terhadap sesuatu yang dipandang dan dapat membahagiakan jiwa seseorang serta akan membina satu pautan yang kukuh.

Jika pautan itu sangat kuat, maka ia dinamakan rindu, rindu inilah yang menjadikan seseorang ibarat hamba kepada kekasihnya.

Sudah adakah tanda-tanda cinta itu dalam dirimu? Jika ada, pada siapa ya cinta dan rindumu itu?

Pada kekasih yang jauh dimatakah? Ataupun pada arjuna yang setia menanti di hadapan mata? Mungkin juga pada keluarga yang tercinta?

Namun bagaimana pula tahap kasih anda kepada kekasih Allah yang agung, yakni Rasulullah S.A.W?

Baginda sangat mencintai kalian sebagai umat baginda sehinggakan di saat kewafatan baginda, baginda telah menyebut perkataan Ummati sebanyak 3 kali.

Lalu adakah anda sebagai umat baginda telah melaksanakan perkara-perkara yang sewajarnya anda lakukan untuk membalas lambaian cinta baginda?

Muhasabahlah diri anda wahai rakan-rakan seperjuangan. Adakah anda benar-benar mencintai Nabi Muhammad S.A.W seperti mana yang sering anda ucapkan melalui lisan?

Atau adakah ianya sekadar menanam tebu di tepi bibir semata-mata?

Pernahkah anda melakukan 5 perkara seperti yang di bawah? Kerana 5 perkara inilah merupakan tanda-tanda anda mencintai baginda Rasulullah S..A.W:

1. Apabila disebutkan nama Rasulullah S.A.W dihadapanmu, anda terasa suka dan gembira serta merasakan ketenangan dan dengan segera melafazkan selawat keatas Rasulullah S.A.W.

2. Mendalami sejarah hidup baginda Rasulullah S.A.W serta cuba menghayati akhlaknya yang mulia, mengikut segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya.

3. Anda sering merasa rindu untuk berjumpa Rasulullah S.A.W dan mengharapkan dapat bersamanya di dalam Syurga.

4. Sentiasa berselawat ke atas Baginda SAW dan menjadikannya sebutan dibibir anda dan hati anda.

5. Mengingati peristiwa-peristiwa penting yang berkaitan dengan sejarah hidup Rasulullah S.A.W, dan perjuangan baginda.

Sungguh beruntung sekiranya kalian benar-benar mencintai Rasulullah S.A.W dan di dalam hati kalian tertanam tanda-tanda cinta kepada Rasulullah S.A.W.

Sabda Rasulullah S.A.W: "Demi diriku berada digenggaman-Nya, tidak beriman seseorang dikalangan kamu sehinggalah Aku ini lebih dicintai daripda ibubapanya, anaknya dan sekalian manusia".

Berdasarkan hadis ini, kesempurnaan iman hanyalah akan tercapai jika Rasulullah SAW adalah kecintaan kita yang utama, melebihi kecintaan terhadap keluarga dan harta benda sekalian.

Rasulullah S.A.W bersabda lagi: "..Sesiapa yang mencintaiku, maka dia akan bersamaku di dalam Syurga."

"Kamu akan bersama dan dikumpulkan dengan orang yang kamu cintai di akhirat."-Riwayat Bukhari dan Muslim.

Satu keuntungan yang besarlah jika ada tertanam di dalam hati kita semangat cinta kepada Rasulullah S.A.W yang begitu kental sekali melebihi segala-galanya.

Semoga Allah menanamkan di dalam hati kita kecintaan kepada Rasulullah S.A.W yang amat mendalam, serta dapat mengerjakan segala sunnah baginda dengan penuh taat dan kasih sayang,

Amin.

Bila Nak Kahwin?

Pernah tak dalam hidup kalian, berfikir tentang 'Cinta'?

Rasanya seperti mustahil jika ada antara kalian terutama mereka yang sedang berada dalam zaman keremajaan menjawab 'Tidak Pernah' berfikir tentang soal kahwin ini.

Lebih-lebih lagi kita sekarang ini berada di dalam dunia yang penuh dengan arus kemodenan dan selalu disogokkan dengan adegan-adegan yang mendorong kita untuk turut menceburkan diri dalam arus percintaan, kisah-kisah cinta yang dikatakan sejati dan kekal abadi ini bukan sahaja dipaparkan di dalam televisyen semata mata malah turut dihidangkan di dalam media cetak yang menerbitkan berpuluh-puluh karya ber 'genre' percintaan setiap bulan.

Lalu tidak hairanlah sekiranya anak-anak remaja masa kini lebih menyayangi kekasih masing-masing berbanding keluarga.

Maka kedengaranlah berita-berita yang menyedihkan membabitkan anak gadis lari bersama kekasih ke Lombok, ke negeri lain dan sebagainya. Astagfirullahalazim..

Mungkin itu adalah antara contoh soalan yang kerap berlegar-legar di dalam minda anda yang masih belum jelas tentang jodoh.

Bagi yang sudah berumah tangga, alhamdulillah, syukur kepada Allah S.W.T yang telah menemukan cinta dan kasih sayang kepada kalian.

Semoga rumah tangga anda semua dilimpahi rahmat dan kasih-Nya. Selain itu mungkin ada juga antara gadis-gadis diluar sana yang kerap bertanya sendiri sebegini:

Gadis 'Pemalu' A: Macam mana ye? Ada ker orang yang akan suka kat aku? Ramai yang datang sebelum ni. Tapi aku dah tolak, sekarang aku dah takda siapapun.

Gadis Pasrah B: Ayah aku dah sibuk bertanya, dah ada calon ke belum? Haih.. macam mana aku nak jawab ni? Hm, terima sahajalah sesiapa pun.

Gadis Teringin C: 'Jealous'lah tengok orang yang ber couple. Balik ada orang hantar, buat 'assignmen't pon sama-sama. Tapi aku?

Gadis Rela D: Aku tak kisahlah boyfriend yang macam mana pun. Yang penting ada orang sayang aku. Aku terima jer dia macam mana sekali pun.

Gadis Terlebih concern E: Aku tak nak makanlah. Nak diet.. mungkin sebab aku gemuklah tak ada orang yang suka kat aku.

Malah ada juga yang mungkin berfikiran: "Aku tak nak kahwinlah.. mak cik aku okey jer tak kahwin." Nauzubillah...

Apa pendapat anda semua? Saya pasti ada antara kita pernah berfikiran begini. Malah mungkin ramai yang terfikir tentang hal ini walaupun masih di tahun satu atau tahun kedua di IPTA atau IPTS.

Malangnya kita jika menganggap jodoh dan cinta itu hanya urusan antara kita dan hati kita sahaja.

Kita mudah terlupa dalam hati itu masih ada pemilik hati yang Maha Hebat ialah Allah SWT dan kita juga terlupa dalam cinta itu masih ada pemilik cinta yang Maha Agung iaitu Allah SWT.

Oleh itu sentiasalah berdoa kepada Allah tanpa jemu dan putus asa.

Jika anda rasa sangat sukar untuk menemui jodoh yang anda inginkan mintalah kepada Allah kerana seorang hamba Allah tidak akan mudah berputus asa kecuali orang-orang yang tidak beriman.

Berusaha dalam mencari jodoh tidak bermakna menulis surat-surat cinta palsu atau bergaul bebas antara lelaki dan perempuan.

Seandainya sebelum ini kita pernah melakukan dosa dengan berdua-duaan dengan pasangan kita, pastikah kita, bahawa kita akan hidup sampai ke tua dan mampu bertaubat dan menginsafi segala dosa-dosa kita dengan pasangan yang tidak halal bagi kita?

Pembaca-pembaca sekelian, soal hati dan jodoh bukanlah benda yang senang. Bukan hak kita menentukan siapa jodoh kita sehingga rela mengambil jalan singkat menerima kehadiran mana-mana sahaja kaum adam atau kaum hawa tanpa menilai agama dan budi pekerti terlebih dahulu.

Jangan biarkan sehingga nasi menjadi bubur. Lihatlah, berapa ramai yang berkahwin semata-mata kerana nafsu dan akhirnya tersungkur sebelum sampai kepintu syurga?

Inginkah kita menjadi pasangan yang bercerai berai dan bergaduhan selepas beberapa lama berkahwin?

Yakinlah, kebahagian dan ketenangan dalam kehidupan ialah apabila mengingati Allah dan mendapat keredhaannya.
Ketahuilah dan yakinlah bahawa perempuan yang baik akan bersama dengan lelaki yang juga baik begitu juga sebaliknya.

Terdapat empat perkara yang memberikan kebahagian kepada manusia berdasarkan hadis sahih riwayat Ibnu Hibban-:
1. Isteri yang solehah
2. Rumah yang selesa
3. Kenderaan yang baik
4. Jiran tetangga yang baik.

Jika dilihat, salah satu kebahagian manusia ialah Isteri yang solehah. Fikirkanlah betapa beruntungnya wanita-wanita diluar sana kerana telah dilahirkan sebagai wanita dan menjadi salah satu punca kebahagian manusia.

Akhir kata, selamat bermujahadah dalam kehidupan..insyaAllah jodoh pasti tiba di muka pintu dengan bantuan Allah.

Jagalah dirimu laksana hadiah.. masih dilitupi pembalut akhlak dan iman, bukan laksana bunga yang layu menyembah bumi.

Wallahualam.

Makna Wanita Diciptakan Dari Tulang Rusuk Yang Paling Bengkok

“Berbuat baiklah kepada wanita, kerana sesungguhnya mereka diciptakan dari tulang rusuk, dan sesungguhnya tulang rusuk yang paling bengkok adalah yang paling atas. Maka bersikaplah para wanita dengan baik.” (HR al-Bukhari Kitab an-Nikah no 5186)

Ini adalah perintah untuk para suami, para ayah, saudara saudara lelaki dan lainnya untuk menghendaki kebaikan untuk kaum wanita, berbuat baik terhadap mereka, tidak menzalimi mereka dan senantiasa memberikan hak-hak mereka serta mengarahkan mereka kepada kebaikan.

Ini yang diwajibkan atas semua orang berdasarkan sabda Nabi, “Berbuat baiklah kepada wanita.”

Hal ini janganlah sampai dihalangi oleh perilaku mereka yang adakalanya bersikap buruk terhadap suaminya dan keluarganya, baik berupa perkataan mahupun perbuatan kerana para wanita itu diciptakan dari tulang rusuk, sebagaimana dikatakan oleh Nabi bahawa tulang rusuk yang paling bengkok adalah yang paling atas.

Sebagaimana diketahui, bahawa yang paling atas itu adalah pangkal tulang rusuk, itulah tulang rusuk yang paling bengkok, itu jelas.

Maknanya, pasti dalam kenyataannya ada kebengkokkan dan kekurangan. Kerana itulah disebutkan dalam hadis lain dalam ash-Shahihain.

“Aku tidak melihat orang-orang yang kurang akal dan kurang agama yang lebih dapat menghilangkan akal lelaki yang teguh daripada salah seorang diantara kalian (para wanita).” (HR. Al Bukhari no 304 dan Muslim no. 80)

Makna “kurang akal” dalam sabda Nabi SAW adalah bahawa persaksian dua wanita sebanding dengan persaksian seorang lelaki.

Sedangkan makna “kurang agama” dalam sabda Baginda adalah bahawa wanita itu kadangkala selama beberapa hari dan beberapa malam tidak solat, iaitu ketika sedang haid dan nifas.

Kekurangan ini merupakan ketetapan Allah pada kaum wanita sehingga wanita tidak berdosa dalam hal ini.

Nabi Muhamad S.A.W tidak berbicara berdasarkan hawa nafsu, tapi berdasar wahyu yang Allah berikan kepadanya, lalu baginda sampaikan kepada ummatnya, sebagaimana firman Allah:

“Demi bintang ketika terbenam, kawanmu (Muhammad) tidak sesat dan tidak keliru, dan tiadalah yang diucapkannya itu menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya).” (Qs. An-Najm:4)

Erti Seorang Suami bagi Isteri

S - Sunnatullah & Syaratullah
U - Uswah hasanah
A - Amanah
M - Matlamat
I - Istiqamah


Sunnatullah dan Syariatullah


Memahami syariatullah iaitu segala hukum hakam yang termaktub di dalam quran dan hadis.


Seorang suami juga, perlu memahami sunnatullah seorang wanita (isteri), yang Allah jadikannya lain dari dirinya.

Seorang wanita, sifatnya lain sifat seorang lelaki,pelengkap dirinya, maka perlu difahami akan hakikat seorang wanita yang perasaannya lebih halus dari dirinya.

Syariatullah pada seorang suami kepada isteri :

Nafkah zahir - tempat tinggal, makan minum.
Nafkah batin - merasa selamat dibawah naungan suaminya, tempat berteduh bagi dirinya, tempat tumpuan kasih sayang, tempat kemesraan dan segala yang berkait rapat dengan perasaan.

Inilah hak-hak kejiwaan yang perlu dimainkan peranan oleh seorang suami kepada isterinya.


Seorang suami perlu juga melihat dunia kekeluargaan dari sudut pandang seorang isteri.

Kerana seorang wanita punyai pandangan yang berbeza dari seorang lelaki.

Kombinasi pandangannya dan isteri memainkan peranan dalam menjamin keutuhan dan keharmonian keluarga.

Kombinasi antara pengetahuan tentang syariatullah dan kefahaman terhadap sunnatullah, insyaAllah, akan melahirkan keluarga yang penyejuk di mata penawar di hati, bahagia di dunia cemerlang di akhirat.

Uswah Hasanah

Uswah hasanah seorang suami merupakan suri tauladan untuk keluarganya. Segala tindak-tanduknya menjadi perhatian seisi keluarganya.


Anak-anak lebih mudah meniru apa yang dibuat berbanding mendengar apa yang diucap oleh ayahnya. Seorang isteri juga lebih mudah mengikut apabila suaminya lebih perihatin terhadap dirinya juga perasaannya.

Seorang suami merupakan pemimpin bagi keluarganya. Jadikan diri contoh terbaik di dalam keluarga.


Amanah (tanggungjawab) Menjadi seorang suami merupakan amanah besar yang dipikul bagi seorang lelaki.

Bila berjayanya akad nikah, maka seorang lelaki memikul tanggungjawab seorang wanita yang sebelumnya berada di bawah tanggungan ayahnya, kini berada di bawah tanggungannya.

Didikan, agama, nafkah dan sebagainya yang ditanggung oleh seorang ayah.

Amanah


Perkataan amanah ini perlulah selalu diletakkan di dalam minda bahawa bukan perkara kecil dalam membina daulah islamiyah yang terkecil dalam masyarakat,iaitu keluarga.

Ilmu memainkan peranan dalam menjalankan amanah sebagai suami, dan juga amanah apabila sudah bergelar seorang ayah.

Matlamat

Matlamat seorang suami atau ayah atau lelaki, perlulah punyai matlamat kemanakah hala tuju yang ingin dibawa olehnya dalam kehidupan berkeluarga ini.

Sama ada ke syurga atau ke neraka?..

Mahu memberikan kemewahan dunia yang sementara dan berpoya-poya selagi nyawa masih ada?

Mahu menjadikan anak-anak dan isteri sebagai perhiasan dunia semata atau sehingga ke dalam syurga? Jika mahu dibawa ke syurga, bagaimana caranya, apakah sudah ada?

Matlamat ini perlulah disematkan seboleh-boleh sebelum perkahwinan dilangsungkan , atau selepas bergelar suami. Jika sudah terlajak, masih boleh diperbetulkan matlamat ini, selagi nyawa dikandung badan.

Istiqamah

Istiqamah dalam menjalankan tanggungjawab sebagai suami, sifat istiqamah atau berterusan dalam melakukan amalan sangat-sangat menjadi titik penting dalam menjaga keharmonian dan juga kesan didikan kepada isi keluarga.

Jika seorang suami atau ayah, tidak istiqamah dalam perbuatannya, manakan mungkin dia akan menjadi uswah (ikutan) terbaik bagi isteri dan anak-anaknya.

Didikan seorang ayah / suami yang dalam tegasnya terselit didikan, dalam garangnya punyai asuhan dan dalam tuturnya penuh dengan kemesraan. Semuanya perlulah dalam kadar yang berterusan.

Didikan kepada anak-anak dan isteri jika tiada sifat istiqamah ini, boleh runtuh sebuah institusi keluarga.


Wallahualam