Isnin, 22 Ogos 2011

Nafsu

Suatu hari, seorang pemuda diserahkan oleh bapanya kepada seorang guru sufi untuk dididik cara mengawal nafsunya.

"Siapkan bekalan. Mari ikut saya bermusafir," kata guru sufi itu sebaik sahaja pemuda itu tiba di madrasahnya.


Pemuda itu agak terkejut kerana dia masih keletihan akibat perjalanan yang jauh ke madrasah guru sufi itu.


"Apa yang perlu saya bawa?"

"Bawa pakaian sehelai dua," jawab guru sufi.

Mereka pun memulakan perjalanan yang agak jauh. Setelah agak lama,mereka menemui satu bukit yang agak tinggi.
"Kita akan mendaki bukit ini."

"Mana jalannya?"

"Kita susuri jalan di tepi lereng bukit," kata guru sufi.

"Nanti, nanti... Saya sangat keletihan. Alangkah baik jika ada keldai. Kita boleh menunggangnya."

"Kamu hendak menunggang keldai? Baiklah, mari kita membelinya dahulu.

"Dalam hatinya berasa lega, dia tidak akan terpaksa berjalan lagi. Dia sangat-sangat keletihan.

Setelah guru sufi membeli dua ekor keldai, dia pun berkata, "Sekarang ada dua ekor keldai. Saya akan menunggang salah seekor daripadanya..."

"Dan saya akan menunggang seekor lagi," pintas pemuda itu.

"Tidak!" kata guru sufi itu.

"Mengapa?""Jangan bertanya, patuh saja!"

Pemuda itu terkejut, tapi tidak berani melawan.

"Habis, kita akan biarkan seekor keldai ini berjalan tanpa membawa apa-apa beban?"

"Tidak, sebaliknya kamulah yang akan memikulnya!"

"Memikul keldai menaiki bukit yang tinggi itu?"

"Ya. Pikul keldai itu dan naik ke atas bukit," jawab guru sufi itu pendek dan tajam.

Maka dengan susah payah, dia memikul keldai itu sambil menyusuri jalan di tepi lereng bukit itu. Termengah-mengah.

Dia benar-benar keletihan. Sebaliknya guru sufi bersantai-santai menaiki keldainya berjalan dihadapan pemuda itu. Belum sampai separuh perjalanan, pemuda itu pun jatuh keletihan. Dia hampir pengsan.

Setelah merawat si pemuda dan memberinya minuman, guru sufi itu pun berkata, "Anakku,keldai itu
umpama nafsumu. Allah ciptakan nafsu untuk kau menungganginya bukan kau ditunggangi olehnya."

"Maksud tuan?"

"Dengan menurut nafsumu, kau akan disusahkannya. Jiwa, hati dan badanmu akan kelelahan. Kehendak
nafsu tidak ada batas dan tidak pernah puas. Lepas satu-satu kehendak dan kerenahnya. Ini samalah
dengan kau memikul keldai dan menaiki bukit yang tinggi. Pemuda itu terdiam.

"Sebaliknya, jika kau menunggangi nafsu dengan mengawal dan menguruskannya, kau akan mendapat
kemudahan dalam menjalani kehidupan. Nafsu berguna selagi dia menjadi hamba tetapi apabila dijadikan
tuan, apalagi tuhan, maka hidup kita akan dihancurinya."

"Seperti saya yang memikul keldai tadi?"

"Ya."

Dan lihat pula betapa mudahnya menyusuri jalan di lereng bukit itu dengan menaiki keldai. Begitulah nafsu apabila dikawal dan digunakan ke arah kebaikan."

"Ya,ya.. Orang yang mengikut perintah hawa nafsunya bagaikan memikul keldai menaiki bukit!"

PENGAJARAN : Nafsu adalah sebahagian daripada diri kita yang jika tidak dikawal akan menyusahkan kita.
Oleh sebab itu, kawallah nafsu bukan kita dikawalnya.

Tiada ulasan: