Khamis, 20 November 2008

Kisah Sedekah

Bila disebut perkataan sedekah, tergambar di fikiran kebanyakan umat Islam tentang suatu aktiviti yang melibatkan pengeluaran harta benda untuk diserahkan kepada orang lain bagi tujuan membantu secara sukarela.

Sedekah seringkali dikaitkan dengan material mungkin kerana istilah yang biasa digunakan oleh masyarakat seperti ‘memberi sedekah’ dan ‘peminta sedekah’ yang melambangkan satu pemberian dan penerimaan barangan.

Sedekah kurang mendapat perhatian di kalangan sesetengah masyarakat Islam untuk dijadikan satu amal soleh kerana pada mereka ianya melibatkan harta benda.

Sudah menjadi lumrah manusia yang amat mencintai agama dan kerana itulah Allah menjadikan harta itu salah satu ujian untuk manusia.

Satu aspek lain yang mungkin menjadikan sebahagian umat Islam hari ini agak keberatan untuk bersedekah kerana menganggap amalan sedekah itu kurang pahalanya, jika dibandingkan dengan amalan-amalan lain seperti sembahyang, puasa dan seumpamanya.

Sebenarnya kalau umat Islam menyedari hakikat dan pengertian sedekah itu sendiri sudah tentu masing-masing akan menghormati peranan sedekah dan sudah tentu berlumba-lumba untuknya.

Jika diteliti dalam al-Quran ataupun hadith-hadith nabi, kita akan bertemu dengan banyak keterangan berhubung dengan sedekah.

Boleh dikatakan amalan sedekah ini merupakan amalan yang paling banyak cabangnya kerana ia mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan semua ibadat-ibadat lain.

Hubungan sedekah dengan amalan-amalan lain memang jelas kerana sedekah itu sendiri akan mengiringi ibadat lain.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda di dalam sebuah hadis yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah menjadikan anak Adam itu sebanyak 360 ruas tulang. Sesiapa yang bertakbir, bertahmid, bertahlil, bertasbih, beristighfar kepada Allah dan membuang batu, duri atau tulang dari mengganggu tempat lalu lalang manusia atau menyeru melakukan kebaikan atau melarang daripada melakukan perkara mungkar sebanyak 360 kali, maka sesungguhnya ketika itu dia telah berusaha untuk menyelamatkan dirinya daripada api neraka” (riwayat Muslim).

Ini memberi erti bahawa sedekah itu tidak hanya tertumpu kepada harta benda semata-mata, malah ianya mempunyai pengertian yang sangat luas mencakupi semua bidang kehidupan.

Amalan sedekah juga amat mudah dilakukan sekiranya umat Islam mengetahuinya.

Mungkin sesetengah umat Islam merasa sukar untuk bersedekah kerana tidak mempunyai harta.

Namun Islam telah membekalkan pelbagai alternatif untuk semua peringkat umat Islam agar mereka mampu bersedekah kerana Islam adalah sebuah agama yang praktikal dan adil dalam menetapkan sesuatu ibadat agar pahalanya dapat dirasai oleh semua orang yang mahu mendapatkannya.

Kalaulah Allah hanya menetapkan sedekah itu dalam bentuk harta benda sahaja sudah tentu golongan umat Islam yang miskin tidak akan menikmati pahala sedekah sepanjang hidup mereka.

Pernah berlaku dalam satu peristiwa dimana seorang lelaki yang mengembara di padang pasir merasa amat dahaga dan beliau terjumpa sebuah perigi.

Untuk meminum air tersebut lelaki berkenaan terpaksa turun ke dalam perigi kerana tidak mempunyai timba.

Setelah puas menikmati kesegaran air perigi, lelaki itu naik ke atas semula dan mendapati seekor anjing sedang mundar-mandir di tepi perigi dalam keadaan terjelir-jelir kedahagaan.

Lelaki itu kasihan melihat anjing tersebut dan turun sekali lagi bagi mendapatkan air untuknya.

Oleh kerana ketiadaan timba, dia menggunakan kasutnya sebagai timba.

Kesukarannya untuk menaiki tebing perigi memaksa lelaki itu membawa kasut yang berisi air itu dengan mulutnya.

Beliau puas setelah melihat anjing itu dapat menikmati air dan merasakan bahawa sudah tentu anjing itu merasa dahaga sepertimana dia sebelum menemui perigi tadi.

Dalam kisah ini, Rasulullah telah memberitahu para sahabat bahawa Allah telah memberi ganjaran syurga kepada lelaki itu keranaapa yang dilakukan itu ialah sedekah yang ikhlas meskipun ia hanya membantu anjing.

Memang menjadi tanggapan ramai bahawa setiap amalan yang besar mempunyai ganjaran yang besar.

Islam tidak menafikan hakikat ini tetapi Islam tidak membenarkan umatnya memandang remeh kepada satu amalan yang kecil kerana berkemungkinan dengan amalan yang dianggap kecil itu mempunyai pahala yang sangat besar.

Dalam konteks ini Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud: “Janganlah kamu memperkecil-kecilkan kebaikan walaupun sedikit.

Sekalipun engkau menemui saudaramu dengan wajah yang berseri-seri” (riwayat Muslim).

Jelaslah disini bahawa dengan menunjukkan wajah yang ceria kepada rakan-rakan juga dianggap sedekah.

Di dalam bidang pekerjaan pula, banyak ciri-ciri sedekah yang akan diperolehi sama ada ianya secara lansung atau tidak lansung.

Kita mengambil contoh seorang petani yang menanam sepohon pokok buah-buahan.

Selain daripada keringat yang keluar sewaktu menanam itu dianggap sedekah, andainya pokok itu berbuah dan buah itu dimakan oleh manusia atau binatang, juga dianggap sedekah malah kalau buah itu dicuri orang sekalipun ia masih dikira sebagai sedekah.

Sesungguhnya Allah S.W.T. sentiasa memberi galakan dalam melakukan apa saja perbuatan walaupun ianya dianggap remeh.

Firman Allah: ‘Dan ingatlah, apa jua yang kamu lakukan dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuinya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya)’ (Surah al-Baqarah, ayat: 215).

Firman Allah lagi: ‘Maka sesiapa yang membuat kebajikan sebesar zarah sekalipun, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalannya)’ (Surah al-Zalzalah, ayat: 7).

Sebenarnya masih terlalu banyak ruang-ruang sedekah yang boleh kita lakukan kerana sedekah itu sendiri mempunyai 1001 macam cabang yang tidak dapat disenaraikan disini.

Bagaimanapun sebagai kesimpulan dapatlah kita menghayati sepotong hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: ‘Tiap-tiap hari yang terbit matahari, semua ruas tulang manusia yang bekerja merupakan sedekah, berlaku adil antara dua orang itu sedekah, menolong orang menaiki kenderaan atau mengangkat dan membawa barang-barangnya juga sedekah, perkataan yang baik itu sedekah, setiap langkah dalam perjalanan untuk bersembahyang itu sedekah dan menghindakan sesuatu yang merbahaya di jalan juga dikira sedekah’ (Bukhari dan Muslim).

Lantaran itu kita perlu menghormati ibadat sedekah sekiranya kita benar-benar bertakwa kepada Allah S.W.T. dan takut kepada azab siksaan Allah S.W.T. di akhirat kelak sebagaimana sabda baginda:

‘Takutilah kamu akan api neraka sekalipun hanya dengan (bersedekah) sebelah biji tamar’ (Bukahi dan Muslim).

Tujuh rahsia menjadi ayah yang berkesan



Ramai lelaki terbilang berjaya dan berbangga kerana menjadi seorang ayah cemerlang dan berkesan.

Menurut kajian Dr Ken Canfield, pengasas dan juga Presiden Pusat Kebapaan Kebangsaan dalam penyelidikannya mengenai ‘kebapaan’ ada tujuh rahsia menjadi ayah yang berkesan:-

Bapa yang komited dan bertanggungjawab.
Jalankan tugas bapa dengan penuh dedikasi dan bertanggungjawab.

Kenalpasti apakah tugas anda sebagai bapa dalam rumah tangga. Tunjukkan dan beritahu anak bahawa anda juga ada tugas dalam rumah tangga, disamping ibu mereka.

Anda bukan hanya bertugas di luar. Sekali-sekala berikan mereka peluang untuk mengutarakan pandangan atau menegur anda jika terlupa atau terlalai melakukan tugas anda di rumah.

Selalu memeriksa dan memantau apakah anda telah melaksanakan tugas di rumah.

Bayangkan ‘hadiah’ atau ‘anugerah’ yang bakal didapati (sama ada di dunia atau akhirat) jika anda menjadi ayah cemerlang!


Kenali anak anda.
Ambil masa untuk mengenali secara khusus keunikan dan kualiti anak anda.

Libatkan diri dalam dunia mereka, hadiah yang mereka sukai, ketakutan, kekecewaan malah impian dan cita-cita mereka.

Cuba ingatkan semua nama kawan mereka serta pembawaan masing masing.

Kenal pasti apa yang selalu mengecewakan, ditakuti, dibenci, paling memalukan serta yang boleh memberi motivasi dan perangsang kepada mereka


Istiqamah (tetap pendirian)
Apabila anak tahu apa yang bapa mahukan, mereka akan lebih berasa yakin serta boleh menyesuaikannya dengan kehendak anda.

Jadi, istiqamah, tetap pendirian serta konsisten. Ada enam tempat anda perlu konsisten iaitu:-

i) hadkan perubahan mood (jangan terlalu mengikuti perasaan);
ii) sentiasa ada di rumah (selalu menghadirkan diri dalam acara kekeluargaan);
iii) kotakan apa yang dikata, bukan cakap tidak serupa bikin;
iv) sentiasa menjaga moral dan adab sopan;
v) mempunyai atur cara kehidupan teratur;
vi) ada hobi dan kegemaran baik yang boleh dilihat dan diikuti.


Melindungi, menyara dan mendoakan.
Sediakan suasana dan rasa selamat dalam rumah dengan memberikan respon yang positif setiap kali berlaku krisis dan permasalahan dalam rumah.

Paling penting anda memberikan saraan yang cukup kepada mereka.

Bapa tidak boleh menghalang berlakunya krisis, tetapi tindakan anda ketika berlaku krisis dan mengembalikan suasana normal, sebenarnya ‘mengajar’ anak menangani krisis.

Jangan lupa doakan untuk anak selepas solat.


Mencintai ibu mereka.
Zahirkan cinta anda kepada isteri anda di depan anak untuk menunjukkan satu hubungan suami isteri yang intim dan bermakna.

Jadikan diri anda sebagai anggota dalam pasukan ‘keibubapaan’, bukan hanya ibu. Inilah langkah dan hadiah terbaik untuk anak.

Dalam jangka panjang, anak mendapat manfaat yang sangat bernilai daripada hubungan ibu bapa yang hormat menghormati, bekerjasama dan berkasih sayang.


Menjadi pendengar yang baik.
Sedarlah bahawa anak mudah tersesat atau terpesong dalam arus dunia.

Dengar apa yang mereka katakan dan apa yang tidak terluahkan.

Tunjukkan kepada mereka bahwa mereka ‘berhak’ untuk didengari dan diberi perhatian.


Jadikan diri anda ‘pemimpin’ kerohanian.
Beri peluang anak anda mengenali Allah dengan menunjukkan ‘keimanan’ dan amalan harian anda yang selari dengan tuntutan agama.

Bersolat bersama-sama dan jadi imam dalam solat lima waktu di rumah.

Bawalah mereka bersama-sama menunaikan solat berjemaah di masjid.

Selalu bercerita mengenai makhluk yang dicintai Allah di bumi dan langit.

Rabu, 19 November 2008

Mencintai dan Dicintai Kerana Allah.....



Firman ALLAH melalui RasulNya dalam hadis Qudsi yang bermaksud," Pasti mendapat kecintaanKu bagi dua insan yang saling sayang-menyayangi kerana Ku, dua orang yang duduk bersama2 kerana keranaKu, dua orang yang kunjung mengunjungi keranaKu dan dua orang yang tolong menolong keranaKu..."

Sabdanya lagi dalam Hadis Qudsi yang lain," Berfirman Allah pada hari Kiamat: mana dia orang2 yang bercinta-cintaan kerana KeagunganKu, hari inilah Aku akan menaungi mereka di bawah naunganKu.. iaitu hari yang tiada naungan selainnaunganKu.."

Sabdanya lagi," Sesiapa yang ingin merasai nikmat kemanisan iman, hendaklah ia mencintai seseorang tiada melainkan kerana Allah semata2 "

Sabda junjungan besar Rasul lagi," Dan dua orang yang saling mencintai kerana Allah, keduanya berkumpuldan berpisah semata2 kerana Allah.."

Apabila seseorang insan mencintai seorang insan muslim yang lain, bersahabat dan bermesra dengannya sedangkan orang yang dicintainya itu adalah seorang yang taat setia dan mencintai Allah yang Maha Agung, maka inilah yang dimaksudkan sebagai mencintai dan dicintai kerana Allah...

Bercinta kerana Allah juga boleh disifatkan apabila seseorang mencintai insan lain kerana ia membantunya dalam selok belok agama dan memberikan tunjuk ajar dalam perjuangannya mendekatkan diri kepada Allah dan Rasulullah..

Orang yang bersahabat dan mencintai muslim lain kerana orang itu membantunya dalam urusan keduniaan yang membawa kepada kebahagiaan dan kejayaan Akhirat, ini juga tergolong dalam erti kata saling mencintai semata2 kerana Allah..

Kerana sesungguhnya dunia itu sebagai taman bercucuk tanam dan akhirat adalah dusun untuk memetik hasil tuaian..

Apabila subur dan mekar tanaman, maka hasil yang akan dipetik dan dituai di akhirat kelak adalah yang terbaik dan penuh nikmat...bercinta dan besahabat adalah berhukum harus apabila tujuan bercinta dan berkasih sayang adalah kerana dirinya berasa senang dan lapang hati apabila berkawan dengan orang itu atau pun orang itu boleh membantunya dalam urusan dunia yang membawanya dapat hidup bersenang lenang dalam kemewahan...

Ini ditafsirkan sebagai cinta tabi'i..sesungguhnya, bercinta dengan alasan tujuan yang ikhlas murni membawa kita kepada kebahagiaan hakiki di dunia dan akhirat.. ganjaran pahala yang dijanjikanNya adalah besar dan akhirnya Syurga Firdausi menjadi singgahan terakhir kita... InsyaAllah...

Selasa, 18 November 2008

Kelebihan Korban...



Saidina Ali bin Abi Talib r.a telah meriwayatkan bahawa sesiapa yang meninggalkan rumahnya dengan maksud membeli haiwan korban, maka setiap langkah dikurniakan 10 kebajikan, dihapuskan 10 kesalahan, dinaikkan martabatnya 10 darjat.

Apabila dia bercakap-cakap dengan penjual ketika membelinya, maka setiap patah kata yang diucapkannya itu adalah sama dengan satu tasbih.

Dan jika dibayar harganya, maka setiap satu dirham, dia beroleh 700 kebajikan.

Jika haiwan itu dibaringkan di atas tanah, maka setiap titis darah yang tertumpah, dijadikan oleh Allah 10 Malaikat yang mendoakan dan meminta ampunkan kesalahannya kepada Allah sampai hari kiamat.

Apabila dagingnya dibahagi-bahagikan, maka setiap suap yang dimakan orang, baginya adalah seperti memerdekakan seorang anak cucu Nabi Ismail a.s.

Haiwan yang dikorbankan itu kelak akan menjadi kenderaan bagi orang yang mengorbankannya pada hari kiamat. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:

"Muliakanlah korban-korbanmu, kerana nanti dia menjadi kenderaan kamu ketika melalui titian Siratal Mustaqim."

Selain daripada itu orang-orang yang melaksanakan ibadah korban dipandang sebagai orang yang baik di antara umat Nabi Muhammad s.a.w, sesuai dengan maksud sabda Rasulullah s.a.w:

"Umatku yang baik ialah mereka yang berkorban dan umatku yang jahat ialah mereka yang tidak berkorban."

Korban juga dapat menyelamatkan orang yang berkorban dari kejahatan dunia dan akhirat. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:

"Bukankah korban itu termasuk ibadah yang menyelamatkan orang, yakni menyelamatkan orang yang empunyanya daripada kejahatan dunia dan akhirat."


Jumaat, 14 November 2008

Kenali Lelaki

Jika suami anda menyendiri dan menjauhkan diri, ketahuilah dia dalam keadaan tertekan.

Boleh jadi ada tekanan di tempat kerjanya, boleh jadi oleh kereta yang dimilikinya, atau boleh jadi beberapa kerenah anda yang menjadi menyebabnya.

Meskipun begitu, usahlah risau, ia sekejap saja.

Emosi pada orang lelaki umpama getah, sekejap saja telah kembali ke bentuk asal walaupun tadinya terhenyak pipih.

Berbeza dengan anda bukan? Tatkala anda tertekan, emosi anda umpama ombak. Ombak memang tidak pernah reda, kalau reda pun mengambil masa yang lama.

Apabila lelaki suka menyendiri dan berdiam diri, biasanya disebabkan imejnya yang tergugat. Biarkan sahaja untuk tempoh-tempoh tertentu.

Usah 'gatal-gatal' sangat memujuk. Kadang-kadang lelaki hanya perlukan 'tempoh bertenang' sebelum mengambil langkah seterusnya.

Anda kelam-kabut, maka itu anda mudah marah, cemburu dan merajuk apabila berdepan dalam situasi begini. Ohhh, itu silap.

Lelaki selalunya dapat menyesuaikan diri apabila menghadapi kesukaran, berbeza wanita biasanya cukup risau dalam keadaan demikian.

Dan usah risau sangat kalau lelaki anda cuba berjauhan dari anda dalam keadaan-keadaan demikian sebab semula jadinya lelaki terasa selesa berjauhan dengan keluarga.

Ini tentu berbeza sekali dengan anda, yang suka dan berasa tenang bersama keluarga? Mengapa lelaki begitu? Itulah bukti kekuasaan ALLAH.

DIA menjadikan perbezaan yang ketara antara lelaki dengan wanita, agar apabila disatukan, terjalinlah satu bentuk kekuatan lantaran saling sempurna menyempurnakan - lengkap melengkapi.

Semua kekurangan isteri akan dipenuhi oleh suami dan semua kekurangan suami akan dipenuhi pula oleh isteri.

Lihat perbezaan sebagai sebab untuk sempurna menyempurnakan bukan jurang kedegilan untuk tidak mahu memahami.

Lelaki itu cara fikirnya makro, iaitu dia melihat secara keseluruhan, sedangkan anda para wanita mempunyai penilaian bersifat mikro iaitu melihat sesuatu secara terperinci.

Maka itu, usah hairan, terkadang suami selamba dengan masalah yang anda rasakan cukup berat.

Anda telah kering air mata sedangkan dia masih belum menitis walau sebutir pun air mata.

Jika berlaku pertengkaran selalunya dia akan melawan habis-habisan dan anda pula mengalah dan pura-pura setuju demi perhubungan.

Usah terasa teruk sangat dengan keadaan ini, lelaki memang begitu, sentiasa mahu menang dan mahu sentiasa dilihat menang walaupun hatinya mengakui kesilapannya dan mahu berubah mengikut apa yang anda perkatakan.

Walaupun anda tahu anda benar dan anda tidak pernah berbuat salah, akhirilah semua pertengkaran dan perselisihan dengan anda yang meminta maaf.

Anda mahukan dia yang meminta maaf? Usah harap.

Lelaki memang berat untuk meminta maaf terutama daripada pasangannya.

Ikut kajian, wanita lebih mudah meminta maaf dalam keadaan apa jua dan atas hal apa jua, maka gunakan kelebihan ini untuk lebih mudah meminta maaf walaupun tidak bersalah.

Satu lagi yang anda patut tahu tentang lelaki ialah mereka memang suka memberi arahan bagaikan ketua yang mempunyai kuasa.

Usah dilawan, tapi layanlah hati sendiri dengan berleter hingga anda sendiri berasa puas. Tapi awas, jangan sampai berleter di hadapannya, itu boleh memburukkan keadaan.

Kata orang, wanita sinonim dengan leteran. Kalau tak pandai berleter bukan wanita namanya.

Ya, teruskan saja berleter, hamburkan semua yang menekan kepala. Cuma mohon berleter di dalam bilik yang tertutup, sebab kucing pun pening dengan leteran anda.

Lelaki memang rimas dengan leteran dan cepat naik darah apabila asyik dileteri. Lihatlah betapa berbezanya anda dengan suami.

Tidakkah anda setuju jika saya katakan, adalah amat beruntung jika anda tahu lebih banyak tentang lelaki?

Kecantikan Lelaki

Kecantikan seorang lelaki bukan kepada rupa fizikal tetapi pada murni rohani. Lelaki yang cantik,adalah:-

1) Lelaki yang mampu mengalirkan airmata untuk ingatan

2) Lelaki yang sedia menerima segala teguran

3) Lelaki yang memberi madu, setelah menerima racun

4) Lelaki yang tenang dan lapang dada

5) Lelaki yang baik sangka

6) Lelaki yang tak pernah putus asa

Kecantikan lelaki berdiri di atas kemuliaan hati. Seluruh kecantikan yang ada pada Nabi Muhammad adalah kecantikan yang sempurna seorang lelaki.

Kegagahan Wanita

Kegagahan seorang wanita bukan kepada pejal otot badan, tetapi pada Kekuatan perasaan. Perempuan yang gagah,adalah:-

1) Perempuan yang tahan menerima sebuah kehilangan

2) Perempuan yang tidak takut pada kemiskinan

3) Perempuan yang tabah menanggung kerinduan setelah ditinggalkan

4) Perempuan yang tidak meminta-minta agar dipenuhi segala keinginan.

Kegagahan perempuan berdiri di atas teguh iman. Seluruh kegagahan yang ada pada Khadijah adalah kegagahan sempurna bagi seorang perempuan

"MENGUSAHAKAN SESUATU ADALAH JAUH LEBIH BAIK DRPD TIDAK MELAKUKAN APA-APA, WALAUPUN ADAKALANYA YG DIUSAHAKAN ITU GAGAL"

Rabu, 5 November 2008

Nasihat kehidupan


1. KETIKA MENCARI CALON
Janganlah mencari isteri, tapi carilah ibu bagi anak-anak kita Janganlah mencari suami, tapi carilah ayah bagi anak-anak kita.

2. KETIKA MELAMAR
Anda bukan sedang meminta kepada orang tua/wali si gadis, tetapi meminta kepada Allah melalui orang tua/wali si gadis.

3. KETIKA AKAD NIKAH
Anda berdua bukan menikah di hadapan penghulu,tetapi menikah di hadapan Allah

4. KETIKA RESEPSI PERNIKAHAN

Catat dan hitung semua tamu yang datang untuk mendoa'kan anda, kerana anda harus berfikir untuk mengundang mereka semua dan meminta maaf apabila anda berfikir untuk BERCERAI kerana menyia-nyiakan do'a mereka.

5. KETIKA MALAM PERTAMA
Bersyukur dan bersabarlah. Anda adalah sepasang anak manusia dan bukan sepasang malaikat.

6. SELAMA MENEMPUH HIDUP BERKELUARGA
Sedarilah bahawa jalan yang akan dilalui tidak melalui jalan bertabur bunga, tapi juga semak belukar yang penuh onak dan duri.

7. KETIKA BIDUK RUMAH TANGGA GOYANG
Jangan saling berlepas tangan, tapi sebaliknya justeru semakin erat berpegang tangan

8. KETIKA BELUM MEMILIKI ANAK
Cintailah isteri atau suami anda 100%

9. KETIKA TELAH MEMILIKI ANAK.
Jangan bagi cinta anda kepada (suami) isteri dan anak anda,tetapi cintailah isteri atau suami anda 100% dan cintai anak-anak anda masing-masing 100%.

10.KETIKA EKONOMI KELUARGA MERUDUM
Yakinlah bahawa pintu rezeki akan terbuka lebar berbanding lurus dengan tingkat ketaatan suami dan isteri.

11.KETIKA EKONOMI BERKEMBANG
Jangan lupa akan jasa pasangan hidup yang setia mendampingi kita semasa menderita

12.KETIKA ANDA ADALAH SUAMI
Boleh bermanja-manja kepada isteri tetapi jangan lupa untuk bangkit secara bertanggung jawab apabila isteri memerlukan pertolongan Anda.

13.KETIKA ANDA ADALAH ISTERI
Tetaplah berjalan dengan gemalai dan lemah lembut, tetapi selalu berhasil menyelesaikan semua pekerjaan.

14.KETIKA MENDIDIK ANAK
Jangan pernah berpikir bahawa orang tua yang baik adalah orang tua yang tidak pernah marah kepada anak,kerana orang tua yang baik adalah orang tua yang jujur kepada anak ....

15.KETIKA ANAK BERMASALAH
Yakinilah bahawa tidak ada seorang anakpun yang tidak mahu bekerjasama dengan orang tua, yang ada adalah anak yang merasa tidak didengar oleh orang tuanya.

16.KETIKA ADA PIL
Jangan diminum, cukuplah suami, isteri sebagai ubat.

17.KETIKA INGIN AMAN DAN HARMONIS
Gunakanlah formula 7 K
1 Ketaqwaan
2 Kasih sayang
3 Kesetiaan
4 Komunikasi dialogis
5 Keterbukaan
6 Kejujuran
7 Kesabaran

Selasa, 4 November 2008

Untuk Renungan Bersama….

Adalah seorang hamba Allah ni, dia pergilah bersiar-siar di tepi hutan. Sedang dia menghirup udara rimba yg segar tu, tetiba dia terdengar satu bunyi...

Jeng!jeng!jeng! ... bunyi..... aauuummmmm!! ! Bunyi harimau yg kelaparan dan hanya menunggu mangsanya saja..

Jadi, si hamba Allah ni pun lari untuk menyelamatkan diri. Harimau tu kejar hamba Allah ni. Sebab dia dah lapar sangat ni.

Harimau tu pun kejar, kejar, kejar dan kejar. Hamba Allah ni punyalah takut, berlari lintang pukang. Sempat juga dia berdoa agar dia diselamatkan daripada dibaham dek harimau tadi.

Dengan kuasa Allah diperlihatkan sebuah perigi di depan mata nya. Jadi untuk menyelamatkan diri si hamba Allah ni pun terjunlah ke dalam perigi.

Perigi tu ada tali dan sebuah timba. Si hamba Allah ni bergayut pada tali tu. Tali tu pendek jer. Jadi dia bergantungan di tengah-tengah perigi.

Di mulut perigi, harimau yg lapar tu menunggunya. Si hamba Allah ni pun berfikirlah macam mana nak menyelamatkan diri, sambil berdoa kepada Allah agar dia diselamatkan.

Tengah dok berfikir camner nak selamat, tetiba dengar bunyi kocakan air di bawah perigi. Aaaaa!!!!... Ya Allah..... lagilah seram dibuatnya.

Nak tahu ada apa kat bawah tu? Ada 2 ekor buaya yg kelaparan. Apalah nasib. Dah jatuh ditimpa tangga. lagilah takut si hamba Allah ni...

Atas ada harimau bawah ada buaya. Semakin risau dan takut.

Tengah berfikir untuk mencari jalan keluar, tetiba keluar seekor tikus putih dari lubang celah-celah perigi, naik ke atas ikut tali yg hamba Allah tu bergayut.

Sampai kat atas tikus tu gigit tali tu pulak. Cis, kurang ajar punya tikus. Alahhhh... cam ner ni. Pas tu, keluar lagi seekor tikus yg berwarna hitam.

Naik mengikut tali tadi, cit!cit! cit!cit! sampai kat atas.Tikus hitam ni pun gigit juga tali tu. Cis, lagi satu... Macam mana aku nak buat ni... habislah jadi mangsa buaya.

Berfikir lagi.... Kalau naik kat atas makan dek harimau. Kalau tunggu tali putus dan jatuh ke bawah makan dek buaya. Macam mana nih...

Sedang hamba Allah tu berfikir cam ner nak selamatkan dirinya, tetiba.... terdengar satu bunyi...... uuuuuuuuuuuuu. ..

Bunyi lebah bawa madu. Si hamba Allah ni pun mendongak ke langit, melihat lebah yg sedang bawa madu. Tetiba setitik madu terjatuh dan terus masuk ke dalam mulut si hamba Allah ni tadi..

Punyalah nikmat sehingga tidak terkata. Hamba Allah tu kata, "Fuh manisnya madu ni , tak pernah ku rasa manisnya ni. Sedapnya.

Subhanallah sungguh sedap ni." kerana setitik madu si hamba Allah tu lupa pada harimau yg sedang menantinya di mulut perigi dan buaya yg menantinya di bawah.

Kalau semua nak tahu ... si Hamba Allah itu adalah kita semua.. Harimau yg mengejar tu adalah maut kita, ajal memang sentiasa mengejar kita, so beringat-ingatlah.

2 ekor buaya itu adalah malaikat Munkar Dan Nakir yg menanti kita di alam kubur nanti.

Tali yg tempat di hamba bergayut tadi adalah jangka hayat kita kalau pendek talinya maka panjanglah umur kita dan kalau panjang talinya maka pendeklah umur kita.

Tikus Putih dan Hitam tu adalah dunia kita siang dan juga malam yang sentiasa menghakis umur kita. Kan tikus tu gigit tali tu.

Madu... madu yg jatuh setitik ke dalam mulut hamba itu tadi adalah nikmat dunia.. Bayangkan setitik saja madu tu jatuh ke dalam mulutnya, dia lupa pada harimau dan buaya tu.

Macam kitalah bila dapat nikmat sikit lupa pada Allah. Waktu susah baru la nak ingat Allah. Astaghfirullah. ..


1 minit untuk mengingati Allah

Step 1:
Sebutlah dengan sepenuh hati dan lidah yang fasih akan:
1) SUBHANA'LLAH
2) ALHAMDULI'LLAH
3) LA I LAHA ILLA'LLAH
4) ALLAHU AKBAR
5) ASTAGHFIRU' LLAH
6) LA ILAH ILLA'LLAH, MUHAMMADUN RASULU'LLAH
7) ALLAHUMMA SALLY WA SALLEM WABAREK ALA SAYYEDINA MUHAMMAD
8) WA AALIHE WA SAHBIH AJMA'EEN


Step 2:
Hayatilah sedalamnya akan makna ayat demi ayat, perkataan demi perkataan.