APAKAH SOLAT HAJAT DISYARI'ATKAN?
Ibadah yang diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala adalah ibadah yang dikerjakan semata-mata ikhlas kerana Allah Subhanahu wa Ta'ala dan ianya mengikuti (ittiba') sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam yang thabithah. Oleh itu sebelum sesuatu amal ibadah itu dikerjakan termasuk juga solat sunat Hajat ini, sewajarnya kita menyelidik terlebih dahulu adakah benar ianya telah diperintahkan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Lazimnya dalil yang
dipergunakan untuk mengsyari'atkan solat sunat hajat ini adalah hadis-hadis yang berikut:
Dari Faaid bin `Abdurrahman dari `Abdullah bin Abi Aufa, dia berkata telah bersabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: "Barangsiapa yang mempunyai hajat kepada Allah atau kepada salah seorang bani Adam (manusia) hendaklah dia berwuduk serta membaguskan wuduknya kemudian solat dua rakaat.
Terus (setelah selesai solat) hendaklah dia menyanjung Allah dan berselawat kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, kemudian dia mengucapkan doa… Menurut Abu `Isa ini adalah hadis Gharib dan dalam sanadnya terdapat Faaid bin `Abdurrahman yang dha'if (lemah) dalam hadis dan Faaid dia adalah Abu al-Waruqa'. (Hadis riwayat Imam al-Tirmidhi dalam Sunan al-Tirmidhi, hadis no: 441) dan juga Imam Ibnu Majah dalam Sunan Ibnu Majah, hadis no:
1374).
Hadis di atas ini berstatus dha'if jiddan (sangat lemah) kerana dalam sanadnya terdapat Faaid bin `Abdurrahman Abu al-Waruqa' dan beliau telah dilemahkan oleh ulama' hadis seperti Imam al-Tirmidhi, Imam `Abdullah bin Ahmad, Imam Ibnu Ma'in, Imam Abu Dawud, Imam al-Nasa'i, Imam Abu Hatim, Imam al-Hakim, Imam Ibnu Hibban dan Imam al-
Bukhari rahimahumullah. Oleh itu hadis di atas tidak boleh dijadikan dalil untuk mengsyari'atkan solat Hajat.
Sebuah hadis berkaitan dengan solat hajat juga telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad dari Maimun Abu Muhammad al-Mura'i al-Tamimi dia berkata telah menceritakan Yahya bin Abi Kathir dari Yusuf bin `Abdullah bin Salam dari Abu Darda' dia berkata: "Wahai sekalian manusia, aku mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
Barangsiapa berwuduk dan menyempurnakannya, kemudian bersembahyang dua rakaat dengan sempurna, maka dia diberi Allah apa sahaja yang diminta baik cepat ataupun lambat. (Hadis riwayat Imam Ahmad dalam Musnadnya, hadis no: 26225)
Hadis ini juga adalah tidak sahih kerana dalam sanadnya terdapat Maimun Abu Muhammad al-Mura'i seorang yang majhul (tidak dikenali keadaannya)sebagaimana yang telah ditetapkan oleh ulama' hadis seperti Imam Ibnu Ma'in, Imam Ibnu `Adiy, Imam al-Dzahabi dan Syaikh Nashiruddeen al-Albani rahimahumullah. Sanad hadis ini juga
munqati'(terputus) kerana Yahya bin Abi Kathir seorang Tabi' al-Tabi'in telah meriwayatkan secara terus dari Yusuf bin `Abdullah bin Salam seorang sahabat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam.
Dengan penjelasan ini maka dapatlah kita fahami bahawa hadis-hadis tentang solat sunat Hajat ini kesemuanya lemah. Oleh itu mengerjakan solat sunat Hajat bukanlah merupakan amalan yang sahih dari Nabi shallallahu 'alaihi wasallam.
PERLUKAH SOLAT YANG KHAS UNTUK MEMOHON HAJAT
Setelah diketahui bahawa dalil yang membelakangi amalan solat Hajat itu tidak kuat serta tidak sah untuk dijadikan hujjah maka tentu ramai yang tertanya-tanya apakah ada solat yang khas untuk memohon hajat yang selain dari memohon diturunkan hujan?
Sebenarnya tidak perlu solat yang khusus untuk hal tersebut kerana kita boleh memohon apa sahaja hajat kita ketika mengerjakan solat-solat yang fardhu mahupun sunat. Hadis-hadis Nabi shallallahu 'alaihi wasallam telah menunjukkan bahawa antara tempat yang paling mustajab untuk berdoa adalah ketika sujud dan setelah membaca tasyahhud akhir sebelum memberi salam.
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
Saat yang paling dekat bagi seorang hamba untuk berada di samping Tuhannya, ialah ketika dia sujud. Dari itu hendaklah kamu memperbanyakkan doa ketika sujud itu. (Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahih Muslim, hadis no: 482)
Ketahuilah bahawa saya dilarang membaca al-Qur'an di waktu rukuk mahupun sujud. Maka sewaktu rukuk hendaklah kamu membesarkan Tuhan, sedang di waktu sujud usahakanlah padanya berdoa dengan sungguh-sungguh, kerana besar kemungkinan (doa itu –pun) akan dikabulkan Tuhan. (Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahih Muslim,hadis no: 479)
Abu Hurairah berkata: Sabda Rasulullah shalallahu `alaihi wasallam: "Bila seseorang selesai membaca tasyahhud (akhir), hendaklah dia memohon perlindungan kepada Allah empat perkara, iaitu (Ya Allah aku berlindung kepada mu) dari siksa neraka jahannam, dari siksa kubur, dari fitnah hidup dan mati, dan dari (fitnah) Dajjal.
Selanjutnya, hendaklah ia berdoa memohon kebaikkan untuk dirinya sesuai kehendaknya." (Hadis riwayat Imam al-Nasa'i dalam Sunan al-Nasa'i, hadis no: 1293)
Adalah lebih baik sekiranya kita memperbanyakkan doa ketika mengerjakan solat Tahajjud kerana sepertiga malam yang akhir merupakan antara waktu yang amat afdhal untuk doa kita diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala.
Bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Rabb kita Tabaraka wa Ta'ala turun pada setiap malam ke langit dunia ketika tersisa sepertiga malam yang akhir. Allah berfirman:"Siapa yang berdoa kepada-Ku, nescaya aku akan mengabulkannya; siapa yang meminta kepada-Ku, nescaya Aku akan memberinya; siapa yang memohon
ampun kepada-Ku, nescaya Aku akan mengampunnya." (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam kitab Shahih al-Bukhari, hadis no: 1145)
WAllahu'alam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan