Tuntutan sembahyang berjemaah
Menurut Al-Quran, Firman Allah s.w.t. : Dan dirikanlah sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua ( berjemaah ) bersama-sama orang yang rukuk. ( Al-Baqarah : 43 )
Yang dimaksudkan rukuk bersama orang yang rukuk pada ayat ini ialah tuntutan supaya sembahyang fardhu dilakukan secara berjemaah.- Firman-Nya lagi: Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam ) mereka. ( An-Nisa : 102 )
Pengajaran daripada ayat ini ialah jika sembahyang dalam masa peperangan, dituntut agar dilakukan secara berjemaah, maka dalam suasana aman/tenang adalah lebih aula (lebih kuat tuntutannya ).
Menurut hadis, Sabda Rasulullah s.a.w. : Sembahyang berjemaah itu lebih baik daripada sembahyang secara bersendirian sebanyak dua puluh tujuh darjat, iaitu ganjarannya. ( Riwayat Bukhari dan Muslim ).
Rasulullah s.a.w. tidak melihat beberapa orang sahabatnya dalam beberapa waktu sembahyang jemaah. Lalu baginda bersabda : Sesungguhnya aku mengambil berat untuk menyuruh seseorang supaya mendirikan sembahyang secara berjemaah bersama orang ramai.
Kemudian aku pergi kepada beberapa orang yang tidak mendirikan sembahyang secara berjemaah. Lalu baginda menyuruh supaya membakar rumah mereka dengan seikat kayu. Sekiranya salah seorang daripada mereka mengetahui bahawa dia akan mendapat segumpal daging yang gempal, pasti dia akan mendirikan sembahyang itu, iaitu sembahyang Isyak. ( Riwayat Bukhari dan Muslim )
Menurut ulama fikah: Terdapat beberapa perbezaan pendapat di kalangan ulama fikah berhubung hukum sembahyang fardu secara berjemaah iaitu :-
Berjemaah pada sembahyang fardu selain daripada sembahyang Jumaat adalah sunat muakkad ( sunat yang di tuntut ) ke atas lelaki berakal yang mampu menunaikannya. Ia tidak wajib ke atas wanita, kanak-kanak, hamba, orang yang tidak berkeupayaan berjalan, orang sakit serta orang tua.
Ia dihukumkan sedemikian kerana merujuk kepada sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Sembahyang berjemaah itu lebih baik daripada mendirikan sembahyang secara bersendirian sebanyak dua puluh tujuh darjat iaitu ganjarannya.''
Ini menunjukkan bahawa sembahyang secara berjemaah adalah untuk menambah sempurnakan lagi sembahyang fardu yang diwajibkan. Keadaan yang sempurna adalah perkara yang melebihkan ganjaran (pahala), bukan tuntutan yang dimestikan.
Hukum berjemaah bagi sembahyang fardu adalah fardu kifayah ke atas lelaki yang merdeka dan bermukim bagi menonjolkan syiar berjemaah dengan mendirikannya di masjid setiap kampung atau mukim.
Tidak dituntut ke atas wanita seperti tuntutan ke atas lelaki. ( Pendapat yang asah daripada mazhab Al-Syafiiyah; Al-Majmu` 4/184-186, Fiqh Islami Wa Adillatuh, 2/150, Al-Zuhaili ). -
Hukum berjemaah bagi mendirikan sembahyang fardu adalah wajib `ainiyy, iaitu wajib ke atas setiap mukalaf. Pendapat ini bersandarkan kepada ayat al-Quran mengenai sembahyang khauf, ayat al-Quran mengenai perintah rukuk bersama orang yang rukuk dan hadis daripada Abu Hurairah mengenai Rasulullah s.a.w. bersumpah untuk membakar rumah lelaki yang tidak menunaikan sembahyang fardu berjemaah.
Perintah wajib `ainiyy bagi sembahyang fardu secara berjemaah diperkuatkan oleh perintah syara supaya sembahyang khauf ( sembahyang ketika berlaku peperangan - dalam keadaan takut ) dilakukan secara berjemaah.
Tetapi berjemaah itu tidak diambil sebagai syarat sah sembahyang seperti yang dinyatakan oleh Imam Ahmad. ( Pendapat Al-Hanbaliyah; Al-Mughni 2/130-131, Ibnu Qudamah, Al-Majmu` , 4/283, Al-Nawawi, Fiqh Islami Wa Adillatuh, 2/150-151, Al-Zuhaili ).
Terdapat banyak natijah yang akan terhasil daripada amalan sembahyang secara berjemaah dan menjadikan institusi masjid sebagai wadah perpaduan ummah, di antaranya :
1. Membina disiplin hidup yang tinggi.
Penghayatan terhadap sembahyang berjemaah pasti mendorong ke arah satu fenomena di mana setiap lima kali sehari semalam, umat Islam berbaris dalam satu saf ( barisan ) yang rapi.
Keadaan ini sudah pasti melahirkan pelbagai disiplin yang tinggi daripada pelbagai sudut; pengurusan masa, pembersihan anggota badan, memastikan pakaian sentiasa bersih dan sebagainya.
2. Perhimpunan yang terbimbing.
Pertemuan lima kali sehari semalam sentiasa dilakukan di bawah pimpinan seorang ketua, dengan matlamat yang sama mengagungkan perintah Allah s.w.t. Dalam disiplin kepimpinan menurut syara, makmum wajib mengikuti imam di samping boleh menegur imam jika ia melakukan kesalahan.
Makmum juga perlu memastikan mereka berada dalam saf ( barisan ) yang lurus, bertemu bahu dan bergerak dalam keadaan yang sama mengikuti imam. Perhimpunan seperti ini pasti melahirkan masyarakat yang harmoni, hormat menghormati dan bersatu padu di bawah satu kepimpinan.
3. Membina kesefahaman dan kesatuan fikrah.
Sembahyang berjemaah menuntut perhimpunan umat Islam sesuatu kariah di satu tempat ( masjid ). Keadaan tersebut memudahkan pengisian segala jenis ilmu wahyu bagi sesuatu kariah. Ini menjadikan institusi masjid sebagai wadah membina kesatuan fikrah yang berkesan di kalangan umat Islam.
4. Membina semangat persaudaraan dan kerjasama.
Sembahyang berjemaah dan institusi masjid juga merupakan wadah perancangan segala aktiviti sosial, termasuklah merancang program gotong-royong, menziarahi anggota masyarakat yang mengalami masalah, sakit atau meninggal dunia dengan konsep bantu membantu.
Keadaan ini sudah pasti mendorong ke arah perpaduan ummah yang lebih jitu dan mantap. Berdasarkan nas-nas al-Quran, hadis serta pendapat ulama fikah, ternyata bahawa tuntutan sembahyang berjemaah di masjid atau di tempat azan dikumandangkan adalah amat dituntut.
Ia dihubungkan terus dengan institusi masjid yang merupakan program atau wadah yang dapat mengukuhkan pembinaan diri dan keluarga, sekali gus menyatu dan memantapkan perpaduan dan perjuangan umat Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan