PADA keseluruhannya Kaabah adalah suatu binaan mulia yang penuh dengan keberkatan. Al Tabrani meriwayatkan di dalam al-Mu`jam al-Kabir daripada Ibn Abbas bahawa Rasulullah SAW menyatakan: "Sesungguhnya Allah menurunkan 120 rahmat ke atas Kaabah, setiap hari 60 untuk orang yang melakukan tawaf, 40 untuk orang yang solat dan 20 untuk orang yang memandangnya."
Bagaimanapun, ada beberapa bahagian Kaabah yang menjadi tumpuan dan perhatian lantaran kelebihannya.
1) Hajarul Aswad
Hajarul Aswad adalah sepotong batu yang berasal dari syurga. Warna asalnya adalah lebih putih daripada susu. Dikatakan ia menjadi hitam kerana luruhnya dosa manusia yang mengucupnya. Pelbagai peristiwa sejarah dilalui oleh Hajarul Aswad. Hinggalah ke hari ini yang masih tinggal daripada Hajarul Aswad adalah sebanyak lapan kepingan sebesar biji tamar yang diikat pada lilin yang dicampur kasturi di dalam lingkungan perak. Sesiapa yang ingin mengucupnya hendaklah meletakkan mukanya ke atas kepingan itu.
2) Rukun Yamani
Rukun Yamani adalah penjuru Kaabah yang bertepatan dengan Rukun Hajarul Aswad bagi orang yang sedang tawaf. Ia adalah salah satu daripada dua rukun yang didirikan di atas asas binaan Nabi Ibrahim. Rasulullah SAW menyentuh rukun itu ketika tawaf.
3) Hijr Ismail
Pada asalnya kawasan Hijr Ismail termasuk dalam binaan Kaabah yang dibina oleh Nabi Ibrahim. Ia dikeluarkan dari Kaabah ketika binaan Quraisy. Justeru, solat di dalamnya menyamai solat di dalam Kaabah.
4) Multazam
Multazam adalah kawasan hadapan Kaabah di antara Hajarul Aswad dan pintu kaabah. Dikatakan Multazam adalah kawasan yang paling mustajab doa. Menurut sebahagian riwayat orang Quraisy sebelum Islam menjadikan Multazam tempat melafazkan sumpah terutama bagi menyelesaikan perbalahan di kalangan mereka.
5) Mizab
Mizab adalah pancuran emas yang diletakkan bagi menjadi laluan air dari bumbung Kaabah masuk ke dalam Hijr Ismail. Menurut sebahagian pendapat di bawahnya adalah di antara tempat paling mustajab berdoa.
6) Syazarwan
Syazarwan adalah jubin yang dibina di bahagian bawah dinding Kaabah. Tingginya lebih kurang dua kaki. Ia diletakkan untuk menandakan saiz asal Kaabah yang dikurangkan ketika binaan Quraisy berbanding binaan Nabi Ibrahim. Justeru, ia adalah sebahagian daripada Kaabah. Bertawaf di atasnya atau sebahagian anggota badan di atasnya menyebabkan tawaf tidak sah.
7) Kiswah
Kiswah adalah kelambu atau kain yang menutupi Kaabah. Diriwayatkan orang pertama yang meletakkan kiswah Kaabah adalah Tubba al Himyariyy As`ad Abi Karb. Kiswah Kaabah diperbuat daripada 658 kilogram sutera mentah yang ditenun. Ukurannya selepas siap ditenun adalah 658 meter persegi. Kos pembuatannya adalah 17 juta Riyal Arab Saudi. Kiswah akan diganti dengan yang baru pada pagi 9 Zulhijah (hari Wuquf) setiap tahun.
8) Makam Ibrahim
Makam Ibrahim adalah batu yang ada kesan dua tapak kaki Nabi Ibrahim. Batu itu sekarang ini diikat dengan perak dan diletakkan di dalam sebuah tempat yang diperbuat daripada tembaga berwarna keemasan. Menunaikan solat di sisi Makam Ibrahim adalah suatu yang mempunyai kelebihan yang besar. Allah berfirman bermaksud : "Dan ingatlah ketika kami jadikan Baitullah sebagai tempat berhimpun bagi manusia dan tempat yang aman. Dan jadikanlah sebahagian dari Makam Ibrahim sebagai tempat solat." (Surah al-Baqarah, ayat 125)
9) Telaga Zamzam
Telaga Zamzam adalah sebuah telaga di hadapan Kaabah di kawasan di antara Hajarul Aswad dan Multazam. Ia dikatakan terbit daripada terjahan kaki Nabi Ismail. Ada riwayat yang menyatakan ia terbit hasil pukulan sayap Jibrail. Kelebihan air dari Telaga Zamzam ini dinyatakan di dalam beberapa hadis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan