Isnin, 14 Julai 2008

Motivasi

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih.
Salawat dan Salam kepada nabi Muhammad pesuruh Allah, sekelian sahabat dan tabi`in seterusnya kepada mereka yang mengikuti hidayahnya hingga hari pembalasan.
Allah yang Maha Mengetahui telah melantik manusia untuk menjadi khalifah-Nya di muka bumi ini setelah nabi Adam dan Hawa bersenang lenang hidup seketika di Syurga yang tidak memerlukan penat jerih untuk memandu kehidupan.
Dunia adalah tempat manusia beramal. Dunia tempat manusia diuji. Tugas khalifah adalah tugas perhambaan sebenar yang diamanahkan oleh Allah kepada manusia selagi mereka menetap di dunia ini.
Untuk itu manusia telah dibekalkan dengan asas-asas kerohanian atau spiritual, minda, emosi dan fizikal.
Inilah potensi diri yang telah dibekalkan Allah kepada manusia yang perlu diarah dan dikembangkan secara maksima supaya manusia mampu melaksanakan peranannya dengan sebenar dan seimbang.
Kejayaan insan dalam mengharungi hidup ini amat bergantung kepada sejauhmana mereka menggunakan potensi diri ini dengan sempurna dengan memulakan langkah yang betul dalam hidup ini.
Langkah pertama ialah mengetahui potensi-potensi ini atau dengan kata lain memahami diri sendiri; kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman sama ada dalaman atau luaran.

Langkah kedua ialah mengetahui apakah objektif hidup manusia yang telah digariskan oleh Allah.
Langkah ketiga ialah memahami bagaimana potensi diri yang telah disediakan oleh Allah dalam diri manusia ini boleh dikembangkan dan dibina secara maksima.

Langkah keempat mengenali kelemahan diri untuk diperbaiki, mengenali musuh perangkap dan senjatanya.

Langkah kelima membina asas-asas kakuatan diri sebagai seorang remaja, pelajar dan manusia yang jelas matlamat hidup, memiliki sikap yang cemerlang, berkeyakinan tinggi, berani, peka, bijak mengatur strategi pembelajaran dan hidup yang bermotivasi

Tiada ulasan: