Ahad, 21 Februari 2016

Bapa Tidak Perasan, Sehingga Ditegur Anak

Pulang ke rumah petang itu memang sangat memenatkan. Benarlah, penat mental lebih melemahkan daripada penat fizikal. Seluruh tubuh rasa hampir ‘frozen’. Seronok jika dapat 'let it go'.
"Kenapa abah nampak sedih je?" Zulfa menyambut di muka pintu sambil memegang lengan.
"Eh taklah, abah penat je." Sambil meletakkan beg laptop ke atas sofa.
Duduk sebentar melepaskan lelah. Muka didongak ke langit memudahkan pernafasan yang semakin perlahan.
“Kenapa Zulfa cakap abah sedih?”
"Biasa, abah akan balik rumah dengan bagi salam penuh ceria, muka senyum, gurau-gurau geletek Zulfa. Hari ini abah tak buat semua tu," bersungguh-sungguh menerangkan.
"Allah.. yeke, ok, abah senyum eh.." sambil menggeletek perut. Tanda ‘angin’ kembali baik.
>>>
Menurut pakar psikologi, 55% daripada komunikasi sesama manusia (pengaruh terbesar) ditafsir daripada 'bahasa badan'.
Apa yang terpamer dari tingkah laku dan wajah si pelaku akan ‘ditafsir’ maksudnya oleh orang yang melihat. Walaupun tafsiran mungkin hanya sekadar persepsi.
Sebagai contoh, jika kita memuji seseorang, tetapi selepas itu kita membuat gerakan tangan seperti Afdlin Shauki, dua tangan ke dada, dan dua mata ke atas, itu menyebabkan orang faham, ini bukan pujian, tetapi sindiran.
Lihat bagaimana bahasa badan menidakkan ‘makna’ apa yang disebut.
Sebagai ibu bapa, kadangkala, tanpa disedari, itulah yang berlaku. Apabila pulang dari kerja, riak yang terpamer di raut wajah adalah riak keletihan dan muram.
Terus duduk di sofa, menguak dada dan diam. Anak-anak terasa seolah-olah pertemuan semula dengan mereka selepas seharian di sekolah tidak memberi makna apa-apa kepada ibu bapa.
Ibu bapa ‘dilihat’ tidak seronok bertemu mereka. Ibu bapa memang tidak berniat, tetapi itu yang terlihat dan kekal tersemat di ingatan anak-anak.
Cuba letak cermin di hadapan pintu rumah (bayangkan cermin ‘Bila Hati Telah Hitam’), kita mungkin akan dapat melihat, bagaimana wajah kita semasa pulang dari kerja.
Jika kelihatan masam dan muram, cepat-cepatlah mengukir senyum. Lakukan aksi gembira ala-ala 'Tora Datang Lagi' (cuba tiru keceriaan Mat Sentul).
Apabila anak membuka pintu, melihat kita tersenyum, itu telah menyampaikan maksud, kita gembira bertemu mereka.
Seharian anak di sekolah, tanpa melihat wajah kita. Manfaatkan pandangan pertama semasa pulang kerja dengan menambat hati mereka.
Sedar dan bersedia dengan 'bahasa badan' kita, kerana itulah yang anak-anak akan ‘baca’.
Apa yang kita sebut, kurang penting bagi mereka, tetapi apa yang kita tunjukkan, akan menjadi kenangan yang kekal lama.