Ahad, 21 Februari 2016

Anak Perempuan Bahagia Didokongi Ayah

Pagi itu, saya memandu perlahan melewati seorang ayah dan anak yang sedang berjoging di atas jalan kampung yang kecil. Si ayah berjoging perlahan di hadapan, melambai dan memanggil anak yang tertinggal sedikit ke belakang.
Saya kira umur si kecil sekitar 4 atau 5 tahun. Perempuan bertudung pink, berstokin belang, berbadan kecil dan sangat comel. Terkedek-kedek berlari mengejar si ayah.
Hati berbisik, ‘larat ke budak tu nak ikut ayahnya joging. Silap-silap sampai hujung simpang dah penat.’
Kereta menyusur keluar ke jalan utama, baru perasan saya tertinggal kunci rumah. “Aduh, kena patah balik pula.”
Dalam perjalanan berpatah balik mengikut jalan yang sama, dari jauh saya melihat kelibat si ayah dan anak yang sedang berjoging tadi. Saya tersenyum sendirian.
‘Dah agak dah, mesti ayah akan jadi mangsa.’ Si ayah gigih berjoging sambil mendukung si kecil di pundak. Si kecil hanya terkekek-kekek ketawa bahagia digoncang-digoncang seperti menaiki unta lagaknya.
Entah kenapa, saya yang beremosi gembira campur bahagia melihatnya. Sengaja diperlahankan kenderaan dan mengambil gambar mereka dalam rahsia.
‘Tahniah ayah! Anda telah membuat si anak bahagia. Bukan ketika itu sahaja, insya-Allah sampai bila-bila’
>>>
Kasih seorang ayah. Sukar untuk diungkapkan. Kebanyakan masa, mereka bisu seribu bahasa. Entah sayang, entah tidak. Tidak seperti ibu yang mudah mengungkap kata, ayah tidak begitu. Kata-katanya pada tingkahlaku.
Tegasnya itu kegusaran. Marahnya itu perlindungan. Usapnya itu pengharapan. Entah mengapa tidak saja mereka ungkap kegusaran, perlindungan, dan pengharapan dengan perkataan. Tapi, itulah ayah, lelaki misteri yang ada dalam setiap keluarga.
Jika ayah rapat dengan anak lelaki, itu biasa. Ketegasan, kepimpinan, prinsip hidup, harga diri biasanya dipelajari oleh anak lelaki dari karakter seorang ayah.
Melihat ayah yang mendukung anak perempuan membuat hati terpesona dan berfikir lama. Perbuatan mendukung sudah pasti membawa maksud yang dalam. Sepanjang berjalan, saya tidak melihat dia berkata-kata. Tetapi dari senyuman dan kegigihan memikul anak di pundak itu sangat memberi makna. Kebahagiaan si anak jelas terasa.
Ayah seolah ingin memberitahu, “Anak, ayah takkan tinggalkan kamu di belakang. Ayah akan ‘angkat’ kamu walau apapun berlaku. Kamu adalah ‘tinggi’ bagi ayah, seperti tingginya kamu di atas bahu ayah sekarang. Sebagai perempuan, satu hari nanti kamu akan diambil dan dibawa pergi oleh seseorang. Ingatlah saat-saat ini, semoga kamu juga ‘mengangkat’ ayah satu hari nanti. Jangan pernah tinggalkan ayah.”
______________
“Bagaimana seorang ayah mendepani hidup akan menjadi contoh kepada anak perempuan membina kehidupannya sendiri,” ulas Michael Austin, Profesor Madya Falsafah dari Universiti Eastern Kentucky.
Ayah yang tidak kekok menukar lampin anak, memandikan anak, menidurkan anak, menenangkan anak bila menangis adalah permulaan kepada hubungan yang mengukuhkan keberadaan mereka dalam keluarga.
Menurut Austin, Ini adalah masa berkualiti paling penting yang akan menentukan kehidupan anak perempuan dalam peringkat-peringkat hidup seterusnya. Ayah digalakkan meluangkan masa dengan anak perempuan, mengambil berat keperluan mereka dan menyokong ibunya. Apabila anak mula merangkak, ayah juga perlu ‘merangkak’ untuk bermain dengannya.
Penglibatan ayah dalam hidup seorang anak perempuan adalah resepi penting dalam pembangunan harga diri anak. Dorongan lisan, sentiasa ada dalam setiap detik penting hidupnya, sedar dan sensitif dengan perasaannya, mengambil masa untuk mendengar ceritanya, dan menyokong hobinya adalah keperluan si anak. Penglibatan terus dan sokongan berterusan si ayah dapat melenyapkan perasaan tidak selamat anak perempuan dan meningkatkan keyakinan pada keupayaan sendiri.
Hubungan anak perempuan dan ayah turut mempengaruhi hubungan mereka dengan lelaki lain. Seorang ayah yang melayan isteri dengan penuh penghormatan dan kasih sayang, menyanjung tinggi nilai wanita bukan mempergunakan wanita, akan mempengaruhi kepercayaan anak kepada insan yang bernama lelaki.
Anak yang berasa selamat, disokong dan sering berkomunikasi dengan ayah tidak mudah terdedah kepada percintaan awal kerana mereka tidak memerlukan kasih sayang lelaki lain dan disibukkan dengan akademik dan fokus mengejar cita-cita yang dirancang bersama keluarga.
Ayah mempunyai pengaruh yang sangat besar kepada kehidupan anak perempuan, sama ada positif atau negatif. Walapun kebanyakan masa, anak lebih selesa berkongsi hal peribadi dengan mak, tetapi banyak kerugian sekiranya hubungan dengan ayah tidak sama dikuatkan.
Ayah pula, perlu berusaha menjalin hubungan dengan anak perempuan kerana ada sisi hidup mereka yang memerlukan kita. Kipidap ayah!

Tiada ulasan: