Isnin, 22 September 2008

Al-Quran tenangkan jiwa, hilang tekanan

ORANG cemerlang ialah orang yang berjaya menguruskan kehidupannya dengan baik, dapat mengatasi masalah dan menghadapi tekanan dengan tabah.

Malah, bagi golongan ini kesilapan dijadikan iktibar, manakala kegagalan dipandang positif sebagai pendorong mencapai kejayaan.

Tetapi bagi sesetengah pihak, rintangan dan tekanan hidup dianggap masalah yang tidak berkesudahan, menyebabkan semakin difikirkan bertambah kusut fikirannya.

Bahkan, sekiranya tekanan dan masalah itu tidak ditangani dengan baik akan memberikan kesan lebih buruk.

Bagi orang Islam, sejauh mana seseorang itu mampu bertahan dengan tekanan, selagi itulah ganjaran pahala yang diperolehnya. Islam melihat punca tekanan lebih kepada kecelaruan dan kelemahan hati.

Hati yang lemah menyebabkan hubungan dengan Allah menjadi rapuh. Seterusnya akan menjadikan hidup sempit kerana tidak menemui jalan keluar terhadap setiap masalah.

Hati akan berasa bahagia apabila dekat dengan Allah. Sebaliknya hati akan sengsara apabila ia ingkar kepada hukum Allah dan lalai daripada mengingatinya.

Dalam menghadapi tekanan atau stres secara umumnya mengikut kaca mata Islam ada beberapa panduan, iaitu:

  • Membaca al-Quran, di samping memahami maknanya. Al-Quran adalah rahmat untuk sekelian alam dan ia adalah cahaya, hidayah dan penyembuh bagi penyakit. Dengan memahami dan menghayati kandungan al-Quran seseorang dapat menenangkan hati, fikiran dan jasmani.
  • Banyak bertaubat dan istighfar. Bertafakur mengenang dosa, merenung mengenai diri terhadap segala nikmat yang Allah berikan kepada kita.
  • Mendekatkan diri kepada Allah, mematuhi segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Contohnya tidak meninggalkan solat wajib, malah turut melakukan solat sunat dan selalu mengingati Allah dalam setiap ketika.
  • Bersedekah. Harta menyebabkan jiwa tertekan dan memberi sedekah itu kerana Allah dapat memberikan ketenangan. Sedekah lebih bermakna ketika seseorang itu berasa sangat sayang (bakhil) terhadap hartanya. Orang yang bakhil sentiasa disempitkan hati dan akhlaknya oleh Allah kerna mereka berkira dengan kurniaan Allah.
  • Bijak mengurus. Seseorang itu harus bijak dalam menguruskan masa, tenaga, keutamaan dan aset yang ada. Bahkan Allah mengingatkan kita mengenai beban kerja dan tanggungjawab itu perlulah sepadan dengan kemampuan kita, Kita diajar supaya berdoa daripada kerja berlebihan yang tidak mampu ditanggung.
  • Bersangka baik kepada Allah. Kita hendaklah berbicara dan berkata dengan positif serta penuh pengharapan kepada Allah. Ini kerana setiap lafaz diucapkan itu adalah doa dan sangkaan kita kepada Allah.
  • Tawakal, iaitu berserah diri kepada Allah. Menyerah sesuatu perkara itu kepada Allah selepas berusaha sedaya upaya adalah sikap yang sangat baik. Seseorang itu harus menyedari Allah yang mengurniakan rezeki, kekuatan, keinginan dan badan yang sihat bagi hamba-Nya berusaha meneruskan hidup di dunia ini.

Tiada ulasan: