Selasa, 2 April 2013

Minda: Teknik Nasihat Luqman Al-Hakim

ANAK-anak adalah kurniaan Allah yang paling berharga dan ibu bapa sewajarnya memelihara amanah mendidik mereka dengan kaedah terbaik.

Antara kaedah yang paling berkesan dan berhemah dalam melaksanakan asuhan bimbingan kepada anak-anak ialah melalui pendekatan memberikan nasihat.

Jadikan kaedah yang diamalkan oleh Luqman Al-Hakim sebagai pedoman. Banyak sekali bentuk nasihat yang disampaikan Luqman kepada anaknya.


Cara penyampaian atau metodologi pengajaran yang diaplikasikan Luqman begitu halus dan penuh dengan amalan psikologi.


Kita ambil beberapa contoh bagaimana Luqman menasihati anaknya. Misalnya, kata Luqman kepada anaknya, “Wahai anakku, sesungguhnya aku kesal dengan percakapanku, tetapi aku tidak pernah menyesal kerana berdiam diri.”

Cuba perhatikan dengan serius bentuk nasihat yang diluahkan Luqman kepada anaknya. Luqman member nasihat dengan menjadikan diri sendiri sebagai bahan contoh subjek nasihat yang hendak disampaikan.

Inilah kaedah terbaik sebenarnya bagaimana memberikan nasihat kepada anak-anak. Bukannya dengan menyampaikan nasihat dengan mengambil contoh pihak lain yang sukar dijangkau anak-anak kita.

Pada zaman moden ini, kaedah diguna pakai Luqman itu adalah salah satu kaedah dalam sesi kaunseling. Justeru, Luqman boleh kita ibaratkan sebagai perintis kepada teori dan praktikal kaunseling.

Dengan cara sebagaimana dibuat Luqman seperti tadi, pasti perhatian anak-anak akan lebih terserap.

Aspek bersosial juga diterapkan Luqman menerusi nasihat kepada anaknya.


Misalnya, kata Luqman, “Wahai anakku, jadilah engkau orang bersikap lemah lembut dengan jiran, hampir dengan kebaikan, banyak berfikir, kurang bercakap melainkan dalam mengatakan yang baik, banyak menangis dan kurang ketawa.

Janganlah engkau suka bergurau-senda, membuat bising tetapi diamlah dalam berfikir dan apabila engkau bercakap, maka bercakaplah dengan kata-kata berhikmah.”

Tentu kita kagum dengan kaedah diamalkan Luqman terhadap anaknya dalam menyampaikan pendidikan. Adakah kita pernah membuat seperti Luqman itu?


Atau kita hanya serahkan kepada guru untuk mendidiknya? Atau apabila anak-anak pulang dari sekolah, kita hanya pandai membebel dan memarahi anak?

Cuba kita telusuri nasihat kedua yang dipetik sebentar tadi. Luqman menggunakan bentuk nasihat untuk menyampaikan didikan bercorak ringkas tetapi berisi padat dengan ajaran agama dan norma masyarakat.


Diadunnya dalam nasihat rangkuman isi yang hendak disampaikan. Didahului dengan didikan hidup berjiran secara baik dan harmoni.

Kemudian beliau melorekkan pula elemen pembentukan sahsiah peribadi dari segi pengurusan komunikasi berkesan, iaitu bagaimana memanfaatkan akal untuk berfikir dan bagaimana mempergunakan lidah dengan berhemah dan bermanfaat.

Aspek seterusnya yang turut difokuskan Luqman ialah bagaimana mencorakkan pergaulan yang baik. Kata Luqman, “Wahai anakku. Janganlah engkau duduk bergaul dengan golongan yang tidak mengingati nama Allah. Kerana sekiranya engkau seorang yang jahil, maka mereka akan menambahkan lagi kejahilanmu.”

“Dan sekiranya engkau seorang yang alim, maka ilmu- mu itu tidak memberikan sedikit manfaat pun kepadamu. Bahkan, sekiranya laknat dan kemurkaan Allah diturunkan ke atas mereka, nescaya engkau juga akan turut berkongsi bersama-sama mereka.”

Bacalah berkali-kali nasihat Luqman itu, maka kita dapat mengesan suatu pengajaran yang berkualiti tinggi. Bukan senang untuk kita terapkan bentuk nasihat sebegini, tetapi percayalah seandainya secara beransur-ansur diamalkan, tiada apapun yang mustahil. Kita mesti mencuba kaedah Luqman itu.

Seharusnya kita sebagai ibu bapa menjadikan nasihat yang berisikan pedoman berasaskan agama dijadikan tunjang dalam pendidikan anak-anak. La Rouchefoucauld, seorang tokoh pendidikan Barat pernah mengatakan, “Kita memberi nasihat, tetapi kita tidak dapat memberikan kebijaksanaan bagi dimanfaatkan.”

Maksudnya kita seharusnya menjadikan bentuk isi nasihat itu sesuatu yang padat dengan subjek yang hendak kita sampaikan. Betul dan tepat seperti maksud peribahasa Afrika, “Nasihat itu aneh. Apabila diterima, ia menginap, apabila tidak diterima ia pulang pada ketika itu juga.”

Maknanya kita harus memuatkan nasihat yang mudah ‘dihadam’ oleh pemikiran anak-anak, barulah nasihat itu meninggalkan kesan positif.

Satu lagi pendekatan digunakan Luqman ialah penggunaan elemen metafora atau perumpamaan bermakna dalam menjadikan bentuk nasihat lebih lunak dan bermanfaat. Gabungan jalin antara metafora dan perumpamaan jelas banyak digunakannya. Inilah daya intelektual tahap tinggi sebenarnya.

Misalnya nasihat beliau ini. Kata Luqman, “Wahai anakku. Sesungguhnya dunia ini lautan yang terbentang luas. Ramai manusia yang karam di dalamnya. Oleh itu, sekiranya engkau mampu menjadikan kapalmu itu daripada keimanan terhadap Allah, persediaanmu itu melalui tawakal dan muatanmu itu pula adalah daripada ketakwaan dan sekiranya engkau karam, maka ia adalah kerana dosa-dosamu.” Indah dan penuh makna nasihat Luqman ini.

Luqman sebenarnya ingin mengajak anaknya memahami erti kehidupan di dunia dengan kepatuhan beragama yang kukuh. Beliau juga membimbing anaknya bagaimana menyusuri alur kehidupan iaitu dengan iman dan takwa serta menjauhi perbuatan dosa yang akan mengundang mala petaka.


Apa yang diperkatakan Luqman itu disepakati Imam Ghazali yang katanya, “Menanamkan iman dalam diri anak merupakan kewajipan orang tua. Anak-anak akan membesar dalam suasana cukup peka dan sensitif dengan Tuhan. Apabila ini sudah ada, dengan sendirinya dia akan malu dan takut untuk membuat dosa.”

Sesungguhnya melalui kaedah nasihat jiwa anak-anak akan terserap dengan asuhan sempurna dan membentuk sahsiah peribadi yang unggul. Ibnu Sina mengatakan, “Pendidikan itu berlaku dengan cara membiasakan iaitu membiasakan anak membuat nilai-nilai dan norma-norma yang baik dalam jangka waktu yang lama sehingga dia biasa melakukan perbuatan tersebut.”

Jadi, satu kaedah pengasuhan terhadap anak-anak yang berkesan ialah dengan teknik nasihat.
Insya-Allah anak-anak kita akan membesar dalam ruang yang menepati kehendak agama dan
masyarakat.


Sumber myMetro: Penulis seorang guru

Tiada ulasan: