Selasa, 2 April 2013

Alkisah Jangan Takut…

Alkisah jangan takut…

Di satu tanah lapang tiada manusia, seekor anak kerbau Limba berjumpa dengan ayahnya dan bertanya apakah yang perlu dia berhati-hati di dunia ini.

“Hanya singa anakku,” jawab ayahnya.

“Oh. Anakanda pernah dengar mengenai singa. Jika terserempak satu, anakanda akan berpaling dan lari secepat mungkin,” kata Limba.

Ayahnya tersenyum.

... “Itu silap besar kebanyakan kerbau muda,” jawab ayahnya.

“Mengapa? Singa sangat menakutkan, dan mereka akan bunuh anakanda,” tanya Limba.

“Wahai anakku. Jika Limba lari, singa akan mengejar Limba dan akhirnya dapat menangkap Limba. Dan pada masa itu, mereka akan lombat di belakang Limba dan menjatuhkan Limba dan gigit di bahagian belakang leher,” jawab ayahnya.

“Apa yang anakanda boleh lakukan?” tanya Limba kembali yang kini ketakutan.

“Jika terserempak seekor singa, berdiri teguh dan pandang ke arahnya dan tunjukkan bahawa Limba tidak takut. Jika singa tidak beredar, tunjukkan tanduk tajam dan menghentak kakimu ke tanah dengan kuat.
 
Jika itu masih tidak menjadi, bergerak ke arahnya perlahan-lahan. Jika masih tidak menjadinya, pecut ke arahnya dan pukulnya dengan segala kuasa yang ada pada Limba!” kata ayahnya.

“Itu bukanke membunuh diri. Anakanda rasanya tak berani buat begini. Jika dia serang kembali, mati anakanda!” jawab Limba.

“Lihat kelilingmu wahai anakku. Apa yang Limba lihat?” kata ayahnya.

Limba melihat keliling ke arah kumpulan kerbau di sekitarnya – ada sekitar 100 ekor kerbau dengan tanduk tajam dan bahu besar.

“Jika Limba takut, ingat kami berada di sini. Jika Limba panik dan melarikan diri dari ketakutanmu, kami tidak akan dapat menyelamatkan Limba. Jika Limba pecut ke arahnya, kami akan di belakang Limba,” kata ayahnya.

Limba mengambil nafas panjang. “Terima kasih ayah. Anakanda dah faham.”

Kita semua mempunyai ‘singa’ di dalam dunia kita.

Ada benda yang ditakuti kita di dalam kehidupan kita yang menyebabkan kita nak lari daripadanya. Apabila kita lari daripadanya, benda yang menakutkan kita akan mengejar kita dan akhirnya mengambil alih kehidupan kita.
 
Pemikiran kita didominasi oleh ketakutan tersebut sehingga segala tindakan kita menjadi pengecut dan terlalu berhati-hati – akibatnya kita tidak dapat mencapai potensi diri yang sebenar.

Contohnya: “Saya paling takut matematik. Saya paling takut mata pelajaran Bahasa. Saya takut tukar kerajaan. Saya takut akan huru-hara bila tewas. Saya takut tak cukup duit. Saya bimbang saya tiada masa.”

Manusia takut pada benda yang tidak diketahui dan juga takut pada pelbagai jenis mainan minda. Jangan takut. Bagitahu benda yang menakutkan kita itu kita tidak takut.

Tunjukkan kehebatan kita. Tunjukkan semangat dan keberanian, dengan itu, orang-orang di tepi kita akan menyokong kita.

Apa lagi yang anda takutkan selain Allah dan perintahnya?

Senyum.
 
 
Dipetik dari Tuan Ibrahim Tuan Man

Tiada ulasan: