Sabtu, 11 Januari 2014

Alkisah LRT

Di satu pagi LRT yang sesak selepas cuti panjang, Ali berdiri di tengah-tengah. Ada yang mengantuk, ada yang tertidur dan semua penumpang LRT kelihatan tidak bermaya.

Tetiba ada seorang budak kecil menolak mencari jalan di antara kaki-kaki dalam kesesakan LRT. Ramai merungut melihat karenah budak tersebut.


Dahlah sesak, masih nak ke hulu-hilir. Namun, semua memberikan laluan mungk...in kerana malas nak layan.

Kelihatan bapa budak itu berdiri di tepi pintu tidak mengendahkannya. Budak itu berani pergi jauh daripada bapanya dalam kesesakan di dalam LRT itu.

“Bapa apa macam ini? Langsung tak didik anak. Menyusahkan orang lain,” bisik Ali di hatinya.

Selepas merungut, Ali tidak mengendahkan karenah budak tersebut lagi.

Tetiba, Ali terasa ada orang menyentuh lututnya. Rupa-rupanya budak nakal tadi.

Ali memberikan laluan kerana merasakan budak itu nak pulang ke sisi bapanya.

Tapi tidak. Budak itu seolah meminta sesuatu dari Ali.

Ali pun membengkokkan badannya. Ketika muka Ali menghampiri budak tersebut, budak tersebut terus mencium pipi Ali lalu beredar.

“Memang kurang ajar budak ini,” bisik Ali lagi.

“Mengapa budak itu cium aku?” fikir Ali.

Ketika termenung memikirkan persoalan itu dalam keadaan murung, Ali melihat budak itu melakukan perkara yang sama pada orang lain di LRT.

Melihat bapanya tersenyum, ada seorang penumpang LRT bertanya pada bapanya mengapa anaknya bersifat demikian?

“Maaf ya. Biarkan dia. Dia terlalu gembira kerana masih hidup. Dia baru sembuh dari koma. Ini pertama kali sejak sekian lama kami menaiki LRT,” kata bapanya.

LRT berhenti dan bapa dan budak tersebut pun beredar.

Di pipi Ali masih terasa ciuman budak kecil tadi. Di hati Ali terasa malu dengan sangkaan buruk pada bapa dan budak tadi.

“Budak tadi rasa syukur kerana masih hidup dan ingin menyebarkan rasa sayangnya. Aku pula sedang buat apa? Mereka yang murung di LRT ini sedang buat apa? Mengapa tak rasa riang kerana Allah masih memberikan hari ini untuk meneroka dunia ini? Berapa antara kita yang sayangkan kehidupan yang diberi Allah?” bisik Ali lagi.

Wahai anakku,
Senyumlah kerana kamu masih hidup. Asalkan kamu masih hidup, kamu masih mempunyai peluang untuk menebus kesilapanmu, bertaubat dan memohon maaf daripada Allah dan bangkit dan mencuba semula.

Selagi matahari masih terbit, dan erti terbenam dan bulan masih mengambang tiba waktunya, tiada apa yang perlu dirisaukan kerana kamu masih boleh melakukan sesuatu.

Senyum.

Tiada ulasan: