Isnin, 5 September 2011

Dahsyatnya Murka Allah


ALLAH SWT menyebut tentang api neraka yang menyala-nyala disediakan khas untuk orang kafir dengan menyifatkan neraka itu dengan gambaran yang terlalu takut kepadanya, sehinggakan kanak-kanak menjadi beruban.

Seterusnya Allah meneruskan khabar-Nya dengan menakut-nakutkan dan mengancam mereka bahawa mereka tidak akan selamat daripada seksaan yang menimpa mereka di dunia sebagaimana yang telah menimpa orang yang mendustakan para rasul sebelum mereka.

Contoh seksaan: Bumi yang bergoncang kuat, ribut taufan yang membinasakan tanaman dan ternakan, sehinggakan tidak ada lagi orang yang tertinggal dan menyalakan api.


Kemudian, Allah SWT memberikan pelbagai contoh ujian dan cubaan yang telah menimpa umat sebelum mereka kepada mereka.

Kaum Thamud dibinasakan dengan panahan petir yang memusnahkan mereka.


Kaum Ad dibinasakan dengan angin yang amat sejuk dan kencang yang dikenakan kepada mereka selama tujuh malam dan lapan hari secara terus menerus.

Firaun dan kaumnya pula dibinasakan dengan cara ditenggelamkan ke Laut Merah. Seterusnya Allah SWT menarik perhatian mereka ke arah kudrat-Nya yang memaksa dan kurniaan-Nya yang besar terhadap sekelian hamba-Nya.

Mereka diminta melihat burung yang kadang-kadang mengembangkan sayapnya di udara dan kadang-kadang mengatupkannya kerana dimudah dan diajarkan oleh Allah SWT apa yang diperlukannya.

Firman Allah SWT: Apakah kamu merasa aman terhadap Allah yang (berkuasa) di langit bahawa Dia akan menjungkir balikkan bumi bersama kamu, sehingga dengan tiba-tiba bumi itu bergoncang?

Ibn Abbas berkata: "Adakah kamu merasa aman azab Allah yang menguasai seluruh langit."

Muqatil berkata: "Ia memberi maksud bagaimana bumi yang di bawah akan dinaikkan ke atas untuk mengikut kamu."
Ibn Kathir berkata: "Allah bersifat Maha Pengasih terhadap hamba-hamba-Nya. Dan Dia mampu untuk menyeksa mereka dengan sebab kekufuran mereka dan juga maksiat yang telah dilakukan oleh mereka. Akan tetapi kerana sifat rahmat dan kasih sayang-Nya terhadap makhluk maka Dia memaafkannya atau menangguhkan seksaan agar mereka bertaubat."

Al-Sabuni berkata: "Adakah kamu merasa aman dan selamat hai masyarakat yang ingkar perintah Tuhan-Mu yang bersifat Maha Tinggi lagi Agung daripada hukumannya yang boleh meranapkan kamu di dunia ini sehingga ke dalam bumi selepas ia menjadikan kamu menguasai penjuru bumi untuk berjalan, berkelana dan mencari rezeki."

Firman Allah SWT: Atau apakah kamu merasa aman terhadap Allah yang (berkuasa) di langit bahwa Dia akan mengirimkan badai yang berbatu. Maka kelak kamu akan mengetahui bagaimana (akibat mendustakan) peringatan-Ku?

Al-Sabuni berkata: "Apakah kamu merasa aman daripada hukuman Allah Yang Maha Tinggi lagi perkasa dimana Dia boleh menghantar batu, merejam kamu daripada langit sebagaimana dilakukannya kepada kaum Luth dan tentera bergajah."

Maka ketika itu kamu pasti mengetahui secara nyata dan jelasnya azab Allah SWT bagaimana peringatan yang Aku memberi ancaman kepada kamu dan telah menghukum golongan pendusta. Ini merupakan satu ancaman dan amaran yang amat keras.

Ibn Kathir menyebut: "Allah berkuasa mengutuskan ribut taufan dan angin yang kencang berserta dengannya batu-batu kerikil yang akan memusnahkan kamu."

Firman Allah SWT: Dan sesungguhnya orang-orang yang sebelum mereka telah mendustakan (rasul-rasul-Nya). Maka alangkah hebatnya kemurkaan-Ku.

Ibn Kathir berkata: "Di mana terdapatnya mereka yang telah ingkar di kalangan umat-umat yang terdahulu sedangkan hukuman-Ku amat dahsyat."

Al-Sabuni berpendapat: "Orang-orang kafir pada zaman dahulu telah mengingkari rasul-rasul mereka.


Ini seperti kaum Nuh, kaum 'Ad, Kaum Samud dan seumpamanya.

Mereka semua mengingkari kepada utusan Allah. Ini merupakan satu bentuk menghiburkan Rasulullah SAW dengan apa yang dilakukan oleh kaum musyrikin."

Ingatlah apa yang diberi amaran terhadap mereka, pasti akan terkena ke atas mereka jika mereka tidak mengambil iktibar dan peringatan yang dibawa oleh Rasulullah SAW.



Tiada ulasan: